Dr Zambry dan ‘kerajaan rampasan kuasa’ digantung 18 bulan

Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung sertamerta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa hari ini.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan keputusan itu selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN di sini hari ini.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (Adun Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

“Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

“Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Khabar angin juga bertiup semakin kencang. DUN Perak bakal dibubarkan. Menurut sumber, ADUN Bota dan Jelapang akan meletakkan jawatan. Satu delegasi Umno telah bertemu dengan Raja Nazrin Shah untuk membincangkan ‘pembubaran Dewan dan menyelamatkan keadaan’ yang tidak menentu.

Sementara itu, Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri sesi DUN.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan apakah tindakan susulan itu.

Zambry berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

“Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Katanya tindakan jawatankuasa berkenaan juga adalah subjudis memandangkan isu pelantikan beliau sebagai Menteri Besar telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar kesahihan pelantikan berkenaan. Menteri Besar berkata Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan yang besar apabila mendakwa di dalam kenyataan akhbarnya hari ini bahawa Zambry dan enam Exco berkenaan telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang tadi.

Menurut Zambry, beliau dan Exco berkenaan telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan mengemukakan sebab-sebab mengapa beliau dan enam exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

“Oleh itu dakwaan Speaker bahawa kami telah gagal menawarkan sebarang penjelasan merupakan satu penipuan paling serius yang dilakukan oleh seorang speaker,” katanya

——————–
SPRM diminta siasast Timbalan Speaker dan dua Bekas Exco
Satu laporan dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memintanya menyiasat Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan dua bekas anggota exco kerajaan negeri kerana didakwa menerima imbuhan untuk keluar dari parti masingmasing sehingga menyebabkan kerajaan pakatan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat di Perak tumbang baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Rakyat Perak, Khalil Idham Lim Abdullah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Titi Serong, membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara itu petang tadi bagi meminta agar SPRM menyiasat Timbalan Speaker, Hee Yit Fong daripada DAP dan dua bekas exco, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jailu, kedua-dua daripada PKR didakwa menerima sejumlah wang supaya menyokong Barisan Nasional.

Jurucakap SPRM ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

————————
Saman Nizar: Mahkamah tetapkan Isnin ini untuk sebutan kes
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Tiga isu itu ialah sama ada Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu, mengenai sama ada kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang dan mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Dr Zambry dalam saman itu.

Mohamad Ariff menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun memaklumkan mahkamah yang beliau perlu mendapatkan arahan mengenai pendirian Pejabat Peguam Negara mengenai tiga isu itu.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini selepas Mohammad Nizar memfailkan saman itu Jumaat lepas.

Hadir di mahkamah ialah Mohammad Nizar, yang diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah.

Dr Zambry diwakili oleh Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah peguam pemerhati bagi Umno.

Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Dr Zambry atau ejennya daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar.

Advertisements

Satu Respons

  1. apa kata superhero Malaysia, GomoMan, dalam isu ini. saksikan aksi gomoman di http://www.youtube.com/watch?v=rl44uRXl_GU

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: