Pilihanraya Kecil DUN Penanti: BN ‘boikot’?

Buat julung kali dalam sejarah pilihan raya negara ini, kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) mengkaji langkah untuk ‘tidak bertanding’ dalam pilihan raya kecil DUN Penanti.

Lazimnya, BN akan menang tanpa bertanding kerusi pada hari penamaan calon pilihan raya umum, malah tidak pernah melepaskan peluang mencuba nasib pada pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Kali ini suasana agak berlainan.

Penanti salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membayangkan BN berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Jika ia menjadi kemungkinan apakah Pakatan Rakyat, yang akan menurunkan calon PKR, akan menang mudah tanpa bertanding?

Ataupun pertandingan tetap diadakan jika ada calon Bebas pula yang turun gelanggang.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata, BN perlu melihat terlebih dahulu sama ada pilihan raya kecil itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

Samada Pilihanraya ini akan diadakan atau tidak akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada rabu ini.

“Tak tahu lagi (sertai atau tidak) kita tengok dulu tapi saya tak ketepikan apa juga kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Meraikan Perdana Menteri peringkat Parlimen Pekan di Kuantan hari ini sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Sehubungan itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bertemu dengan presiden-presiden parti komponen BN bagi membincangkan perkara itu.

“Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat MT akan datang, kalau tak sempat saya akan bawa kepada Biro Politik, dan juga bincang dengan presiden-presiden parti komponen BN,” kata beliau dipetik Bernama.

Banyak pihak mengesyorkan agar BN tidak meletakkan calon bersaing di Penanti atas beberapa alasan.

Ini termasuklah bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa. Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk penggunaan wang lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Malah syor yang sama pernah diutarakan ketika kerusi Permatang Pauh dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding Ogos lalu.

Ketika itu syor agar Umno dan BN tidak meletakkan calon diutarakan oleh Pengerusi Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Kali ini, Najib berkata, BN akan sepakat berhubung pilihan raya kecil itu.

“Sebab kita perlu kuat kata sepakat, dalam hal ini jelas sekali ini satu mainan politik mereka (pembangkang), dengan tujuan mereka itu kita dapat mengesannya.

“Ini bukan sebab peruntukan Perlembagaan Negara, kalau disebabkan perlembagaan negara, kita tetap hormati,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan.

Najib menekankan bahawa pilihan raya kecil itu sepatutnya hanya diadakan apabila seseorang wakil rakyat itu meninggal dunia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti di Pulau Pinang ekroan keputusan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan kelmarin.

“Peletakan jawatan ini merupakan keputusan politik dan boleh disifatkan sebagai mainan politik untuk tujuan tertentu. Jadi rakyat pada umumnya tidak suka pilihan raya kecil yang sengaja diadakan,” kata Najib.

Malah semalam, Najib juga berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan selain daripada kematian, sebab-sebab lain yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan ialah jika seseorang ADUN dan Ahli Parlimen itu diisytiharkan bankrap atau tidak berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya kerana faktor-faktor tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata meletak jawatan adalah bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.

Khamis lepas, Mohammad Fairus mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti.

Mohammad Fairus, 32, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata langkah beliau itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran. – mstar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: