Ucapan Penggulungan “Bajet Rakyat” Tahun 2008 YB Dato’ Hj Husam Musa – 27/11/2007

Jawapan Husam terhadap tuduhan pihak pembangkang.

Kelantan lantik 15 pegawai tadbir wanita

KOTA BAHARU, 27 Nov: Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini diberitahu bahawa kerajaan negeri telah mengambil sikap lebih terbuka dengan melantik wanita sebagai pegawai tadbir dalam pentadbirannya yang sebelum ini hanya dimonopoli lelaki.

“Sememangnya sebelum ini tiada wanita yang diambil berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam kerajaan, namun kami sudah mengubah polisi berkenaan bagi memberi mereka peluang berkhidmat kepada kerajaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Datuk Husam Musa.

Menjawab soalan Puan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas), Husam berkata pengambilan pegawai tadbir wanita itu ialah bagi memberi lebih ruang kepada mereka untuk berkhidmat dalam kerajaan.

Beliau berkata seramai 15 pegawai wanita itu telah dilantik dan sudah memulakan tugas mereka sebagai pegawai tadbir baru-baru ini.

“Apa yang kami buat ini membuktikan kerajaan negeri tidak pernah bersikap berat sebelah atau memilih gender dalam sebarang jawatan asalkan setiap calon berkelayakan atau berkebolehan.

“Kerajaan bersikap telus dalam soal ini, sesuatu jawatan dalam kerajaan diberikan berdasarkan kelayakan dan kebolehan tidak kira sama ada mereka lelaki atau wanita,” katanya.

Wakil BN Paloh ‘mengamuk’ lagi

Pembentangan Belanjawan 2008 “Bajet Rakyat” oleh Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jawapan lisan oleh Dato’ Hj Husam Musa menjawab soalan-soalan bertulis dan lisan – 25/11/2007

Belanjawan Rakyat tema Kerajaan Kelantan 2008

Pembentangan Belanjawan 2008 oleh YAB Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

“Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (Surah Al-Insaan: Ayat 1-3)

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Alhamdulillah, saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah Azzawajalla, Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Pengurnia, Maha Adil lagi Maha Penyayang, Kesyukuran seluas keredhaan Allah ke atas diriNya sendiri, sebanyak makhluk ciptaanNya, seberat arasyNya dan seluas ilmuNya di atas izin dan kurniaNya yang membolehkan saya membentangkan Anggaran Belanjawan Negeri kali ke-18 sejak Tahun 1991.

Ayat yang baru saya bacakan sekejap tadi merupakan kertas kerja asal Allah S.W.T. mengenai tujuan penciptaan manusia sejak ‘azali. Allah S.W.T. memperingatkan manusia tentang tujuan dia didatangkan ke muka bumi untuk diuji dengan perintah dan larangan. Melihat dan mendengarkah dia untuk memahami dan melaksanakan arahan atau sebaliknya? Seterusnya, Allah S.W.T. telah dengan tegas menjelaskan bahawa di sana adanya jalan yang lurus yang ditunjukiNYA dimana ada orang yang mensyukuri dan ada pula mereka yang mengkufurinya.

Oleh kerana Belanjawan adalah sebahagian yang penting dari perancangan manusia yang bertaraf makhluk kepada Al-Khaliq, maka pembentangan belanjawan mesti pada asasnya mendukung setiap prinsip ketetapan suruhan dan larangan Ilahi. Dengan kata lain, Belanjawan kali ini juga sedang diuji akan nilai perhambaannya. Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa sedar tentang hal ini, maka kita telah dan akan sentiasa cuba membawa kesedaran yang setiap sen wang rakyat dari apa yang bakal dibelanjakan di tahun 2008 nanti benar-benar bersemangatkan penjimatan dan keadilan sepenuhnya, Insya’Allah.

Bahkan, belanjawan kali ini adalah penerusan kepada cita-cita dan komitmen kerajaan Negeri yang telah dibentuk sejak 17 tahun lalu. Bajet yang bertemakan “belanjawan rakyat” pada kali ini benar-benar berhasrat untuk membawa negeri dan rakyatnya ke satu tahap pembangunan sosio-ekonomi dan pembangunan insan seimbang yang seutuhnya. Belanjawan ini akan meletakkan sekeping lagi batu-bata ke arah menyempurnakan lagi sebuah rumah yang sedang sama-sama kita bangunkan di negeri ini dalam semangat “Membangun Bersama Islam”.

Perlu juga difahami bahawa belanjawan bukan setakat sebuah alat perancangan yang cuma mementingkan pertumbuhan (growth) untuk tahun berikutnya. Dihujung perancangannya, belanjawan harus mementingkan pengagihan kemakmuran yang lebih saksama dan sekaligus memberi tekanan yang secukupnya untuk membina spritual rakyat ke arah memacu pertumbuhan rohani dan kebendaan yang berimbang kepada setiap warga di dalam negeri. Keseimbangan inilah yang disebut sebagai pembangunan insan tanpa mengira perbezaan kaum dan faham politik.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Saya mohon mengingatkan kembali diri saya dan semua orang kepada apa yang pernah saya sebutkan di dalam persidangan Dewan yang mulia ini pada tahun 1991. Ajaran Islam yang kita anuti meletakkan Dewan-Dewan Undangan Negeri atau mana-mana Parlimen sebagai satu Dewan yang mulia kerana ia tempat untuk memproses pemikiran ahli-ahli YB sekalian bagi tujuan mencari jalan, menyediakan perancangan bajet dan tatacara pelaksanaan berasaskan undang-undang azali yang telah dicipta oleh Allah Azzawajalla. Ibarat sebuah kilang kayu yang didirikan bukan untuk mencipta kayu tetapi untuk merancang dan memproses kayu itu untuk menjadi bahan siap atau separa siap, maka demikian juga dengan kedudukan Dewan yang ada pada hari ini. Sepatutnya, Dewan hanyalah tempat untuk akur dengan undang-undang yang telah diputuskan prinsipnya oleh yang Maha Pencipta di dalam kitab suci Al-Quran. Dari prinsip undang-undang pokok itulah, baru kita dibolehkan menggubal, membahas, merancang, membuat belanjawan dan melaksanakan apa jua undang-undang, peraturan, atau program yang selaras dengannya untuk maslahat umum rakyat jelata sekalian.

Peringatan ini saya kira penting supaya Dewan yang mulia ini terus kekal kemuliaannya kerana tidak menyalahi tertib dan keutamaan. Apa yang mulia disisi Allah wajib sentiasa didahulukan. Apa yang ada di sisi manusia harus sentiasa selaras dan berada di bawah dari kepentinganNya.

PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI
PANTAI TIMUR (ECER)

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Selaras dengan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktober 2007 di Kota Bharu tiga minggu yang lalu, izinkan saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri. Semoga ia akan meletakkan satu pancang utama ke arah pembaharuan semangat kerjasama berkonsepkan federalisme yang seikhlas-ikhlasnya. Jika keliru ditengah jalan, kita kembali ke pangkal jalan. Dalam hal ini, usah diragui akan kerjasama dari pihak kerajaan negeri. Yakinlah bahawa apa juga program yang bakal memberi manfaat kepada Islam dan seluruh rakyat akan didukung oleh kerajaan yang ada semampu dan sekudratnya. Tidak kami diajak turun mengusung makruf melainkan turunlah kami. Tidak kami diseru menentang kemungkaran melainkan berkerislah kami walau diajak di malam buta.

Ekonomi global diramalkan bakal terus berkembang pada paras sederhana iaitu 5.2 peratus pada tahun ini, akibat dari kenaikan harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat. Meskipun pertumbuhan pada tahun ini adalah rendah sedikit berbanding dengan tahun 2006, ia dijangka kekal kukuh dengan aktiviti ekonomi terus meningkat khususnya di negara membangun yang berkembang pesat seperti China, India dan Russia, di samping pemulihan di Eropah dan Jepun. Manakala inflasi dunia telah meningkat akibat kenaikan harga minyak, namun ia masih di paras yang terkawal.
Teruskan membaca

Ucapan Penggulungan YB Dato’ Hj Husam Musa – 22/11/2007