KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengakui Rang Undang-undang Perlindungan Saksi masih lagi dalam proses penggubalan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau berhasrat mengemukakan perkara tersebut di mesyuarat mingguan Kabinet esok.
“Apa yang saya maksudkan, memang sedia wujud mekanisme perlindungan polis (kepada saksi). Misalnya, menurut Akta Dadah Berbahaya atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, seseorang saksi atau sumber boleh menerima perlindungan polis,” katanya.
Mekanisme seumpama itu, tambahnya, boleh juga diguna pakai dalam siasatan video perbualan, didakwa melibatkan seorang peguam yang sedang mengatur pelantikan hakim-hakim kanan.
“Kalau tidak, sesiapa sahaja boleh memberi alasan bahawa mereka enggan mendedahkan sumber-sumber kerana tidak wujud perlindungan (saksi) dan kita akan gagal menyelesaikan sebarang kes,” katanya ketika dihubungi The Star.
Mengulas kenyataannya semalam bahawa pemberi maklumat telah sedia dilindungi Akta Perlindungan Saksi, Nazri berkata fakta sebenarnya adalah rang undang-undang itu masih lagi di peringkat penggubalan.
Parti Keadilan Rakyat hari ini mempertikaikan kewujudan akta sedemikian seperti kenyataan Nazri.
Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah dalam satu kenyataan medianya kepada akhbar versi internet parti itu semalam mengulas kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz.
Tiada jaminan pelindungan saksi
“PKR tidak memandang tinggi jaminan keselamatan yang telah diberikan Nazri kepada sumbernya, berdasarkan kononnya ada ‘Akta Perlindungan Saksi’ yang didakwanya telahpun dibentangkan dalam Parlimen mutakhir ini,”kata Sivarasa.
Bagaimanapun jika benar Rang Undang-undang itu wujud, PKR menyarankan supaya pakar dalam bidang berkaitan ditugaskan untuk pengesahan seterusnya segera mengasaskan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat institusi kehakiman kita secara keseluruhannya, katanya.
Kata Sivarasa, rang undang-undang yang disebut Menteri Nazri itu tidak pernah dibentangkan dalam Parlimen.
Pada hematnya, ini jelas menunjukkan bahawa menteri yang sepatutnya menguruskan hal perundangan negara itu sendiri keliru tentang undang-undang negara yang sedia ada, katanya.
Parti itu bagaimanapun bersetuju jika kerajaan berhasrat mewujudkan Akta Perlindungan Saksi.
Filed under: Menteri JPM, Undang2 |
[…] Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau berhasrat mengemukakan perkara tersebut di mesyuarat mingguan Kabinet esok. (Selanjutnya) […]