Husam: PM digesa campur segera Pendedahan Ramli mengenai layanan buruk terhadapnya

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa Perdana Menteri campur tangan segera berhubung kemelut yang melibatkan PDRM dan BPR susulan kenyataan Ramli itu.

Beliau berkata berkata isu itu menuntut respon Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengekalkan integriti kedua-dua agensi terlibat.

“Ia juga perlu diselesai segera bagi memberi peluang pihak terlibat terutama anggota polis, melaksanakan tugas mereka dengan selesa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Pembangunan Masyarakat Kelantan berkata pendedahan Ramli berhubung BPR memberi layanan buruk kepada pegawai polis adalah dakwaan berat.

“Pas memandang serius dakwaan itu kerana ia memberi implikasi tidak baik kepada integriti negara, soal keselamatan dan juga keadilan. Kita harap Perdana Menteri dapat tangani isu ini tanpa berlengah,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia Datuk Ramli Yusuff sepatutnya menggunakan mahkamah bagi mempertahankan dirinya dan bukannya membuat kenyataan secara terbuka kepada media berhubung siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas dirinya.

Nazri berkata kenyataan Ramli kepada media semalam telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini tetapi tidak ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.

“Kita ada bincang tetapi tak ada keputusan. Kita merasakan Datuk Ramli kena pertahankan diri di mahkamah dan bukannya bagi PC (sidang akhbar),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Amanah Raya Berhad (ARB) di Wisma Amanah Raya Berhad di sini.

Nazri mengulas tindakan Ramli yang mengadakan sidang akhbar yang mengesahkan beliau adalah pegawai kanan polis yang dilaporkan media memiliki aset sebanyak RM27 juta.

Dalam sidang akhbar selama 45 minit di ibu pejabat JSJK di Jalan Dato’ Onn itu, Ramli bagaimanapun menafikan memiliki aset sebanyak itu.

Ramli dilaporkan kesal dengan tindakan BPR membocorkan maklumat kepada akhbar tertentu berhubung siasatan BPR terhadap dirinya sedangkan ia sepatutnya dirahsiakan memandangkan penyiasatan itu belum lengkap kerana menurutnya fakta tidak benar.
Teruskan membaca

Advertisements

Ucapan Y.A.B Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) ketika majlis pelancaran ECER oleh Perdana Menteri Malaysia

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial PDRM dakwa BPR tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: Pengarah jabatan siasatan jenayah komersil Datuk Ramli Yusof (gambar) hari ini mengakui beliau adalah orang yang dimaksudkan dalam laporan yang mendakwa seorang pegawai tinggi polis memiliki harta sebanyak RM27 juta.

Datuk Ramli - Pengarah jenayah Komersial Namun beliau menafikan mempunyai harta sebanyak itu, termasuk tanah dan saham syarikat, dan mendakwa pihak BPR tidak bertanggungjawab kerana mendedahkan siasatan yang sedang dijalankan kepada media hingga timbul laporan yang memalukan dirinya.

Katanya, BPR telah melanggar Seksyen 21(4) Akta Pencegahan Rasuah kerana mendedahkan maklumat siasatan itu.

Jelasnya, beliau telah diberikan notis siasatan tersebut oleh agensi berkenaan pada 17 Julai lalu.

Akhbar New Straits Times dan Berita Harian pada 27 Julai telah melaporkan seorang pegawai kanan polis Bukit Aman sedang disiasat oleh BPR atas tuduhan salahguna kuasa dan gagal mengisytihar harta bernilai RM27 juta.

BERIKUT ialah transkrip penuh soal jawab pemberita dengan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Pahlawan Ramli Yusuff pada sidang akhbar yang diadakannya di Kuala Lumpur, semalam.

RAMLI: Terdahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka yang beragama Islam. Sudah lama saya tidak buat kenyataan akhbar, jadi saya rasa eloklah sekali-sekala buat sidang akhbar.
Teruskan membaca

Kes Altantuya: Hakim ‘resah’ bom dibawa depannya

SHAH ALAM: Bahan letupan yang dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu hari ini membuatkan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin beberapa kali bertanya bagaimana untuk menyimpannya bagi mengelak sesuatu yang tidak diduga berlaku.

Sebelum itu, beliau diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin bahawa alat peletup elektrik yang disambung bersama dua utas wayar putih amat sensitif dan tidak boleh disentuh sembarangan atau dihentak.

Ketika prosiding, Mohd Zaki meminta alat itu dipisahkan dengan bahan letupan lain dan dialihkan ke arah yang lain, dan ketika itu beliau mencadangkan ia diletak berhampiran Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, memberitahu mahkamah bahawa barang kes itu boleh menghasilkan letupan sekiranya ia berada hampir dengan telefon bimbit dan disimpan dalam keadaan panas.

“Mahkamah tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menyimpan barang kes ini tetapi ia dah jadi barang kes, kita akan simpan juga di sini,” katanya pada hari ke-53 perbicaraan melibatkan dua anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31 dan Kpl Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Okt tahun lepas dan 1 pagi keesokannya, di satu kawasan di Bukit Raja dekat sini.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka. Ketiga-tiganya boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Shaari, saksi ke-40 pendakwaan telah menandakan 70 barang kes yang diterimanya daripada pegawai penyiasat ASP Tonny Lunggan pada 17 Nov tahun lepas untuk dianalisis.
Teruskan membaca

“Inilah kali pertama diberi kesempatan berucap… selama 17 tahun perintah Kelantan..”

KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan semalam berterima kasih kepada kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana tidak menyisihkan negeri ini dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

MB terima buku Plan ECER dr PM Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata langkah Perdana Menteri itu membuatkan pihaknya kini terasa adanya perubahan baru dalam pembangunan negeri ini yang memang sudah lama diharapkan rakyat.

“Selama 17 tahun, saya diamanahkan memimpin Kelantan dan petang ini saya terasa adanya perubahan baru. Buat pertama kalinya, saya berada atas pentas bersama pemimpin negara dan alangkah manisnya hidup kiranya insan berlainan watak dan kerenah dapat bersatu.

“Inilah kali pertama saya diberi kesempatan berucap pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri dan saya bersyukur serta mengucap Alhamdulillah. Mudah-mudahan langkah ini akan memulakan jalur gemilang yang bersungguh-sungguh sebagai ganti jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini,” katanya.

MB ucap ecer Beliau berucap pada majlis pelancaran pembangunan ECER peringkat Kelantan yang disempurnakan oleh Abdullah di padang kompleks sekolah Kota Bharu dekat Wakaf Mek Zainab, semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas memberi jaminan, kerajaan negeri pimpinannya bersedia memberi segala kemudahan diperlukan Kerajaan Pusat untuk membangunkan Kelantan seperti dirancang dalam ECER.

“Selama ini, semua projek diluluskan Kerajaan Pusat di Kelantan sama ada membabitkan projek besar atau kecil tidak pernah dihalang pembangunannya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai komitmen kepada usaha Kerajaan Pusat membangunkan Pengkalan Kubor, kerajaan negeri meluluskan pembinaan jeti penghantar bekalan di kawasan itu.

Katanya, jeti itu bertujuan menyokong kerja penggerudian minyak dan gas di Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) membabitkan Thailand dan Vietnam di luar pesisir pantai Kelantan.

“Pembinaan jeti itu sudah bermula bulan ini dan akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri sekali gus membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri masih berharap agar cadangan supaya pendaratan gas dan minyak daripada pesisir pantai negeri ini di Pantai Senok, diberi perhatian dalam ECER.

Masa sama, Nik Abdul Aziz mendakwa sektor pertanian masih kurang diberi tumpuan dalam ECER sedangkan sejak dulu lagi Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian.

Teks penuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera

Yang Amat Berhormat
Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia dan isteri;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh
Menteri Besar Terengganu;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Haji Abdul Ghani Othman
Menteri Besar Johor;

YB Dato’ Seri Mohd. Effendi Norwawi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;

Yang Berhormat
Menteri-Menteri Kabinet;

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;

Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri;

Dif-Dif Kehormat;

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Alhamdulillah. Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini.

Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan.

Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini.

Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.

Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda.

Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi.

Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Tugas pemimpin laksana dasar Allah

Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat.

Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat.

Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah.

Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan adanya perubahan baru.

Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin negara.

Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.

Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi “Dan Kami berfirman: turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: “turunlah kamu semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 36 – 38).

Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini.

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin sekalian,

Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini.

Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000; kira-kira 7 tahun yang lalu.

Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita lalui.

Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa.

Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian.

Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian.

Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi

Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER, RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya.

Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh menjangkau Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK sebelas.

Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas.

Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan sasar.

Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan.

Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain komoditi yang utama.

Realiti dan waqi’ persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu dapat diisytiharkan.

Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar ‘satu lagi pelan’. Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia mengasyikkan:

Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba

Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan.

Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit.

Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi.

Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni.

Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin sekalian,

Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.

Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok.

Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk.

Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi.

Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini.

Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat ‘terlepas pandang’ dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini.

Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh.

Dalam feqah Islam, telah lama ditulis “hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz”.

Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.

Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara’, ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.

“Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya.” (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.

Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan.

Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.

Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu’ ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama.

Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.

Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah ‘pelan indah’ yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini.

Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.

Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan.

Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh.

Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.

Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi’in dan wali-wali zaman berzaman.

Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.

Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah.

Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini.

Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam

Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal ‘ubudiyyah’ sejak asal kita semua dijadikan.

Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep ‘Membangun Bersama Islam’, berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul hasanah.

Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T.

Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran ketuhanan.

Kami juga memuatkan prinsip mas’uliyyah yakni bekerja dengan penuh sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa.

Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik.

Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah Robbuljalil.

Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr), alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.

Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR, undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan.

Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah “maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada pengikutnya” sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul Karim. (Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).

Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran.

Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian. Apa erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti “halal hub” atau Jelapang Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini.

Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan

YAB Dato’ Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan konsep persekutuan.

Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.

Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami dengan penuh keterbukaan.

Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang, ya. Terasa juga.

Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu

Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini.

Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG DI KOMPLEKS SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN)

ECER: Pengkalan Kubor jadi Pusat perdagangan, pelancongan

KOTA BHARU: Kawasan Pengkalan Kubor di sini, akan dibangunkan sebagai pusat perdagangan dan pelancongan utama dalam pembangunan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, pekan sempadan itu berpotensi menjadi bandar pusat hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam dan Laos.

“Menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pengkalan Kubor paling hampir dengan Kota Bharu menjadi hab perdagangan di wilayah ini, hasil peningkatan hubungan darat dan laut yang dikembangkan.

“Palekbang pula akan dibangunkan sebagai Kota Bharu City Centre untuk memberi wajah baru kepada sektor pelancongan Kelantan apabila dimajukan sebagai bandar pelancongan yang kaya budaya dan warisan,” katanya ketika berucap melancarkan ECER peringkat Kelantan yang dirangka oleh Petronas di padang kompleks sekolah-sekolah Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab di sini, petang semalam.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican serta hampir 10,000 lapisan rakyat negeri ini.

Sempena pelancaran ECER, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis memeterai kerjasama antara Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menjayakan agropolitan Gua Musang.

Abdullah berkata, pelaksanaan ECER adalah usaha ikhlas Kerajaan Pusat untuk melihat semua negeri di Pantai Timur menikmati pembangunan menyeluruh.

Beliau juga meminta Kerajaan Pas Kelantan pimpinan Nik Aziz supaya bersikap ikhlas menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menjayakan ECER di negeri ini.

“Tiada sebab Kelantan perlu diketepikan ketika negeri Pantai Timur hendak dibangunkan. Kelantan dibawa sama masuk dengan niat dan tujuan ikhlas untuk menyelesaikan masalah dan menjayakan pembangunan untuk rakyat.

“Tidak ada tujuan atau niat lain kerana apabila ECER diaturkan, saya tidak menoleh ke belakang untuk mengungkit cerita yang pernah berlaku dulu, sebaliknya kita pandang ke hadapan.

“Jika kita hendak bekerjasama, tidak perlu kita mengungkit perkara lain yang berlaku pada waktu lain kerana ECER dirangka berdasarkan hakikat negeri di Pantai Timur mempunyai ciri yang dikongsi bersama,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau merujuk ucapan Nik Abdul Aziz yang sebelum itu mengambil peluang kira-kira 20 minit untuk mengungkit pelbagai perkara yang ditempuh Kerajaan Pas Kelantan pimpinannya sejak 17 tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, ECER dirancangnya bagi meningkatkan kemajuan dan taraf hidup rakyat di Pantai Timur kerana mengejar kemajuan adalah sebahagian daripada ibadah dan fardu kifayah.
Teruskan membaca

Rakyat kecewa dengan PM urus negara, PM pula kecewa dengan cara Polis serbu

Rakyat begitu kecewa dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri urus masalah jenayah dalam negara. Sepertikata Ahli Parlimen BN Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad dalam Dewan Rakyat pada rabu lalu (24 Oktober 2007 – ms 72).

Katanya “Yang menjaga kementerian ini ialah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Menteri Keselamatan Dalam Negeri dipegang sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Orang tengok orang tak nak datang Malaysia, kenapa? Jenayah. Orang tak nak datang jenayah, jangan sampai begitu. Sekarang ini alhamdulillah, pelancong masih datang sampai 10.6 juta tapi jangan biarkan benda buruk ini terus memburuk.”

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan kematian dua anggota polis yang ditembak penjenayah dalam operasi membanteras dadah di Sungai Buloh malam tadi kerana kejadian itu sepatutnya dapat dielak jika pasukan polis menggunakan strategi yang betul.

Perdana Menteri berkata bahawa daripada maklumat yang diterimanya daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pasukan polis yang hendak membuat itu sepatutnya memaklumkan kepada pasukan polis yang lain terlebih dahulu sebelum mereka bertindak.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh Musa, sepatutnya sebelum mereka membuat serangan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri supaya diadakan satu strategi mengepung dan cara-cara yang lain untuk mengelak apa yang berlaku.

“Tapi dia punya pendekatan tu tak kena. Kalau dibuat dengan betul dan dapatkan bantuan skuad-skuad tertentu, maka dapat kepung dan gunakan pembesar suara bagi tahu yang polis mengepung dan minta mereka keluar, maka tentulah pihak polis bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

Dalam kejadian di Jalan TS2 Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 7.30 malam tadi, dua anggota polis daripada cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ditembak mati manakala dua lagi cedera parah.

Ketika operasi itu dijalankan, empat anggota polis itu yang berpakaian biasa bersedia menyerbu sebuah rumah di taman terbabit yang dipercayai didiami anggota-anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Ketika anggota polis itu cuba memasuki rumah itu, penjenayah yang datang dengan dua kereta melepaskan beberapa tembakan ke arah mereka sebelum melarikan diri.

Abdullah berkata penjenayah itu pasti akan melakukan apa sahaja untuk memboloskan diri daripada ditangkap kerana disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati.

“Kalau pergi serbu begitu sahaja memanglah orang yang terlibat itu akan menembak polis untuk membolehkan dia melepaskan diri,” katanya.

Perdana Menteri berkata lokasi serbuan itu merupakan makmal bagi kumpulan penjenayah itu memproses dadah.

Musa: Serbuan ikutu prosedur
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau akan menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan sama ada serbuan polis ke atas sebuah rumah di Taman Suria, Sungai Buloh yang menyebabkan kematian dua anggotanya malam tadi mengikut prosedur.

Katanya antara perkara yang akan dilihat ialah pemakaian baju kalis peluru.
Teruskan membaca