Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu yakin Kelantan berjaya untuk menuntut semula royalti minyak negeri itu berjumlah RM1,700 juta.
Penjelasan Royalti minyak oleh Dato’ Husam Musa sebelum ini semasa majlis pengisytiharan calon PAS PRK Manek Urai 26 Jun lalu
Menurut Mat Sabu, hasil kesabaran rakyat di negeri itu akhirnya laporan ekonomi menunjukkan negeri yang mengeluarkan minyak termasuk Kelantan, namun kenyataan itu sebelum ini cuba disembunyikan sejak 2004.
“Kita yakin Kelantan dapat menuntut semula royalti itu dan melaluinya negeri itu dapat dibangunkan dengan lebih maju.
“Perkara yang cuba disembunyikan sebelum ini juga diakui beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan selama ini pembangunan Kelantan berjalan dengan mengikut kemampuan Kerajaan Negeri,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Manek Urai di Kompleks Muhibah Taman Industri Bolton di sini, kelmarin.
Mohamad Sabu berkata, sifat keterbukaan dan keberanian rakyat di negeri itu menjadikan negeri itu terkenal dan berbeza.
Menurutnya, tohmahan yang dibuat bahawa Pas menolak pembangunan di negeri itu adalah tidak benar dan negeri itu juga bukan negeri yang termiskin berbanding Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kedah yang ditadbir Barisan Nasional (BN). – Sinar Harian
Difailkan dalam: Husam Musa, Mohd Sabu, Pilihanraya Kecil

