Perhimpunan ‘Selamatkan Sistem Kehakiman’ selepas solat Jumaat, esok di Masjid Negara

Pemuda Barisan Alternatif (BA) akan mengadakan perhimpunan aman ‘Selamatkan Sistem Kehakiman Negara’ selepas solat Jumaat (28 September 2007) di Perkarangan Masjid Negara esok.

Himpunan ini diadakan bagi menyatakan ketidakpuasan hati dengan sistem kehakiman di negara ini setelah terbongkarnya satu klip video mengenai konspirasi kehakiman, sepertimana yang didedah mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 19 September lalu.

Himpunan ini akan diketuai oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin sejurus selepas solat Jumaat.

Orang ramai dijemput hadir bagi menyatakan sokongan terhadap usaha Pemuda BA ini sebagai usaha mendesak pemerintah menyelamatkan sistem kehakiman negara.

Selepas Anwar mendedahkan klip video berupa perbualan antara seorang peguam terkenal yang didakwanya sebagai VK Lingham dengan hakim kanan (insiden pada pada tahun 2002) yang didakwanya sebagai satu konspirasi kehakiman yang merosakkan sistem perundangan di negara ini.

Semalam, Kira-kira 1,500 orang termasuk anggota Majlis Peguam berarak sejauh 3.5 km bermula di depan ‘Palace Of Justice’ ke Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan dua memorandum.

Dua memorandum itu ialah satu bagi mendesak kerajaan Menubuhkan Suruhajaya di Raja mengkaji video klip perbualan antara VK Lingham dan seorang hakim dan satu lagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Perlantikan Badan Kehakiman.

Dua memorandum berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Lebih 1,000 peguam dan NGO desak PM tubuh Suruhanjaya Diraja siasat klip video isu kehakiman

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 peguam, dengan sokongan kumpulan aktivis badan bukan kerajaan, berkumpul di kawasan bangunan mahkamah Palace of Justice di sini sebelum berarak ke pejabat Perdana Menteri.

Peguam berarak ke pej PM 26 sept 2007 Perarakan anjuran Majlis Peguam itu, bertujuan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi mendesak penubuhan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan skandal kehakiman seperti dialog dalam satu klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk mengatur pelantikan hakim.

Beberapa buah bas digunakan untuk membawa peguam dari Kuala Lumpur ke sini bagi perarakan tersebut.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minta supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal pita Lingam kerana ia mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat.
Peguam berarak ke pej PM 26 sept 2007
Katanya, suruhanjaya diraja yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran dan menyediakan imuniti kepada para saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan yang dijalan.

Wan Azizah mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat dan menentukan ketulenan klip video Datuk VK Lingam itu.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, itu saja caranya untuk memastikan siasatan dijalankan secara berkesan bebas dan tanpa sebarang rasa takut.

Sebaliknya, kata beliau, penubuhan sebuah panel bebas tidak mencukup kerana ia tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menjalankan siasatan secara berkesan.

“Tidak boleh mengharapkan sebuah panel yang ditubuhkan oleh kabinet untuk menjalankan siasatan yang sempurna dan bebas berhubung klip video yang mengaitkan Tun Ahmad Fairuz,” katanya.

Klip video selama lapan minit itu menunjukkan Lingam, seorang peguam kanan, sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk mengatur pelantikan hakim.

Tragedi Batu Burok: MP dan Pimpinan PAS serah memorandum kepada Majlis Raja-Raja

Rombongan Ahli Parlimen dan Pimpinan PAS diketuai Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa diiringi Ahli Parlimen Kubang Kerian (Ketua Dewan Pemuda), Salahudin Ayub, Setiausaha Agung (Ahli Parlimen Tumpat), Dato’ Kamarudin Jaffar dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, berkunjung ke Pejabat Penyimpab Mohor Besar Raja-Raja..

MP dan Pimpinan PAS serah memo kpd MRR PAS memohon kepada Raja-Raja Melayu supaya segera menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat secara telus dan terbuka terhadap insiden Polis menembak orang awam di Batu Buruk, Terengganu, 8 September lepas.

Dalam memo tersebut PAS memohon suruhanjaya menyiasat secara bebas dan telus serta menghukum sesiapa yang bersalah dengan hukuman setimpal.

PAS juga memohon titah DiRaja agar kerajaan mengadakan perbincangan dan perundingan segera bagi menyelesaikan kekeruhan dari insiden tersebut demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Menurut Ustaz Nasharudin, PAS tidak akan berdiam diri dan akan terus membuat desakan sehingga kes terbabit disiasat oleh suruhanjaya.

Memo diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah yang ditemani Setiausaha Sulitnya, Dato’ Sabtu Awab.

Pertemuan berlangsung selama setengah jam.

Tragedi Batu Burok: PAS kemuka Memorandum kepada Majlis Raja-Raja

PAS akan menyerahkan memorandum mengenai Tragedi Batu Burok yang berlaku pada 8 September lalu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu untuk dipersembahkan kepada Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu esok.

Menurut surat jemputan untuk sidang media, memorandum tersebut akan diserahkan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu untuk dipersembahkan kapada Raja_Raja Melayu pada jam 4.00 petang esok (Rabu).

Butir-butir lanjut mengenai memorandum tersebut akan diketahui selepas pertemuan Timbalan Presiden PAS dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tersebut.

Akan turut hadir pada pertemuan tersebut Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli,AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Tindakan Polis tembak dua pemuda mencemarkan perayaan kemerdekaan

Perhimpunan aman menjadi tragedi apabila dua pemuda ditembak anggota polis di Batu Buruk 8 September lalu.

Tragedi 8 September dianggap mencemarkan perayaan kemerdekaan kata Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tok Guru berkata, tindakan polis menghalang perhimpunan awam di Batu Buruk, merupakan percubaan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) memperalatkan polis.

“Apa yang dukacitanya kejadian itu berlaku dalam musim perayaan kemerdekaan. Ini bermakna kebebasan rakyat untuk mendapat maklumat telah disekat.

“Sedangkan rakyat berhak mendapatkan maklumat isu semasa yang berlaku melalui program-program ceramah. Pembangkang hanya ada medium itu sahaja bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat,” katanya selepas menziarahi mangsa tembakan polis, Suwandi Abdul Ghani, 37 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) baru-baru ini.

Kunjungan Menteri Besar disambut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali yang turut hadir menziarahi mangsa.

Pada kejadian malam 8 September itu seorang anggota polis dilapor melepaskan 4 das tembakan sehingga terkena dua pemuda dan menerobos badan mereka. Seorang terkena di bahagian leher, manakala Suwandi pula menembusi bahagian dada di sebelah kanan.

Akibat kecederaan parah, Suwandi terpaksa dikejar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu ke HUSM Kubang Kerian bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tindakan keras polis menembak menggunakan peluru hidup bagi menghalang rakyat daripada mendapat maklumat dianggap tidak bertamadun dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurutnya juga rusuhan itu boleh dielak sekiranya pasukan keselamatan faham kehadiran orang ramai pada satu-satu perhimpunan untuk mendapatkan maklumat.

Individu yang bakar bendera dicari

KUALA TERENGGANU, 12 Sept.: Individu yang bertanggungjawab membakar bendera Malaysia, Jalur Gemilang sedang dicari bagi memastikan sama ada dia merupakan salah seorang penyokong PAS, orang awam, polis berpakaian preman atau antara pencetus provokasi yang mengundang suasana tidak senang rakyat atas tindakannya itu.

individu bakar bendera dicari Kejadian bakar bendera ini telah dieksploit sepenuhnya oleh pihak pimpinan Umno/BN bagi menuduh parti pembangkang tidak bertanggungjawab sedangkan individu terbabit belum dikenal pasti identitinya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Trengganu, Dato’ Abu Bakar Chik juga turut membangkitkan isu tersebut di dalam mesyuarat penyelarasan media bersama beberapa pimpinan, wakil media Harakah dan Siasah termasuk Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berhubung kejadian di Batu Buruk 8 September lalu.

Menurut wakil dan pimpinan yang hadir dalam mesyuarat tersebut, pelbagai versi cerita dikumpulkan untuk mengesahkan kejadian sebenar dan secara am, semua berpendapat bahawa ahli-ahli dan pendokong PAS lazimnya tidak bertindak melampau dan membelakangkan batas-batas agama serta tatasusila negara.

Malah ada yang menimbulkan persoalan ketika mana individu tersebut sedang membakar bendera Malaysia, beliau sama sekali tidak dihalang oleh orang ramai mahupun tidak ditangkap oleh polis dan tidak kelihatan ada orang yang mengerumuni individu terbabit sewaktu kejadian itu.

Difahamkan hampir 500 anggota polis termasuk FRU bertugas di kawasan sekitar Batu Buruk sewaktu insiden tembakan dan tindakan kasar terhadap orang ramai yang hadir pada malam itu.

Di dalam gambar itu juga menunjukkan kawasan tempat individu itu membakar bendera kelihatan agak lenggang dan tidak diketahui waktu tindakan provokasi itu dilakukan.

Dewan Rakyat gempar dengan isu keganasan polis dan bakar bendera

Isu keganasan Polis di Batu Burok, Terengganu dan bakar bendera
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Abdul Halim Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencelah ketika Dato’ Raja Ahmad (BN Larut) mencapan ucapan. [11 September 2007]