Terima Kasih Orang Kelantan

Sajak Dinsman tahun 2000

“Menonton filem ‘Children of Heaven’ … menitis airmata”, kata Tok Guru MB

Children of Heaven ( Iran ) – Part I

Children of Heaven ( Iran ) – Part II

KOTA BHARU, 6 Dis: “Saya bukan orang yang suka menonton filem. Tapi malam ini saya menonton ‘Children of Heaven’ daripada awal hingga akhir, ekoran penulis skrip filem ini berjaya mengheret masyarakat menyelami nilai moral dan kemanusian. Filem ini boleh membuatkan sesiapa menontonnya menitis air mata,” demikian luahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu menyampaikan ceramah umum bertempat di Putik, Pengkalan Chepa, malam tadi sebagai reaksinya setelah menonton filem karya pengarah terkenal dari Iran, Majid Majidi, ‘Children of Heaven’.

Jelasnya filem tersebut menonjolkan isu bagaimana kemiskinan tidak menghalang dua beradik untuk menuntut ilmu walaupun terpaksa berkongsi kasut untuk ke sekolah.

Terdahulu, kira-kira jam 9.00 malam beliau menghadiri perasmian penutup Mini Fest Kelantan 2007 yang bertempat di Balai Islam, Lundang. Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan ucapan serta berkesempatan menonton filem yang memenangi anugerah filem terbaik di Montreal International Film Festival itu.

Majid Majidi serta rombongannya yang terdiri daripada Penerbit dari Rusia, Marat Sayfuddin serta pelakon, penulis skrip dan penasihat kepada Majid Majidi, Abbas Nouzari turut serta dalam program tayangan tersebut.

‘Children of Heaven’ merupakan filem terakhir yang ditayangkan sempena Mini Fest Kelantan 2007. Pada 4 November, dua filem Majid Majidi ditayangkan di tempat yang sama iaiatu Baran dan Colours of Paradise yang mendapat sambutan ramai.

Sementara itu dalam ucapannya sebelum tayangan filem tersebut, beliau menyuarakan hasratnya agar pembikin filem di Malaysia dapat menghasilkan filem-filem seperti Majid sebagai salah satu cara untuk menangkis salah anggap masyarakat Barat terhadap Islam.

“Melalui akhbar dan internet kita mampu menangkis serangan Barat. Dan kini kita berkemampuan untuk melawan serangan tersebut melalui filem.

“Majid Majidi ada meluahkan kepada saya bahawa beliau dukacita peluang-peluang tersebut tidak digunakan oleh umat Islam serta pembikin filem untuk menangkis serangan Barat. Majid Majidi menyatakan untuk kempen Nabi Isa berpuluh-puluh buah filem dibuat untuk memperburukkan agama Islam. Bagaimanapun orang Islam hanya mempunyai sebuah filem yang memperihalkan Nabi Muhammad S.A.W,” katanya.

Justeru katanya, sekarang merupakan peluang untuk masyarakat kita membalas balik serangan tersebut melalui filem dan katanya peluang tersebut telah digunakan oleh Majid Majidi untuk membalas tindakan tersebut.

Sementara itu beliau turut mengharapkan Darul Digital Multimedia Solutions Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang telah menandatangani surat hasrat dengan Majid Majidi untuk bekerjasama dalam penerbitan filem dapat memanfaat sebaik mungkin dalam kerja-kerja animasi dan penerbitan filem.

Dalam pada itu, Majid Majidi yang berbahasa Parsi dalam ucap tamanya yang diterjemahkan oleh seorang penterjemah ke Bahasa Melayu, melahirkan kegembiraan kerana dapat hadir ke sebuah negeri yang mana pemerintahannya berlandaskan Islam.

Selain itu, beliau juga menyatakan perasaan sukacitanya kerana Tuan Guru mengambil berat tentang seni budaya termasuk perfileman.

Pada kesempatan tersebut, beliau turut menceritakan pengalamannya di sebalik pembikinan filem Children of Heaven kira-kira 11 tahun lalu.

“Selama dua tahun saya mencari pelabur untuk filem ini. Walaupun dua filem saya sebelum ini telah mencapai kejayaan, tapi tidak ada yang sudi untuk melabur filem ini.

“Akhirnya di sebalik kesukaran tersebut saya berjumpa seseorang yang sudi melabur dengan kos yang sedikit. Walaupun Children of Heaven hanya menggunakan perbelanjaan yang sedikit tetapi filem tersebut memberi kesan seluruh dunia, ” katanya yang terus mengharapkan dapat menghasilkan filem yang baik pada masa akan datang.

Selain kesukarannya mencari pelabur untuk pembikinan filem tersebut, Majid turut menceritakan beliau juga mengambil masa agak lama untuk mencari pelakon yang sesuai. Akhirnya daripoda 3,000 hingga 4,000 orang yang menghadiri sesi uji bakat, hanya dua orang yang sesuai membintangi filem tersebut.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan Kerajaan Kelantan dan Iran dapat bekerjasama untuk menghasilkan filem yang bermutu pada masa akan datang.

Selain Tuan Guru dan rombongan Majid Majidi, turut menonton tayangan filem Children of Heaven ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Hassan Mohamood, isteri Tuan Guru, Datin Sabariah Ishak, dan Ketua Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Siti Zailah Mohamad Yusuf.

Ladang Felcra jana pendapatan baru Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan kini mempunyai sumber kewangan baru apabila Felcra Berhad menyerahkan semula tanah ladang seluas 1,400 hektar, yang diusahakan agensi itu sejak 20 tahun lalu, kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa berkata penyerahan tanah itu melibatkan empat kawasan iaitu di ladang Panggung Lalat 1, 3 dan 4 di Gua Musang yang diusahakan dengan tanaman getah serta ladang Gual Tambun di Rantau Panjang yang ditanam dengan kelapa sawit.

“Tanah ladang ini akan memberi pendapatan kira-kira RM900,000 sebulan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Husam berkata tanah yang diusahakan oleh Felcra adalah milik kerajaan negeri dan agensi itu turut bersetuju membayar sebanyak RM5.9 juta kepada kerajaan negeri sebagai ganjaran kerana mengusahakan tanah berkenaan.

“Hari ini Felcra telah membuat bayaran kedua sejumlah RM2.3 juta manakala bakinya sebanyak RM1 juta akan dijelaskan kemudian,” katanya.

Husam berkata penyerahan tanah ladang itu merupakan keputusan bersama antara kerajaan negeri dengan Felcra dalam satu perundingan selama empat tahun.

“Kita (Kerajaan Kelantan) hanya mengambil 70 peratus daripada tanah yang diusahakan oleh Felcra manakala 30 peratus lagi diberikan kepada agensi itu untuk diusahakan,” katanya.

Katanya ladang itu akan diuruskan oleh Perbadanan Menteri Besar dan yakin hasil yang diperolehi kelak mampu membantu golongan susah di Kelantan.

“Majlis penyerahan secara rasmi ladang berkenaan akan dibuat pada 12 Dis ini di Panggung Lalat dan akan dihadiri Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.

Lembaga Rayuan ditubuh terima aduan masyarakat terhadap PBT

KOTA BHARU, 3 Dis: Bagi mengelak rasa tidak puas hati masyarakat terhadap Pihak Berkuasa Tempat (PBT), Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan Lembaga Rayuan agar sesuatu perancangan digerakkan secara adil.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika berucap pada majlis perlantikan Lembaga tersebut berkata, badan ini merupakan satu tribunal yang bertanggungjawab mendengar, mempertimbangkan dan membuat keputusan dalam beberapa keputusan hal tertentu mengikut peruntukan dalam akta.

Menurutnya lagi, penubuhan badan itu selaras dengan hasrat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan hal ehwal perancangan bandar dana desa sebagai tanggungjawab bersama kerajaan negeri.

“Selain itu ianya juga memastikan semua aktiviti perancangan dan perlaksanaan bagi pembangunan guna tanah dapat dijayakan dengan teratur seimbang dan saksama.

“Kita ingin mengamalkan proses ini dengan cara yang adil dan rakyat berpeluang pula menyatakan sebarang rasa tidak puas hati terhadap keputusan PBT, ujarnya.

Badan berkecuali itu ditubuhkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, bagi memberi laluan kepada rakyat yang tidak berpuas hati terhadap Pihak Berkuasa Tempatan, khususnya Perancang Bandar.

Seramai lapan orang telah dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Dato’ Idris Yusoff dan timbalannya Dr Hassan Abdul Rahman termasuk enam orang anggota jawatankuasanya untuk mendengar rayuan orang awam terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan mereka.

Usul Penggantungan ADUN BN Paloh

Ucapan Perbahasan Bajet ADUN Kelaboran

Wakil BN Air Lanas Lawan Kok Lanas

————–
Ucapan pada 29 Nov 2007