Sultan masih ada kuasa selesai krisis politik di Perak

Pensyarah kanan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, kedudukan pada masa ini berada dalam keadaan Perlembagaan tidak ‘berkata’ apa-apa dan tidak menawarkan apa-apa bagi menangani krisis yang berlaku.

“Dalam kes seperti ini, Sultan perlu menggunakan kuasa-kuasa simpanan yang ada padanya. “Menang benar kuasa itu tidak termaktub dalam Perlembagaan tetapi dalam menangani krisis seperti ini Sultan mempunyai kuasa, katanya kepada Bernama, hari ini. Beliau menjelaskan, ada dua cara Sultan boleh bertindak dan satu daripadanya adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tanpa nasihat seorang Menteri Besar.

“Satu cara lagi adalah Sultan membatalkan pelantikan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar dan kemudian membubarkan dewan undangan negeri,” katanya.

Beliau berkata, krisis itu boleh berlanjutan selama mana Mohammmad Nizar enggan untuk mengosongkan jawatannya yang boleh menimbulkan persoalan berhubung kesahan kerajaan baru.

Sehingga malam ini, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak walaupun jawatan itu kini secara rasminya telah disandang oleh Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir atas keyakinan yang beliau masih sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

SEMENTARA ITU, di KOTA BHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata PAS tidak akan mengiktiraf kerajaan baru negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Katanya beliau berpegang pada pendirian bahawa pilihan raya patut diadakan semula bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahukan.

Tok Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS percaya perkembangan terbaru yang berlaku di Perak itu didalangi pihak tertentu.

“Saya harap perkara ini tidak berjangkit ke negeri lain termasuk Kelantan. Kalau nak tubuh kerajaan, hendaklah dipilih oleh rakyat, bukan main tangkap saja,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di sini, hari ini.

%d bloggers like this: