Titah Tuanku Sultan Kelantan kepada Sidang DUN

Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra merasmikan Persidangan Dewan Kali Yang Ke3 (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Ke-4 Dewan Negeri Kelantan Yang Ke11 19 November 2007.

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menitahkan Kerajaan Pas Kelantan supaya mempercepatkan semua urusan berkaitan tanah atau tapak bagi menjayakan semua projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di negeri ini.

Baginda juga mahu jentera penyelarasan pelaksanaan antara Kerajaan Pusat dan negeri dibentuk bagi memastikan projek ECER yang dirancang termasuk di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjalan lancar.

TITAH UCAPAN PERASMIAN PEMBUKAAN
PERSIDANGAN KALI YANG KETIGA (BELANJAWAN)
BAGI TEMPOH PENGGAL YANG KEEMPAT DEWAN NEGERI KELANTAN YANG KESEBELAS
OLEH KDYMM AL-SULTAN KELANTAN

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
Sesungguhnya segala puji dirafakkan kehadrat Allah Azzawajalla, Tuhan yang mentadbir seluruh perjalanan alam semesta ini, segala makhluk dan kehidupan di dalamnya.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Rasul yang telah membawa cahaya petunjuk kebenaran bagi kesejahteraan umat sejagat.

Selawat dan salam juga kepada para ahli keluarga, para sahabat serta para pengikut baginda yang sama-sama berjuang untuk Islam untuk Islam, serta sesiapa juga yang mengikut jejak langkah mereka itu dalam melakukan kebaikan dan kebajikan dari masa ke semasa hingga ke akhir zaman.

Beta bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan izinNya maka beta dan Raja Perempuan dapat berangkat hadir sama di dewan yang mulia ini bagi menyempurnakan perasmian pembukaan persidangan yang ketiga belanjawan bagi tempoh penggal yang keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan yang ke sebelas pada pagi yang permai ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Pada tahun ini negara kita menyambut dan meraikan 50 tahun kemerdekaan. Dilaporkan dalam tempoh tersebut ekonomi negara diurus secara mapan, dengan pencapaian pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang membanggakan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang, angka kemiskinan berkurangan dan pendapatan perkapita meningkat.

Corak pengurusan dan perkembangan ekonomi negara telah mempengaruhi struktur pembangunan ekonomi negeri-negeri, termasuklah negeri Kelantan.

Beta diberi maklum bahawa fokus pembangunan negeri ini diintegrasikan dalam rangka jangka panjang pembangunan wilayah, bersekali dengan negeri-negeri Pahang, Terengganu dan daerah Mersing, Johor yang dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau ECER.

Beta berharap program-program pembangunan ECER yang dirancangkan dapat mencetus dan mengembangkan peluang pelaburan dan guna tenaga di negeri ini, khususnya dalam bidang industri berasaskan pertanian, perikanan, kemudahan asas, petrokimia, gas dan pelancongan.

Beta sedar bahawa di samping program baru ECER, kita juga sedang menghadapi pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9). Beberapa projek utama yang diberi perhatian khusus ialah kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan, Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa III iaitu dari negeri Terengganu ke Kelantan. Beta berharap pembinaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dapat dilaksanakan segera.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

Beta mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri dalam membantu kelancaran pelaksanaan projek-projek di bawah ECER dan dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan. Urusan berkaitan dengan tapak atau tanah perlu dipercepatkan, dan jentera penyelarasan pelaksanaan di antara Persekutuan dan Negeri hendaklah dibentuk bagi memastikan pelaksanaan projek-projek Kerajaan Persekutuan di negeri ini berjalan lancar.

Kerajaan Negeri juga turut serta dalam mempergiat dan memperkembangkan ekonomi negeri melalui penglibatan pihak swasta dalam bidang-bidang berpotensi seperti pembangunan tanah, perladangan, prasarana pelancongan, pusat pertumbuhan perumahan, serta kemudahan asas yang lain. Walau bagaimanapun ianya perlu dilaksanakan dengan berkesan dan telus.

Pendekatan mesra pelaburan dan pembaharuan berorientasikan pasaran akan membuka peluang kepada pihak swasta untuk lebih aktif dan berminat menyertai dalam projek pembangunan di negeri ini. Beta berharap pelaksanaan projek-projek yang diluluskan dapat dipantau dan diselia dengan lebih rapi bagi memastikan prestasi projek dan undang-undang serta peraturan-peraturan berkaitan dipatuhi. Tanah adalah suatu sumber ekonomi yang penting bagi negeri ini. Keluasan tanah Kerajaan semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya untuk pembangunan semakin meningkat.

Beta berharap satu perancangan komprehensif dan jangka panjang dalam aspek pemilikan tanah dapat digubal segera dengan mengambilkira keperluan penggunaan tanah pada masa depan. Pendekatan pemilikan melalui agensi Kerajaan memang baik tetapi ianya perlu dilaksanakan dengan teratur, telus dan tidak bertindih antara agensi. Kerajaan patut menubuhkan satu ‘holding company’ dan semua agensi pembangunan tanah diletak di bawahnya dan dipantau dengan rapi. Tenaga pakar perlu dilibatkan dalam pembangunan ini.

Beta menasihatkan Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan tanah secara terancang, dengan memberikan keutamaan kepada projek-projek yang benar-benar berdaya maju iaitu syarikat-syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh, tanpa menafikan hak golongan rakyat.

Beta sukacita menarik perhatian Kerajaan Negeri supaya kawasan tertentu dikenalpasti dan dirizabkan sebagai tanah simpanan kegunaan pada masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Beta mendapat maklum bahawa Kerajaan Persekutuan mengekalkan agenda pembangunan social sebagai komponen utama dalam penggubalan dasar dan program ekonomi tahunan Negara. Kejayaan ekonomi sebenarnya ialah pencapaian taraf hidup yang lebih tinggi dan sejahtera. Dalam hal ini pembasmian kemiskinan tegar adalah menjadi focus dalam pelan pembangunan ekonomi Negara.
Peruntukan khusus disediakan bagi tujuan tersebut. Beta berharap kerjasama yang lebih cekap dan berkesan di antara jentera pentadbiran negeri dan persekutuan bagi menangani fenomena kemiskinan di negeri ini tercapai.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Kemajuan sesebuah negeri perlu diukur berdasar kepada tahap pembangunan yang menyeluruh dan bersifat holistic merangkumi kemajuan fizikal dan pembangunan insane. Pembangunan insan amat perlu diberikan keutamaan dalam melahirkan golongan rakyat berpengetahuan, bertaqwa dan berketrampilan.

Peranan institusi keagamaan seperti masjid dan surau perlu diperkuatkan sebagai suatu mekanisme berkesan dalam membantu Kerajaan mempertingkatkan ketaqwaan dan kualiti hidup.

Keberkesanan program-program keagamaan dan kemasyarakatan sedia ada perlu dinilai untuk mempertingkatkan keberkesanan dalam merealisasikan masyarakat makmur dan diredhai Tuhan agar Kelantan menjadi ‘role model’.

Beta gembira kerana Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dapat melaksanakan program bagi membantu penduduk yang miskin tegar. Beta sedih melihat ada lagi rakyat yang rumahnya begitu teruk dan tidak sesuai untuk didiami. Beta berharap pentadbiran bidang keagamaan terutama yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dapat diperkemaskan.

Jabatan ini asalnya satu unit yang ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beta berharap perkara ini dapat diteliti dan diselaraskan agar perlaksanaannya dapat dibuat dengan berkesan dan tidak menyimpang.
Beta mendapat maklum peruntukan untuk membangun Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan telah diluluskan.

Dengan wujudnya Kompleks Mahkamah ini akan memberi wajah baru kepada bidang kehakiman syarie dalam menyelesai kes-kes tertangguh. Kerajaan Negeri diharapkan menyedia peruntukan mencukupi bagi pembinaan Kompleks Islam di seluruh jajahan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

Sektor pertanian adalah asas kepada ekonomi negeri Kelantan dari segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan guna tenaga negeri. Program-program bagi merangsang sector ini telah dirancang selaras dengan sasaran menjadikan negeri Kelantan sebagai jelapang makanan Negara dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Beberapa program yang sedang dilaksanakan sekarang ini amat memberangsangkan bagi mencapai matlamat tersebut, antaranya program Jihad Ternak iaitu program penternakan kambing baka ‘Jamnapari’ telah dilancarkan bagi menggalakkan rakyat menceburi dalam sub sektor penternakan. Beta yakin program ini dapat menarik golongan muda menceburi bidang penternakan dan diperluaskan kepada jenis ternakan lain seperti lembu dan sebagainya.

Tahun 2008 merupakan Tahun Melawat Kelantan, dengan itu beta sukacita menyarankan usaha-usaha untuk mempelbagaikan destinasi dan produk pelancongan dipergiatkan lagi bagi menarik lebih ramai pelancong dan tinggal lebih lama di negeri ini, di samping meningkatkan promosi di peringkat antarabangsa.

Beta sukacita menyarankan supaya Kementerian Pelancongan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) dapat melaksanakan program dengan lebih berkesan . Tidak salah kita meniru kejayaan bidang ini di negeri lain seperti Melaka dan Sabah. Beta sedih melihat kemudahan pelancongan di negeri ini tidak dibangunkan dengan sepatutnya.

Sehubungan dengan itu pula, penggiat-penggiat pelancongan dan rakyat negeri Kelantan keseluruhannya dapat mengamalkan budaya “mesra Kelantan” yang bercirikan nilai-nilai ketimuran negeri ini. Kerajaan Negeri diharap dapat mengenalpasti bidang-bidang pelancongan baru yang bertaraf global seperti pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan pelancongan sukan. Kemudahan-kemudahan dan khazanah negeri yang sedia ada dalam bidang-bidang tersebut perlu dieksploitasi secara lebih berkesan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Beta merasa bangga kerana banyak pusat-pusat komersial telah dibangunkan di bandar Kota Bharu seperti pusat-pusat perdagangan dan hypermarket. Dengan adanya pusat-pusat perdagangan ini dapat memberi peluang kepada mesyarakat setempat mengambil bahagian dalam memasarkan keluaran barangan tempatan di samping memberi peluang pekerjaan.

Beberapa “Convention Centre” atau pusat perdagangan antarabangsa dalam peringkat pembinaan akan menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk mengadakan persidangan, seminar dan ekspo perdagangan di Kota Bharu serta dapat merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri ini.

Untuk merealisasikan cita-cita murni ini mutu perkhidmatan asas pihak berkuasa tempatan seperti penyediaan kemudahan infrastruktur iaitu pengurusan kawasan riadah dan rekreasi, keceriaan bandar, pelupusan sampah dan sisa pepejal dapat dipertingkatkan lagi.

Kemudahan untuk golongan remaja perlu dilaksanakan segera. Perlu ada tempat untuk mereka berkumpul dan mengadakan aktiviti yang sesuai dengan keadaan semasa.

Pada hemat Beta tahap kesedaran sivik orang ramai tentang kebersihan dan penjagaan harta awam masih lagi rendah. Justeru itu pihak berkuasa tempatan masih perlu mempergiatkan usaha-usaha yang benar-benar berkesan dengan mempertingkatkan kempen-kempen secara terancang bagi mengatasi aktiviti “vandalisme” yang masih wujud.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Beta difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah dan sedang melakukan perubahan-perubahan dalam mempertingkatkan kecekapan jentera pentadbiran dan sistem penyampaian kepada rakyat.

Banyak pembaharuan yang dilakukan termasuklah pelaksanaan e-payment oleh pihak berkuasa tempatan, e-aduan dan e-nikah oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan yang dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam negeri ini.

Beta juga diberi maklum perkhidmatan awam negeri telah disusun semula dengan penambahan dan kenaikan taraf jawatan. Justeru itu, diharapkan pegawai dan kakitangan Kerajaan dapat memperbahurui iltizam masing-masing untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang. Pegawai yang cemerlang adalah yang mampu menjalankan tugas dengan sempurna, bukannya yang mengampu dan berpuak-puak.

Beta difahamkan juga Kerajaan Negeri turut mengutamakan nilai-nilai integriti dan keutuhan dalam sistem perkhidmatan awam negeri. Pengwujudan Urusetia Integriti Negeri Kelantan diharapkan akan membantu Kerajaan Negeri membentuk jentera pentadbiran yang cekap, berdisiplin dan berintegriti, selaras dengan objektif Pelan Integriti Nasional. Moga-moga akan menampakkan hasilnya dalam masa terdekat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Beta sukacita menarik perhatian kepada saranan dan teguran Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Sudah sampai masanya Kerajaan Negeri lebih bersungguh-sungguh dalam meneroka dan membangun sumber-sumber baru dari khazanah bumi dan warisan negeri Kelantan. Penerokaan sumber-sumber baru ini akan dapat menambah hasil Kerajaan Negeri dan seterusnya menjana ekonomi negeri Kelantan pada masa depan.

Beta sedar bahawa Kelantan adalah di antara negeri yang buminya masih kaya dengan sumber-sumber mineral seperti emas, lempung bebola, batu kapur dan feldspar. Beta berharap Kerajaan Negeri memberikan perhatian dalam mengeksploitasikan sumber-sumber kekayaan perut bumi ini, bagi menjana kepada pertambahan hasil negeri.

Beta berharap Kerajaan dapat mencari jalan agar sumber mineral ini dapat memberikan pendapatan kepada Kerajaan. Tidak ada ertinya meluluskan permohonan tetapi kerja tidak dilaksanakan dan tidak ada pendapatan kepada Kerajaan.

Beta juga mendapat maklum bahawa pesisir pantai Kelantan adalah kawasan yang kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Beta berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberikan peranan utama kepada petronas carigali bagi meneroka kekayaan minyak dan gas di pantai Kelantan.

Beta berharap pembangunan industri minyak dan gas asli akan dibangunkan di Kelantan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru dan menjadi punca pendapatan kepada rakyat negeri ini.

Pembangunan sektor swasta di dalam bidang industri mineral, petroleum dan gas asli perlu digalakkan. Beta mendapat maklum bahawa ada pihak swasta yang berminat untuk membangunkan saluran paip dari Kedah ke Kelantan. Kemudahan dan iklim pelaburan swasta yang kondusif perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri agar peluang-peluang pelaburan berskala besar seperti ini dapat direalisasikan.

Kegiatan cari gali dan penggerudian minyak di perairan luar pantai Kelantan perlu dimanfaatkan sebagai suatu punca alternatif yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan sektor perniagaan di Kelantan.

Kemudahan berupa pembangunan pengkalan bekalan (supply base) perlu disediakan, memandangkan pengkalan bekalan terdekat yang sedia ada agak jauh iaitu di Kerteh, Terengganu.

Beta juga menyarankan supaya Kerajaan Negeri memberikan perhatian kepada penjagaan dan pembangunan kawasan sumber-sumber air negeri supaya mutu air mentah bagi perkhidmatan air negeri ini bertambah baik.

Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,
Akhir sekali, Beta berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar berkat perlindungan dan pertolongannya, negeri Kelantan akan terus berkembang maju, aman dan makmur. Semoga kita sentiasa diberkati dan diberi hidayah oleh Allah S.W.T.

Beta juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pegawai-pegawai dari Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pasukan keselamatan dan keamanan, Badan-Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Sukarela dan rakyat jelata sekalian kerana telah memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk memakmurkan negeri Kelantan yang kita kasihi ini.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan pembukaan persidangan kali yang ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal yang keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan kali yang kesebelas.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

About these ads

7 Respons

  1. Salam Tuan,

    Boleh ke dapat transcript titah Tuanku Sultan Kelantan?

  2. Semail…kkecek bagi rakyat klate ko..bagi pihok bini dio yang kuat bena caghi pitih tuh…dgn adanya ECER…maka penggeledahan tanah dan hasil bumi akan dirancakkan…mako bini dio pong jjadi loghak gaduh lah…takut buleh ko oghe laing….

    p/s: nok tanyo projek drajo pemeliharaan ikan di bukit sireh kuala nal tu jjadi guano lloni??

  3. ni org kelate ko dgn rajo sdiri pun komplen,buruk sangka..

    demo kalu rajo ado daulah mapuh keno daulah….

    kawe suko dgr rajo ryk gni..maknonyo beginda xsetuju dgn krajaan negeri gagal maju kelate..tanoh-tanoh abih nya retoh ko ore lain…pas janji nk wk projek xbuat2..brapo kali doh lancar..rajopun teraso jgk..raso mcm keno bodo ko puak2 pas..tgk janji nk wk retok kg laut-KB,pah ko loni xjadi2 lg…abih la pas kelantan time ngundi ni..

    bilo-bilo titoh sultan keno faham molek..

    xkan tuanku nk ryk sebutir2..malu la puok pas…

    duk putar kot lain harakah

  4. Tuan,

    Terima kasih :)

  5. kepada IIoni. kito ore kelate dan rakyat beraja jange kecek supo takdok adab????
    buat pengomen bernama IIoni jugak dah kito duk tengok hak x molek membabi buta jah??
    tlg ngaji sikit, banyak mengkaji dan banyakl baca ttg apo hak Tuanku oyak gak, x nanti ko tuk wakil kita pun kena mikir gakk

    kpd kujian plk ;
    JANGAN PRO BN(BARANG NAIK@ BUDAK NAKAL@banyak nipu)GAK ????
    MOLEK DAH HAK PIMPINAN KERAJAAN NEGERI BAWA???
    BERSYUKUR DENGAN KESEDERHANAAN >>>
    ADA KO BUNYI ORE KELATE MATI KEBULURAN LAGI SELAMA PAS MEMERINTAH???
    KALAU DEMO ORE TUA DAH GAK.. BERAT BENAR DAH PEMIKIRAN DEMO BOLEH KATA TAHAP TAK NGAJI SUNGGUH LA”””””

    Thank u…….

  6. assalamualaikum
    molek sungguh titah tuanku
    insyaAllah boleh diamalkan

  7. demo lo ni tak serupo mulo tok berani kawe nok tego..
    …………lalalalalaa….

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 369 other followers

%d bloggers like this: