Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia berkhidmat untuk penggal berikutnya selepas pilihan raya umum nanti.
“Kalau pilih saya lagi Alhamdulillah,” katanya pada sidang akhbar di sini ketika ditanya sama ada beliau akan terus memegang jawatan itu kerana terdapat desas desus mengenai kedudukan beliau disebabkan faktor kesihatan.
Nik Aziz, 79, pernah dirawat di Institut Jantung Negara beberapa tahun lalu berikutan serangan jantung dan juga pernah mengalami tekanan darah tinggi. Ekoran itu, ada saranan supaya beliau melepaskan jawatannya tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana katanya beliau masih berupaya menjalankan tugas berat itu.
Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, bagaimanapun berkata sebagai seorang “pengabdi parti” selama lebih 40 tahun, beliau rela untuk melepaskan jawatan Menteri Besar sekiranya itu yang dimahukan di peringkat akar umbi.
“Jika saya berundur, sebenarnya lebih ramai Nik Aziz lain yang berada di luar sana dan mungkin lebih baik daripada Nik Aziz yang ada ini,” katanya.
Nik Aziz berkata menjadi kelazimannya selepas PAS memenangi pilihan raya sebelum ini untuk menyerahkan tanggungjawab memilih Menteri Besar kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan.
“Saya akan serahkan satu kertas kosong dan terpulanglah kepada badan perhubungan untuk memutuskan siapa yang layak. Undian yang dibuat badan perhubungan ini adalah sulit, sesulit-sulitnya, dan apa yang dibuat ini adalah secara musyawarah,” katanya.
Nik Aziz berkata bahawa sebelum ini beliau terus diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tersebut dan kerana ia merupakan satu amanat, beliau sanggup untuk menerajui kerajaan Kelantan.
“Kalau kata badan perhubungan mahukan orang lain, saya terima kerana mungkin itu adalah yang terbaik buat parti,” katanya.
Beliau juga yakin PAS akan terus memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ini kerana apa yang dilakukan parti itu sebelum ini semuanya untuk kebaikan rakyat.
“PAS tidak pernah buat silap, dan jika ada, katakan pada kami,” katanya.
Difailkan dalam: MB, Negeri Ambo


terima kasih ..
lama dah tunggu sentuhan terkini..
akhirnya tiba jua
Saya sokong sebab bagi saya kemenangan PAS di Kelantan ini kerana faktor Tok Guru. Kalau tak ada Tok Guru, tak ada la PAS.
btul 2. nkth.