Mustafa cabar Idris, Ayob ‘bersumpah’ cara Islam
Oleh Awang Harun
KUALA TERENGGANU, 2 Okt: PAS membuka cabaran ‘bersumpah’ secara Islam di mana-mana tempat yang dipersetujui jika Umno dan polis berterusan membohongi rakyat berhubung dengan isu sebenar Tragedi 8 September lalu di Batu Burok.
Ini kerana, versi yang dibawa oleh pihak kerajaan berkaitan isu tembakan peluru hidup tersebut tidak benar serta bersifat ‘bohong’.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Mustafa Ali berkata demikian pada sidang medianya di Bilik Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, semalam.
“Dalam kes tembakan peluru hidup oleh polis, dia (Umno) pakai versi yang sama dengan ketua polis. Orang (polis) ini hendak menyelamatkan orang perempuan dan kanak-kanak dan mempertahankan diri.
“Saya hendak kata ini suatu ‘pembohongan’ yang dibuat di depan-depan orang ramai itu tidak wajar. Saya telah jumpa dengan kedua-dua orang mangsa tembakan iaitu Suwandi dan Azman masing-masing kata tidak ada kena mengena pun dengan perempuan dan kanak-kanak yang tidak ada di tempat kejadian,” jelasnya.
Katanya, kedua-dua mangsa terbabit tidak terlibat apa-apa cuma berdiri di situ dengan berlindung dari gas pemedih mata dan ditembak.
“Kenyataan Menteri Besar dan Ketua Polis itu ‘bohong’ sebab dia tidak siasat dan kalau dia siasat betul tidak macam itu,” ujarnya.
Sebab itu, beliau menekankan dapat ditubuh satu Suruhanraya Diraja yang bebas agar penjelasan sebenar berhubung kejadian itu diselesaikan.
Menurut Dato’ Mustafa, jika Umno berterusan dengan versinya PAS mencabar kedua-dua itu untuk bersumpah. iaitu Idris dan ketua polis.
“Jika dia berterusan dengan versi itu, saya cabar kedua-duanya untuk ‘bersumpah’ iaitu Idris dengan Ketua Polis negeri ikut cara Islamlah.
“Biar dia mempertahankan versi dia itu dan saya kata bohong versi dia itu. Saya akan beri versi saya. Kita minta Allah SWT tunjuklah siapa betul dan siapa salah,” tegasnya.
Menurut beliau telah membuat siasatan dan semua sekali versi yang dibuat oleh Menteri Besar dan ketua polis itu tidak benar serta bersifat ‘bohong’.

