Kerajaan daftar SAR ‘bermasalah’ dengan Kementerian – Nik Amar

Kerajaan negeri Kelantan hari ini mengakui hanya mendaftar Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ dan bermasalah dengan Kementerian Pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri hanya mendaftar 22 daripada 66 buah SAR seluruh negeri dan tidak sesekali akan mendaftar sekolah yang mempunyai reputasi baik dan berjaya maju dengan kementerian.

“Kita akui kita hanya daftar sekolah-sekolah agama yang bermasalah, sekolah yang sempit, sekolah yang mempunyai persekitaran yang tidak sempurna, dan sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan.

“Kita pilih sekolah daif dan uzur untuk didaftarkan, sama jugalah kita tak bawa anak yang sihat ke hospital, kita hanya bawa anak yang sakit saja ke hospital. Kalau bapa bawa anak yang segar masuk hospital, maknanya bapa tu yang tak segar,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Katanya kerajaan negeri menyambut baik langkah Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM5 juta untuk membantu semua sekolah agama yang telah didaftarkan di seluruh Kelantan itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengambil masa untuk mendaftarkan semua baki SAR yang lain dan hanya akan berbuat demikian sekiranya kementerian terbukti benar-benar ikhlas membantu semua sekolah yang telah berdaftar itu.

“Kerajaan negeri tidak menetapkan tempoh atau jangka masa tertentu untuk kementerian buktikan keikhlasan dalam urusan membantu sekolah-sekolah agama ini, kita akan tunggu dan lihat keberkesanannya sebelum mendaftar baki sekolah-sekolah berkenaan.

“Kita harap dengan pendaftaran ini, sekolah-sekolah yang lemah dan bermasalah akan dapat ditingkatkan tarafnya,” katanya.

Advertisements

Tidak semua 22 rombongan Haji anggota PAS – MB Perak

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan semua 22 anggota rombongan haji yang diluluskan khas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah anggota parti PAS.

Mohammad Nizar berkata kenyataan Ahmad Zahid mengenai hal itu adalah tidak benar kerana sebahagian daripada bakal haji berkenaan adalah pesara kerajaan dan tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak itu turut menafikan bahawa beliau dan isterinya Datin Seri Fatimah Taat termasuk dalam rombongan haji yang diluluskan itu.

“Saya dan isteri tidak pergi haji tahun ini, jadi saya perlu membetulkan kenyataan Ahmad Zahid dan menjelaskan bahawa daripada 22 bakal haji yang diperuntukkan bagi Menteri Besar antaranya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ramai yang tidak menjadi ahli parti politik. Ada cikgu pencen,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal Asia-Kesatuan Eropah (EU) di sini.

Beliau mengulas permohonan khas rombongan 22 anggota ke Mekah yang telah yang diluluskan Ahmad Zahid walaupun ada 348,000 dalam senarai menunggu tahun ini.

Bagaimanapun beliau amat berterima kasih kepada Ahmad Zahid atas keputusan yang dibuatnya.
Teruskan membaca

Program Ladang Rakyat tidak libatkan Hutan Simpan

Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan wakil Barisan Nasional (BN) bahawa program Ladang Rakyat telah melibatkan penggunaan hutan simpan yang hasil balaknya sebelum itu digunakan bagi tujuan membayar dividen kepada lebih 4,000 pesertanya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata sebaliknya penggunaan ladang itu membabitkan kawasan tanah kerajaan yang lain dan dividen itu diberikan melalui bayaran tahunan syarikat swasta yang terbabit mengusahakan kawasan ladang itu.

“Ini tidak benar sama sekali program Ladang Rakyat ini telah melibatkan kawasan hutan simpan dan hasil balaknya kini gunakan untuk membayar dividen. Ini tidak benar,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) kerajaan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Rabu.

Isu Ladang Rakyat itu ditimbulkan timbalan ketua pembangkang, Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) yang sangsi dengan program itu dan mendakwa ladang itu telah membabitkan kawasan hutan simpan.

Ustaz Dato’ Ahmad (PAS-Pasir Pekan) juga menafikan hasil balak ladang itu seperti yang didakwa Noor Zahidi perlu dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan.

“Sebaliknya wang tahunan itu tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan kerana ia merupakan entiti program yang berbeza sama sekali. Keputusan mengasingkannya adalah pandangan audit,” katanya.

Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat itu menerima dividen bulanan sebanyak RM200 seorang.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar itu juga berkata hasil penambahan pegawai dan kakitangan di Pejabat Tanah dan Jajahan sejak tahun lalu dan tahun ini, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan banyak tunggakan permohonan tanah.

“Tambahan pegawai dan kakitangan ini disebabkan pengstrukturan semula pengurusan pejabat tanah di seluruh negara bagi mengurangkan tunggakan permohonan yang begitu tinggi,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri telah berjaya memungut hasil tanah melebihi RM20 juta sepanjang tahun ini berbanding lebih RM13 juta pada tahun sebelumnya.

Dewan kemudiannya meluluskan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) dan persidangan ditangguhkan kepada satu tarikh lain.

Kerajaan Kelantan kaji ADUN BN cadang naik elaun Wakil Rakyat

Kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan bebanan mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya dipersetujui, elaun wakil rakyat akan meningkat 30 peratus menjadi RM4,840 sebulan berbanding sekarang RM3,600 sebulan.

Beliau berkata, cadangan supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah dan setimpal dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat berbanding pihak lain.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) supaya elaun dinaikkan, untuk makluman, kita tidak mengikut langkah kerajaan Pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

“Bagaimanapun cadangan ini perlu dibawa ke mesyuarat Exco terlebih dahulu untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat. Ia juga melibatkan peruntukan kecil iaitu RM690,000 setahun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, ketika sesi perbahasan bajet, wakil pembangkang, Nozula meminta kerajaan menyemak semula kadar elaun RM3,600 sebulan bagi wakil-wakil rakyat kerana mereka terbeban dengan tanggungjawab membantu banyak aspek keperluan rakyat.

Beliau menyifatkan kadar itu kecil pada masa sekarang dan menegaskan wakil-wakil rakyat tidak harus takut dikritik dalam soal itu kerana rakyat tentunya memahami.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat Pas mungkin keberatan untuk menyuarakannya tetapi mereka sedar tidak mampu untuk menghulurkan bantuan dengan elaun tersebut.

Husam berkata, dengan kenaikan harga barang dan bahan bakar, kadar elaun tersebut tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan wakil rakyat kerana ia bukan sahaja digunakan untuk keperluan peribadi tetapi dikongsi bersama rakyat.

“Sebagai contoh, jika dahulu wakil rakyat hanya perlu mengeluarkan wang sebanyak RM10 ketika pergi kenduri kahwin tetapi kini jumlahnya mungkin bertambah dua kali ganda, RM30.

“Saya harap selepas ini semua wakil rakyat berdoa agar ahli Exco dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

Agihan bantuan KWAM meminggirkan anak orang PAS

Sidang Dewan Undangan Negeri kelantan hari ini diberitahu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood berkata, sudah sekian lama, rakyat negeri ini dianaktirikan oleh mereka yang berkepentingan politik.

Katanya, akibat dari sikap rakus dan sombong pimpinan Umno di Kelantan, timbul rasa tidak senang hati di kalangan rakyat terhadap pemimpin parti itu.

Kata beliau banyak bukti yang menggambarkan sikap diskriminasi yang diamalkan termasuk pengagihan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM) di bawah kerajaan pusat, yang langsung meminggirkan anak-anak orang PAS.

“Saya berharap melalui beberapa ahli pembangkang dalam dewan ini dapat membuktikan sikap untuk bersatu bagi melihat rakyat hidup sejahtera,” ujar beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknoloji, Che Abdullah Mat Nawi berkata, sepatutnya isu baja subsidi sudah lama selesai kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.

Bagaimanapun katanya, memandangkan baja milik kerajaan pusat tidak diagihkan secara adil, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan sendiri baja untuk diagih kepada petani yang disisihkan.

“Bagi tahun depan sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi menyediakan baja tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi jawatankuasanya di persidangan Dun hari ini.

Oleh itu beliau juga berharap semangat perpaduan yang cuba diterapkan Ketua Pembangkang, Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad benar-benar menjadi kenyataan dan bukan sekadar menanam tebu di bibir.

“Saya minta maaf dengan kakitangan KADA kerana mereka begitu baik dan sering memberi kerjasama, tetapi masalah berlaku membabitkan pegawai atasan yang sukar memberi kerjasama,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak menghalang rancangan KADA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan agensi lain membangunkan sektor pertanian di negeri ini.

Che Abdullah juga berkata, program Jihad Ternak akan tetap dilaksanakan kerana ia boleh membantu petani meningkatkan pendapatan.

Menyentuh tentang kekurangan kakitangan di Jabatan Pertanian, katanya ia akan diisi secara berperingkat-peringkat.
Teruskan membaca

Wanita MCA sokong MB Selangor lantik Siew Moi

Pergerakan Wanita MCA menyokong keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Ketuanya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata dalam dunia global kini, perlantikan jawatan tinggi kerajaan tidak seharusnya berdasarkan kepada warna kulit atau jantina.

“Walaupun ideologi politik saya berbeza dengan Tan Sri Khalid, saya percaya dengan keyakinan serta kepercayaan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Selangor itu terhadap keupayaan kaum wanita untuk menerajui PKNS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang memiliki keupayaan dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan perlu diberikan peluang untuk mencurahkan khidmat bakti mereka.

“Sekiranya seseorang yang dilantik itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik, dia seharusnya dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatannya pada kedudukan itu, namun sekiranya di gagal, masih tidak terlalu lambat untuk menamatkan saja perkhidmatannya.

Chew turut menggesa Khalid supaya tidak dipengaruhi oleh pihakpihak tertentu yang prejudis dan mempersoalkan perlantikan Low berdasarkan kepada aspek kaum dan jantina.

Kelantan bayar RM220 juta hutang peninggalan Kerajaan BN

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan BN ketika PAS mula-mula mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sebanyak RM718 juta.

Katanya, setiap tahun kira-kira RM11 juta dibayar kepada kerajaan pusat, menjadi jumlah yang dibayar sehingga sekarang sebanyak RM220 juta.

“Jumlah hutang tersebut tidak termasuk pinjaman baru yang diluluskan bagi projek bekalan air bersih di negeri ini sebanyak RM371 juta,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) pada persidangan hari ini.

Menurutnya juga jumlah hutang tersebut meliputi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Stadium dan pihak berkuasa tempatan, keseluruhannya sebanyak RM572 juta.

Dan jumlah itu sekarang sudah berkurangan kepada RM268 juta.

Manakala bagi projek perumahan awam kos rendah (PAKR) masih berbaki sebanyak RM70.5 juta berbanding pada 1990 sebanyak RM72 juta.

Husam berkata, hutang bagi projek projek PAKR pada 1999 menurun kepada RM69 juta, namun sekarang meningkat kepada RM70.5 juta apabila dicampur kadar bunga yang dikenakan.

Katanya, jumlah hutang masih tinggi disebabkan keengganan pemiliknya menjelaskan sewa yang sepatutnya dibayar setiap bulan.

Menjawab soalan tambahan Ustaz Mohamad Mustafa (PAS-Demit) katanya, kaedah lama iaitu mengenakan faedah masih digunapakai kerajaan pusat terhadap hutang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

“Pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara sebelum ini saya sudah membangkitkan supaya kadar faedah dihapuskan. Saya kira Perdana Menteri yang ada sekarang masih mempunyai kuasa melaksananya sebelum Mac depan.

“Perdana Menteri perlu melaksanakan segera sebelum Perdana Menteri yang sedang menunggu mengambil alih tempatnya,” kata beliau.

Beliau juga berharap Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri mempengaruhi Dato’ Seri Abdullah supaya dihapus kadar faedah pinjaman yang dikenakan.