Kena ikut perintah Sultan

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berharap Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Said yang mengangkat sumpah jawatan semalam dapat melaksanakan tugas dengan amanah, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan.

mb tganu peluk

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, turut mendoakan Ahmad, 51, agar dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar sebaik mungkin.

Dalam ucapan ringkas pada majlis serah tugas di tingkat 18 Wisma Darul Iman, Idris yang kelihatan tenang sempat berjenaka apabila meminta hadirin menepuk tangan kuat sedikit selepas beliau menyebut nama Ahmad sebagai Menteri Besar dalam kata-kata aluannya.

Hadirin pada majlis penyerahan tugas itu diam seketika apabila Ahmad dan Idris berpelukan selepas bertukar dokumen dan masing-masing saling membisikkan sesuatu sehingga beberapa Adun mengesatkan air mata.

Majlis serah tugas pada jam 12.30 tengah hari itu diadakan selepas istiadat mengangkat sumpah Ahmad yang disempurnakan di hadapan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail di Istana Maziah.
Teruskan membaca

Advertisements

Jangan pijak memijak sesama sendiri – Titah Sultan Kelantan

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra semalam mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak ‘pijak memijak’ sesama sendiri untuk kepentingan diri, sebaliknya memikul mandat yang diberikan rakyat dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

titah taunku 30 mac 2008

Baginda berharap, kerajaan negeri yang baru dibentuk melaksanakan pembangunan yang membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dan jika ada perkara kurang jelas, pemimpin perlu merujuknya kepada pihak berkaitan melalui saluran betul.

“Beta mengingatkan semua wakil rakyat bahawa mandat yang diberikan rakyat adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan suatu kemegahan yang menjadi bahan perebutan dan peluang keemasan untuk kepentingan diri.

“Jadilah pemimpin bertakwa dan ingatlah kita akan mati dan orang sekeliling kita tahu apa yang kita buat, jangan pijak memijak sesama sendiri,” titah baginda.

Bertitah pada majlis pengurniaan pingat sempena ulang tahun keputeraannya ke-58 di Istana Balai Besar, di sini, Tuanku Ismail Petra meminta kerajaan negeri Kelantan yang baru dibentuk dapat menjana dan memperkukuhkan pengurusan kewangan negeri.

“Elakkan pembaziran di samping mengambil langkah yang lebih berkesan dan mantap bagi menjana sumber pendapatan negeri. Pastikan perbelanjaan kerajaan diurus tadbir dengan baik dan cekap serta mencari sumber baru bagi meningkatkan punca hasil negeri.

“Jadikan sumber mineral seperti minyak dan emas sumber baru di samping menarik kedatangan pelabur ke negeri ini,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan semua pihak agar memelihara sumber hasil negeri dengan merancang penggunaannya sebaik mungkin dan pegawai kerajaan perlu memastikan pengusaha terbabit mematuhi undang-undang dan peraturan yang dibuat secara telus serta mengambil kira kesan jangka panjang.

“Beta bersyukur apabila difahamkan bahawa jalinan perpaduan antara pegawai perkhidmatan awam negeri dan persekutuan serta agensi dan badan berkanun semakin erat dan mantap.

“Kerjasama itu adalah kunci penting kejayaan dalam penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan kepada rakyat jelata,” titahnya.

Sultan Kelantan turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid turut melahirkan perasaan gembira dan sukacita mengalu-alukan kedatangan tetamu dari dalam dan luar negara yang sanggup melapangkan masa memeriahkan sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda kali ini.

Arah boikot keputusan Istana, Presiden Umno patut didakwa

Oleh Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kenyataan Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang mendakwa tindakan biadap mereka memboikot Menteri Besar yang dilantik oleh Istana Terengganu, Datuk Ahmad Said adalah berasaskan arahan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi DPP Pusat, perbuatan biadap Presiden Umno ini telah menyebabkan berlakunya penderhakaan terhadap Sultan secara terbuka oleh ahli-ahli Umno Terengganu yang akhirnya boleh menggugat kestabilan politik negara.

Kesan daripada arahan Presiden Umno tersebut, kesemua ADUN BN kecuali Datuk ahmad Said telah bertindak menyokong Datuk Seri Idris Jusoh walaupun istana telah menolak bekas Menteri Besar itu.

Dalam masa yang sama 23 ADUN BN itu turut membawa penyokong mereka mengadakan perhimpunan haram di Kuala Terengganu untuk membantah istana. Rosol Wahid sebagai juru cakap kumpulan 23 ADUN BN ini juga telah mengeluarkan ugutan kepada Sultan untuk memulau Menteri Besar termasuk untuk tidak hadir majlis angkat sumpah. Mereka juga mengancam untuk meletak jawatan selain membuat ugutan untuk memecat Ahmad Said sebagai ahli Umno.

Perbuatan biadap dan derhaka 23 ADUN BN atas arahan Presiden Umno ini kemudian mengundang perbuatan biadap penyokong mereka. Selain mengadakan perhimpunan haram dan menghantar memorandum bantahan kepada istana, mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada istana.

Kemuncaknya, penyokong Idris yang ‘taat’ kepada arahan Presiden Umno itu telah menggelarkan Sultan Terengganu sebagai ‘natang’ (binatang). Kini setiap hari juak-juak Presiden Umno berhimpun secara haram di Kuala Terengganu dan di Kuala Lumpur, 23 ADUN tersebut mengadakan sidang akhbar untuk menyerang Ahmad Said atau Istana Terengganu.

Presiden dan Setiausaha Agung Umno pula dilaporkan memberi kata dua kepada Ahmad Said supaya tidak menerima watikah daripada Sultan Terengganu.

DPP Pusat berpandangan perkembangan politik derhaka Umno Terengganu ini mempunyai kaitan yang rapat dengan arahan Presiden Umno tersebut. Semua bentuk penderhakaan dan kebiadapan mereka adalah didorong oleh arahan tersebut.

DPP Pusat merasakan bahawa Presiden Umno mesti dikenakan tindakan undang-undang sama ada di bawah Akta Hasutan atau ISA kerana mengancam keselamatan dan kestabilan politik negara.

Presiden Umno itu juga tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana mengarahkan satu ‘perang terbuka’ ke atas Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong. Adalah tidak munasabah pemimpin sebuah parti derhaka seperti Umno untuk memimpin negara yang diketuai oleh raja yang diderhakainya.

Umno dicabar pecat Ahmad Said

Oleh: Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said kerana dipilih oleh istana untuk mengetuai kerajaan negeri itu. DPP Pusat juga bergembira kerana beliau telah memasuki pejabat di Wisma Darul Iman semalam walaupun ada usaha-usaha daripada BN untuk tidak mengiktiraf beliau sebagai Menteri Besar.

DPP Pusat menyokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar kerana beliau telah dipilih oleh Istana Terengganu mengikut Perlembagaan dan mengutuk pihak-pihak yang tidak berpuas hati terutama mereka yang bertindak di luar batas undang-undang seperti menghina Sultan Terengganu.

Umno sebelum ini telah membuat beberapa ugutan jika Ahmad Said menerima tawaran sebagai Menteri Besar. Umno juga mendakwa kononnya 22 ADUN BN Terengganu menyokong Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar dan sultan tidak berhak menamakan seseorang yang tidak mendapat sokongan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Ketika Ahmad Said diumumkan sebagai Menteri Besar, Umno Terengganu menerusi Setiausahanya, Datuk Rasol Wahid mengugut untuk memulau majlis angkat sumpah, meletakkan jawatan sebagai ADUN beramai-ramai, mengundi tidak percaya kepada Menteri Besar dan memecat Menteri Besar sebagai ahli Umno. Ugutan ini bukan ditujukan kepada Ahmad Said, tetapi untuk mencabar Sultan Terengganu yang memilih Ahmad Said.

Kini, Ahmad Said bukan sahaja menerima watikah perlantikan bahkan telah memasuki pejabatnya di Wisma Darul Iman. Bagaimana dengan ugutan Umno Terengganu? Walaupun Ahmad Said belum mengangkat sumpah, beliau telah menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar. DPP Pusat mencabar Umno Terengganu untuk melaksanakan ugutan mereka.

Jika Umno Terengganu benar-benar anak jantan, silalah meletakkan jawatan sebagai ADUN di 23 kerusi tersebut atau pulaukan majlis angkat sumpah nanti. Yang lebih mudah dilaksanakan ialah memecat Ahmad Said sebagai ahli Umno. Umno Terengganu mesti mendesak MT Umno yang bersidang Khamis ini untuk melaksanakan perkara ini. Jika tidak ternyata Umno adalah parti yang pondan yang hanya tahu mengugut Sultan tetapi masih gila kuasa.

Umno patut sedar bahawa mereka telah melakukan banyak kemungkaran sepanjang empat tahun memerintah, termasuk gagal mentadbir negeri dengan berkesan. Kelemahan Umno dilindungi oleh media, tetapi ia tetap dalam pengetahuan Sultan.

Sebagai Sultan yang adil dan bijak, mustahil baginda mahu rakyat terus tertindas dan dianiaya oleh seorang pemimpin yang rakus dan bertopengkan agama seperti Idris Jusoh. Kerana itu Sultan mengambil sikap menolak orang seperti ini untuk mengetuai kerajaan. Umno jangan cuba menderhakai Sultan atau memprovok rakyat supaya menentang Sultan Terengganu dengan slogan-slogan kesat. Ingat, raja yang adil disembah, pemimpin yang zalim akan disanggah!
—————
Penulis juga adalah Ahli Parlimen Kubang Kerian

Tahniah PKR-DAP-PAS Selangor, Umno Terengganu masih terkial-kial lantik MB

KLANG, 24 Mac: Sepuluh Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, empat daripadanya wanita, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, Isnin hari ini.

Mereka terdiri daripada empat orang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga orang dari PAS dan tiga orang dari DAP.

Empat anggota exco daripada PKR adalah Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr Xavier Jayakumar, daripada DAP ialah Theresa Kok, Ronnie Liu dan Ean Yong Hien Wah, manakala daripada PAS ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, Dr Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri serta Belia dan Sukan, Yaakob (Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan), Rodziah (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), Wong (Pelancongan, dan Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Jayakumar (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan, dan Kerajaan Prihatin).

Kok memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan) dan Yong (Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram).

Hassan pula memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Halimah (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan) dan Iskandar (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan).

Dalam pilihan raya 8 Mac lepas, PKR memenangi 15 kerusi, DAP 13 dan PAS lapan kerusi untuk menumbang kerajaan Barisan Nasional.

Di Kuala Terengganu, Umno yang kini seolah-olah ‘menunjukkan taringnya’ kepada pihak Istana melakukan tindakan yang mengejutkan banyak pihak apabila melucutkan keahlian Ahmad dalam Umno kerana mengingkari arahan Umno Malaysia supaya tidak menerima watikah pelantikannya itu.

Dilaporkan ADUN Kijal, Dato’ Ahmad Said, menerima watikah pengisytiharan pelantikannya daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang juga adinda Sultan Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik sebagai berkata bahawa pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut perlembagaan.
Teruskan membaca

Cerca Mukhriz bukti Umno/BN tidak demokratik

Oleh SALAHUDDIN HAJI AYUB, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan sikap dangkal dan angkuh para pemimpin Umno/BN yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa rakyat sudah menolak kepemimpinan tokoh Islam Hadhari, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya lepas. Mesej dari rakyat amat jelas bahawa mereka menolak amalan kronisme, nepotisme, rasuah, Islam Hadhari dan pemimpin lembab dalam kepemimpinan BN sekarang ini.

DPP Pusat percaya, tindakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan adalah bertujuan untuk menyelamatkan masa depan Umno/BN.

Sikap tidak mahu menerima pandangan kedua atau pendapat orang lain nampaknya begitu menebal di kalangan pemimpin Umno/BN. Ketika Tun Dr Mahathir memberikan pandangan-pandangannya, beliau dikritik hebat oleh pemimpin Umno sehingga ada yang mengatakannya nyanyuk dan ada yang menggelarnya ‘beruk’.

Kini, Datuk Mukhriz pula dicerca oleh pemimpin BN semata-mata kerana desakan beliau agar Pak Lah berhenti dari jawatannya. Inilah sikap dangkal, degil dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain yang bersarang dalam pemikiran Umno sehingga parti itu menjadi semakin tertutup dan feudal.

Bagi ahli-ahli Umno/BN bahawa pemimpin mereka selamanya ‘maksum’ selagi dia memerintah. Umno/BN ‘mengharamkan’ kritikan kepada pemimpin. Pemimpin hanya boleh dipuji dan disokong sahaja termasuk menyokong segala kezaliman dan penyelewengan mereka. Tetapi Umno/BN akan menjadi rasional untuk mengutuk dan mencerca bekas pemimpin yang telah bersara.

Lihatlah bagaimana Tun Dr Mahathi yang dahulunya dipuji melangit, tiba-tiba sahaja menerima kutukan dan cercaan pemimpin Umno bila beliau bersara. Oleh kerana Datuk Mukhriz tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan dan beliau ‘melawan’ Pak Lah, maka seluruh jentera Umno/BN menghina beliau.

Kita jangan lupa bahawa Pak Lah sendiri satu ketika dahulu pun berada dalam ‘Team B’ yang mendesak Dr Mahathir berhenti. Pak Lah menyertai Ku Li untuk menentang Dr Mahathir pada 1987 kerana tidak berpuas hati dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sekarang, mengapa apabila giliran orang lain mendesak kepemimpinan Pak Lah untuk berhenti, juak-juaknya bertubi-tubi mengutuk Mukhriz di samping mempertahankan Pak Lah. Ini adalah satu pemikiran yang amat tertutup, yang ditutupi oleh sikap tidak demokratik Umno/BN. Mereka tidak mahu ada suara yang cuba membetulkan kesalahan pemimpin.

Dahulu Musa Hitam, Tengku Razaliegh dan Anwar Ibrahim tersingkir kerana melawan arus yang tidak demokratik. Rakyat juga mengalami nasib yang sama apabila ISA digunakan untuk menutup mulut mereka. Kini rakyat telah membebaskan diri mereka dengan menolak BN, tetapi ahli dan pemimpin BN terus lemas dalam dunia feudal dan tidak demokratik ini.

DEB alat ‘Umnoputera’

oleh: SALAHUDDIN HAJI AYUB, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB. Lim Guan Eng untuk menamatkan DEB sebagai berunsur perkauman dan menyemarakkan ketegangan kaum.

Bagi DPP Pusat, Kerajaan DAP di Pulau Pinang berhak menentukan sendiri dasar mereka dan tidak bermakna penolakan terhadap DEB akan membakar isu perkauman.

DPP Pusat pada asasnya berdiri teguh di sebalik pendirian PAS yang mahu dasar-dasar nasional dikekalkan tetapi tidak bermakna PAS menyokong amalan-amalan korupsi, kronisme dan nepotisme dalam perlaksanaan dasar-dasar awam termasuk DEB. Selama ini DEB memang memberikan manfaat yang besar dalam merapatkan jurang kaya miskin antara kaum di negara ini. Tetapi, apa yang mendukacitakan ialah DEB dijadikan alat politik oleh BN untuk menekan dan memeras ugut rakyat sama ada atas sentimen ekonomi, politik atau perkauman.

Apabila DAP mengambil sikap menolak DEB ia mungkin selaras dengan perjuangan Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh parti itu. Tetapi ia tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan sentiment perkauman kerana DAP tidak bertujuan meminggirkan orang Melayu, sebaliknya memberi peluang sama rata kepada semua kaum. Pemimpin BN tidak patut mengalihkan masalah ini kepada PAS atau PKR atau rakyat yang mengundi DAP ekoran perubahan dasar ini. Perkara ini berlaku kerana dasar-dasar menindas yang diamalkan oleh Umno/BN atas nama DEB sebelum ini menyebabkan DAP berpandangan dasar ini sudah tidak relevan lagi.

Kita harus ingat bahawa DEB tidaklah memberikan manfaat yang besar kepada orang Melayu di Pulau Pinang. Umno yang berkongsi
kuasa dengan Gerakan dan MCA di Pulau Pinang ternyata gagal membela nasib orang Melayu. Ke mana perginya hak-hak orang Melayu di bandaraya itu? Bagaimana nasib tanah wakaf, peluang perniagaan, tanah rezab dan lain-lain yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu? Bukankah media kerajaan sendiri mendedahkan betapa melaratnya orang Melayu di Pulau Pinang? Kopondanan politik Umno sebenarnya menjadi punca orang Melayu terpinggir di negeri itu dengan kehilangan kuasa politik dan ekonomi serta mengalami keruntuhan sosial. Kini orang Melayu hidup terpinggir di Balik Pulau dan kawasan kampong di Seberang Perai. Perdana Menteri selaku Ketua Umno Pulau Pinang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah ini.

Rakyat sudah melihat punca sebenar kegagalan Umno mengimplimentasikan DEB untuk memajukan orang Melayu di Pulau Pinang. Puncanya kerana Umno mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme. Pertama, semua kekayaan negara diagihkan kepada kroni dan anak menantu pemimpin BN; kedua, hanya orang-orang Umno yang rapat dengan pemimpin tertinggi diberikan hak menguasai kekayaan Pulau Pinang; dan ketiga amalan rasuah telah menyebabkan orang Melayu tidak dapat bersaing dalam pasaran secara adil berdasarkan merit. Yang mendapat manfaat hanyalah di kalangan pemimpin Umno sahaja kerana kononnya mereka sahaja Melayu! Orang Melayu yang lain terus dibiarkan melayu dan melarat.

Inilah dasar ‘Umnoputera’ yang diamalkan dalam DEB yang bukan sahaja menjejaskan bangsa lain, tetapi orang Melayu sendiri. Pemimpin Umno tidak perlu tersinggung jika DEB dihapuskan. Sebaliknya mereka mesti berasa bersalah di atas kebobrokan amalan mereka sebelum ini. DPP Pusat tidak menyalah orang Cina atau India apabila mereka menguasai politik dan ekonomi negeri itu, sebaliknya yang bersalah ialah pemimpin Umno sendiri yang menggadai kepentingan bangsa untuk memenuhkan poket anak menantu sendiri. Pemimpin Umno jangan bercakap soal perkauman jika mereka sendiri yang membunuh masa depan anak bangsa kita.