Final PIala FA: Kelantan bertemu Selangor, 25 April 2009 di Stadium Bukit Jalil

SEREMBAN – Skuad Wira Merah, Kelantan membuktikan mereka pejuang hebat apabila bangkit menewaskan Negeri Sembilan (NS) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.

Walaupun kedua-dua pasukan terikat 2-2 dari segi agregat selepas NS menang 1-0 di Kota Bharu sebelum ini, namun Kelantan layak ke perlawanan akhir bertemu Selangor hasil kelebihan gol di tempat lawan.

Gol Kelantan dijaringkan Mohamad Norfarhan dan Indra Putra Mahyuddin sekali gus mengecewakan Wan Jamak Wan Hassan dan penyokong tuan rumah seramai lebih 20,000 orang yang sebelum itu begitu ceria dengan gol pendahuluan Mohd Asyraf Al-Japri.

Aksi babak pertama lagi jelas menyaksikan NS cukup agresif menguasai permainan dan hanya memerlukan masa lima minit sahaja untuk berada di depan.

Berpunca gerakan cantik diilhamkan Mohd. Zaquan Adha Razak membolehkan bintang muda, Mohd. Asyraf bertindak solo untuk gol pembukaan.

Ketika keadaan Kelantan masih kucar kacir, tuan rumah sekali lagi memperoleh peluang terbuka minit ke-14 juga menerusi Zaquan, namun sepakannya ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd. Shahrizan Ismail.

Kelantan yang tertekan cuba bangkit menggempur kubu NS dan mereka berjaya menjaringkan gol menerusi Khalid Jamlus pada minit ke-42 tetapi kemudiannya dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan pengadil itu terus sahaja membangkitkan kemarahan penyokong Kelantan yang mula melemparkan mercun ke arah Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Waktu rehat meredakan kembali keadaan dan ini diambil kesempatan oleh Kelantan pada babak kedua untuk bangkit dengan dua gol.

Bermula dengan gol penyamaan Mohamad Nor Farhan pada minit ke-48, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk mendahului hasil tandukan cantik Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-52.

SEMENTARA di SHAH ALAM – Selangor menghampiri kejuaraan Piala FA buat kali kelima apabila menundukkan Perlis 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua sekali gus menang dengan agregat 3-2.

Juara 1991, 1997, 2001 dan 2005 itu membuktikan kejaguhannya di Stadium Shah Alam, semalam menerusi dua jaringan ketua pasukan, Amri Yahyah biarpun sempat menerima tentangan dan cuba diikat dengan gol Azi Shahril Azmi.

Merah Kuning yang mengikat Singa Utara 1-1 di Kangar, 7 April lalu, membuka gol dengan tandukan rendah Amri yang menyudahi umpanan lambung Rudie di sebelah kanan untuk menembusi kawalan Farizal pada minit ke-15.

Malangnya, Singa Utara hanya membenarkan Merah Kuning bergembira selama dua minit apabila rembatan deras pemain tengah negara, Azi menewaskan penjaga gol Hamsani Ahmad sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-32, bek kanan tuan rumah, D. Surendran sempat mengancam gawang pelawat dengan sepakan bebas dari luar petak sejauh 30 meter namun Farizal ternyata lebih cekap membaca percubaan itu lalu menepisnya.

Dalam tempoh dua minit awal babak kedua, Selangor beroleh peluang keemasan untuk kembali mendahului, namun rembatan Safee dan sepakan bebas Surendran sekadar menyinggahi tiang dan palang gol Perlis.

Tempoh selebihnya jelas milik Selangor yang melancarkan pelbagai gerakan dan asakan menerusi Rudie, Amri, Safee dan Amirulhadi Zainal yang masuk menggantikan R. Surendren, namun kubu lawan masih kukuh menyerapnya.

Penantian gol kemenangan yang menyeksakan tuan rumah itu tiba-tiba berkesudahan setelah Amri sekali lagi menggunakan kepalanya untuk menewaskan Farizal hasil sepakan sudut Surendran pada minit ke-90.

Perlawanan semalam berlangsung dalam keadaan terkawal dan semangat kesukanan yang tinggi.

———
Dalam Liga Super sebelum ini Kelantan menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman pada 4 April 2009 lalu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: