“Komisen kapal selam, pesawat Sukhoi dan skandal Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang…kita ada bukti” – Anwar

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencabar Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri agar tidak memutar belit fakta-fakta berhubung pelbagai dakwaannya ke atas kerajaan Umno/BN kini.

DSAI Anwar mengalu-alukan untuk dinilai prestasinya sewaktu mejawat Menteri Kewangan selama lapan tahun secara terbuka.

Anwar yang mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya semalam berkata beliau tidak takut dengan kenyataan Najib itu malah mencabar secara terbuka.

“Saya tidak ada masalah kalau dia (Najib) nak nilai, dia boleh nilai, saya sebagai Menteri Kewangan lapan tahun dia boleh nilai, kita tak ada masalah,” ujarnya.

Anwar mempunyai bukti untuk mengaitkan dakwaan dakwaannya terhadap kerajaan termasuk isu yang membabitkan Najib.

“Dia kata saya tak ada asas.Saya sebut soal harga barang, negara hilang daya saing dulu nombopr 17 (1997) kini 23.Indeks korupsi kita dan semakin teruk. Isu korupsi kita ada bukti termasuk komisen kapal selam, Pesawat Sukhoi dan skandal Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ),” tegasnya.

“Apa asas yang dimahukannya lagi?.Saya tak ada halangan, tetapi ini jangan seperti yang dibuat oleh Umno sebar dakwan kata KeADILan pro-yahudi Cina dan Hindu, sebar di Permatang Pauh, burukkan saya.Ini tak ada etika dalam kempen,” katanya.

Jika Umno atau Najib ada bukti mengenai dakwaannya itu, Anwar mencabar mereka secara terbuka menjelaskan bukti-bukti.

“Dia tak boleh jawab tentang isu ekonomi, isu kenaikan harga barang, masalah jenayah yang sangat tinggi sejak merdeka, rasuah dan, mereka tak boleh nafikan hal ini,” ujar Anwar lagi.

Sebelum ini, Najib dalam beberapa siri jelajah kempen pilihan raya mengecam tindakan Anwar melemparkan tuduhan mengenai rasuah, masalah ekonomi dan kemelut jenayah negara.

Najib menyatakan bahawa apa yang didakwa Anwar dan pembangkang sebagai tidak berasas dan mahukan awam menilai prestasi seseorang pemimpin itu ketika berhadapan dengan krisis.

Advertisements

Mahasiswa ajak Tok Pa berdebat

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed diajak berdebat secara terbuka (live) dengan mahasiswa.

“Sila nyatakan di mana kawasan pertandingan anda di Parlimen/DUN. PMN mencabar Tok Pa (Mustapa) bertanding menentang suara mahasiswa,” ujar Presiden Penaja Parti Mahasiswa Negara, Azlan Zainal dalam satu kenyataan media yang dihantar hari ini.

PMN menyelar sikap Mustapa yang mendesak mahasiswa agar berikrar untuk tidak melibatkan diri dengan parti-parti tertentu di peringkat nasional.

“Kenyataan Tok Pa kelmarin yang mendesak mahasiswa Malaysia supaya berikrar untuk tidak terlibat dengan parti-parti politik tertentu di peringkat nasional disifatkan sebagai kenyataan paling bodoh pernah keluar dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Mustapa dilaporkan berkata semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari 10 IPT tempatan telah berikrar untuk tidak terbabit dengan kegiatan politik dan anti kerajaan di Kota Bharu kelmarin

PMN mendakwa pendirian dan sikap Mustapa terhadap perkara tersebut melambangkan kejahilannya yang begitu ketara apabila beliau masih menyalah gunakan Perkara 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

“Adakah hujah ini berpunca daripada kebodohan Tok Pa berhubung falsafah perundangan Negara? Apakah beliau tidak mengetahui konsep ketertinggian perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara mahasiswa termasuk bertanding dalam pilihan raya?

“Atau sebenarnya Tok Pa ini takut pada bayang-bayangnya sendiri sehingga terpaksa menggunakan Auku dan berlindung di sebalik kepimpinan MPP Institusi Pengajian Tinggi sekarang ini seumpama dicucuk hidung?” tegasnya.

Menurut Azlan, kenyataan dan sikap Mustapa memperlihatkan bahawa mereka seolah-olah takut untuk bersemuka dan berdepan dengan PMN.

“Kenapa beliau perlu takut bersemuka dan berdepan dengan PMN? Bukankah UMNO/BN terlalu kuat dalam pentas politik nasional?” katanya lagi.

Jelasnya, PMN hanya tidak lebih daripada kalangan mahasiswa yang mahu bertanding di atas kapasiti golongan mahasiswa secara demokratik dan melunaskan tanggungjawab sebagai warga negara

Tambahnya, apa yang lebih menghairankan, Mustapa dengan sewenang-wenangnya mengerahkan semua Naib Canselor dan Timbalannya di seluruh IPT agar mengenakan tindakan tatatertib Auku kepada mahasiswa yang terlibat dalam politik kepartian di peringkat nasional.

“Mahasiswa sudah lama menolak AUKU kerana ia terlalu bodoh untuk dipatuhi oleh mereka. Mengapa hari ini, PMN perlu tunduk pada akta yang bodoh ini?”

“Kami bukan budak suruhan Tok Pa yang sanggup diperbodohkan, tetapi kami mahasiswa yang merdeka dan sanggup berdepan dengan apa jua ugutan KPT demi mengasak agenda perubahan dalam pilihan raya ini,” demikian ujarnya

Felda kalah lagi kepada 354 peneroka Kemahang 3

Permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengetepikan perintah membayar saman berjumlah RM7.8 juta kepada 354 peneroka Kemahang Tiga, Tanah Merah, ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata beliau mendapati penghakiman perbicaraan tuntutan saman yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka berkenaan terhadap Felda dan dua defendan lain pada 13 Jan lalu di mahkamah yang sama adalah sah dan terpakai.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar setelah hakim Mohd Azman mendengar permohonan mengetepikan keputusan perbicaraan yang dikemukakan oleh Felda yang diwakili empat peguam yang diketuai Datuk Cecil Abraham.

Dalam saman itu, Felda dinamakan sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail dinamakan sebagai defendan kedua manakala Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.

Kesemua 354 peneroka itu diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal Yusof dan Muhd Azmi Talib.

Abraham ketika ditemui berkata defendan telah membuat permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah sehingga kes dirayu di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun Hakim Mohd Azman menerima permohonan Felda itu dan menetapkan 12 Feb ini untuk perbicaraan permohonan rasmi defendan untuk penangguhan penghakiman yang dibuat pada 13 Jan itu sehingga keputusan rayuan diperoleh.

Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada peneroka terlibat kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Mohd Azman memerintahkan keduadua defendan itu membayar ganti rugi am sebanyak RM7.1 juta dan ganti rugi teladan sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu iaitu RM710,000 serta kos, berkuat kuasa serta-merta, kerana mahkamah mendapati berdasarkan kepada keterangan semasa perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 Sept 2002.

Semasa prosiding hari ini, hampir 400 peneroka dan keluarga mereka hadir di mahkamah dan kebanyakannya dilihat membaca Al-Quran ketika prosiding berlangsung. BERNAMA

Mahasiswa Negara letak calon lawan Menteri Pengajian Tinggi di Jeli

Parti Mahasiswa Negara (PMN) hari ini menyatakan hasrat untuk mencabar Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed dengan meletakkan calon mereka di Jeli dalam pilihan raya umum nanti.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar, Setiausaha Politik PMN, Amirul Faiez Hamdi menegaskan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mencabar Mustapa Mohamed dengan meletakkan calon untuk bertanding di Parlimen Jeli.

PMN juga ingin bersemuka dengan Menteri KPT itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung beberapa kenyataan beliau yang terbukti menyekat suara dan tindakan mahasiswa walaupun umum mengetahui mahasiswa layak mengundi tapi dinafikan hak untuk menyatakan sokongan terhadap parti politik yang disokong.

“Bukankah mengundi itu juga menterjemahkan sokongan terhadap mana-mana parti politik kenyataan yang berbaur sentimen politik dan berkepentingan parti pemerintah?” soalnya.

Sejak pengisytiharan penubuhan PMN 7 Januari lalu di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pilihan raya Malaysia, pelbagai respon telah diterima PMN.

Setelah itu, PMN menterjemahkan keseriusan mereka untuk menyertai pilihan raya dengan mendaftar di Pejabat Pendaftaran Persatuan, Putrajaya pada 18 Januari.

Dalam perkembangan yang sama, beberapa menteri kabinet telah menunjukkan sikap dan pendirian mereka terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik.

“Malah kebanyakan respon adalah bersikap menentang dan melarang akan penglibatan mahasiswa di dalam politik lebih-lebih lagi di dalam waktu kemuncak menuju pilihan raya umum. Respon daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, menyatakan dengan jelas bahawa mahasiswa tidak boleh sama sekali terlibat di dalam pilihan raya berdasarkan AUKU 1975 seksyen 15,” katanya.

Menurutnya, kenyataan yang sama juga telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri KPT.

“Kami sama sekali tidak beriman terhadap AUKU 1975. Malahan secara terang-terangan kami sudah melanggar AUKU, mengapa masih menggunakan lagi akta tersebut dalam mengugut para mahasiswa yang memberikan sokongan terhadap PMN?

“Pendirian kami terhadap AUKU tidak pernah berubah sama ada ianya perlu dimansuhkan secara total mahupun akan dipinda beberapa seksyen yang terkandung dalamnya,” jelasnya.

PMN turut menyeru mahasiswa yang lain untuk bersama-sama dalam membawa agenda perjuangan memartabatkan rakyat.

Husam kesal kenyataan Tok Guru MB diputarbelit TV3 dan Bernama

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa yang juga anggota Exco kerajaan negeri melahirkan rasa kesal terhadap laporan berita TV3 dan Bernama yang tidak tepat dengan memutar belit kenyataan Menteri Besar berkaitan pakatan PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Kelantan.

“Saya kesal dengan laporan media terbabit yang telah memutar belit kenyataan asal Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz. Kenyataan asalnya beliau tidak mahu berlaku pertandingan tiga penjuru sehingga boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan pengundi,” tambahnya.

Bernama dalam laporannya sebelum ini menyebut Menteri Besar berkata, keyakinannya terhadap kredibiliti PKR semakin terhakis sambil menyifatkan parti itu mencelarukan.

Sedangkan Utusan Malaysia dalam laporan perkara yang sama pula menyebut Parti KeADILan Rakyat (PKR) diminta tidak meletakkan calon di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan Barisan Nasional.

Husam juga berkata, PAS atau PKR mesti memastikan calon dikemukakan benar-benar berpotensi untuk menang bagi mempertahankan kerajaan yang ada sekarang.

“Jadi konsep kita bukan jumlah kerusi antara PAS dan PKR yang perlu dipertikaikan di Kelantan, tetapi potensi kemenangan calon yang perlu dibincangkan,” ujarnya.

Husam doa cari adik Sharlinie

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa diiringi Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar melawat keluarga Sharlinie di Taman Medan Petaling Jaya tengahari semalam.
Doa Husam
Dalam pertemuan tersebut, Husam mengambil masa setengah jam untuk bermunajat bersama-sama rombongan dan keluarga kanak-kanak bagi meminta pertolongaNya agar Sharlinie selamat kembali ke pangkuan keluarga.

Dalam suasana yang tenang dan sayu itu, kedua-dua ibu bapa Sharlinie begitu khusyuk menadah tangan memohon pertolongan daripada Allah.

Kedatangan pemimpin PAS itu, bersama-sama PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan, disambut baik bapa kanak-kanak itu Mohd Nashar Mat Hussin, 29, isterinya Suraya Ahmad, 28.

rombongan Husam dan pas pjs
Husam melahirkan kebimbangan, akibat pelbagai jenayah yang menimpa rakyat negara ini terutama melibatkan kanak-kanak kecil termasuklah pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin Jazimin dan terkini pula kehilangan kanak-kanak Sharlinie, 5.

Husam mengajak seluruh rakyat negara ini berfikir dan sama-sama kembali serta mendekatkan anggota masyarakat kepada agama dalam erti kata yang sebenarnya.

Husam yang meluangkan masa kira-kira setengah jam turut memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada Nashar sekeluarga supaya bersabar dengan dugaan dan ujian daripada Allah.

Husam ketika ditemui berkata, keyakinan kepada agama boleh menjadi penghalang kepada perlakuan jenayah di semua peringkat dan segi.

“Kalau kita jauh dari agama biarpun polis sudah ramai, kamera litar tertutup pun sudah ada, kita tidak boleh jamin masyarakat kita selamat daripada penjenayah-penjenayah, inilah satu peluang untuk mencari satu kesedaran, ” katanya.

Justeru, Husam menegaskan usaha yang dibuat oleh kerajaan selama ini tidak cukup menyebabkan rakyat semakin jauh daripada agama.

“Kita didik masyarakat kita dengan cara yang tidak berteraskan agama akhirnya mereka hilang keyakinan hari akhirat dan hari pembalasan neraka, mereka sudah jadi syaitan,” katanya.
Teruskan membaca

Penjelasan Isu Bina Masjid

Penjelasan isu bina Masjid oleh YB Nasaruddin Daud, ADUN Meranti pada 11 Januari 2008