Gomo Kelate Gomo bergema di Stadium Bukit Jalil

BADRI Radzi (Ketua Pasukan Kelantan, dua dari kanan) menjadi harapan untuk menyekat jentera serangan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala FA, esok. - UTUSAN

BADRI Radzi (Ketua Pasukan Kelantan, dua dari kanan) menjadi harapan untuk menyekat jentera serangan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala FA, esok. - UTUSAN


BAHANG pertemuan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Kelantan makin terasa dan ramai yang beranggapan peluang keduanya seimbang berasaskan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Hanya pasukan yang bermain dengan lebih baik akan muncul sebagai juara dengan keinginan Kelantan ternyata lebih besar apabila inilah kali pertama setelah hampir empat dekad, Kelantan melangkah ke final dalam kejohanan berprestij negara.

JURULATIH Kelantan, Peter Butler (kiri) dan pemain Kelantan menjalani latihan di Kelab Aman menjelang final Piala FA, esok.

JURULATIH Kelantan, Peter Butler (kiri) dan pemain Kelantan menjalani latihan di Kelab Aman menjelang final Piala FA, esok.


Tentunya pada Sabtu ini, Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi medan percaturan strategi antara dua jurulatih terkemuka, Peter Butler yang berasal dari Eropah dan K. Devan, seorang jurulatih tempatan.

Namun Kelantan tewas 1-4 kepada Selangor dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 dalam waktu tambahan.


Wartawan RODELIO JUNJUN TAUCAN meninjau pandangan Peter Butler bekas pemain West Ham United ini tentang anak-anak buahnya.

Utusan: Ada yang melihat perlawanan akhir ini pertembungan keupayaan antara jurulatih import dengan jurulatih tempatan. Apa komen anda?

BUTLER: Devan merupakan antara jurulatih yang amat bagus di negara ini. Beliau telah memberi sumbangan yang amat besar dalam bola sepak Malaysia dan juga amat berpengalaman.

Jika dibandingkan saya memang lebih muda daripadanya, namun saya berasal dari Eropah di mana saingan bola sepak di sana amat kompetitif. Oleh itu saya juga tahu bagaimana menghadapi situasi perlawanan akhir seperti ini.

Apa kelebihan Kelantan berdepan Selangor yang merupakan sebuah pasukan dengan tradisi selalu layak ke perlawanan akhir di negara ini?

BUTLER: Kelantan memang adalah pasukan baru yang dikuatkan oleh dua atau tiga pemain berpengalaman. Selangor pula merupakan antara pasukan gah di negara ini. Bagaimanapun Kelantan tidak akan takut dan pemain akan menunjukkan semangat juang sehingga ke wisel penamat. Kami akan terus menyerang mereka.

Biarpun Selangor mempunyai ramai pemain yang bagus dan menjadi kerap ke perlawanan akhir tetapi corak permainan Kelantan kini memberikan kelebihan. Dalam bola sepak kita memperkatakan siapa yang lebih baik.

Apakah anda yakin dengan prestasi anak buah anda?

BUTLER: Saya sangat yakin… seperti saya katakan saya berasal dari Eropah, oleh itu saya tahu bagaimana mahu mempersiapkan pasukan saya untuk menghadapi setiap perlawanan. Saya harap prestasi terbaik pasukan ini akan terus berkekalan kerana banyak lagi piala yang ingin kami menangi.

Apa maknanya kemenangan ini bagi anda yang berjaya membawa Kelantan ke perlawanan akhir pertama dalam sejarah?

BUTLER: Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Namun, saya tahu tanggungjawab saya masih belum selesai selagi Kelantan belum berjaya mendakap piala tersebut. Saya juga realistik dengan peluang Kelantan dan yang pasti pemain akan bermain mati-matian.

Di mana kelemahan Selangor?

BUTLER: Semua pasukan ada kelemahan tidak terkecuali Selangor. Namun, Selangor juga mempunyai kekuatan sendiri. Bagaimanapun saya tidak mahu bercakap mengenai pasukan lawan kerana saya ada pasukan sendiri.

Kami cuma hormati mereka sebagai lawan kami begitu juga mereka perlu menghormati kami. Di atas padang nanti Kelantan akan kekal dengan corak menyerang.

Di bawah bimbingan Peter Butler musim ini, Badri Radzi seperti beberapa pemain Kelantan lain mulai menyinar dan diberi tanggungjawab besar menerajui skuad dengan lilitan kapten pada lengannya.

Lebih dikenali sebagai Piya, Badri yang bertindak sebagai perancang bagi skuad Kijang kini berdepan dengan tuntutan cukup berat, Sabtu ini; memastikan skuad Kelantan pulang membawa Piala FA.

Badri sedar dia perlu menyerap tekanan lebih berbanding rakan-rakan lain bagi memastikan gerakan berasaskan strategi untuk disudahkan oleh barisan penyerang Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Mohd., Che Hishamuddin Hassan dan Khalid Jamlus.

Kebijaksanaannya kali ini amat dituntut merencanakan gerakan serta membuka peluang kepada jentera penggempur Kelantan itu.

Pembantu jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha pernah memberitahu bahawa, Piya merupakan antara kekuatan Kelantan kerana selalunya jika dia beraksi baik maka, keputusan juga lebih memihak.

Ketenangan serta kreativiti amat ditagih oleh jurulatih, Peter Butler dan puluhan ribu penyokong setia sang Kijang dalam misi memburu Piala FA, merintis sejarah dengan peluang pertama terbuka untuknya.

Menumbangkan Selangor bukan suatu yang mudah tetapi menurutnya, ia juga bukan suatu yang mustahil kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

“Kami semua sudah bersiap sedia. Ini adalah pengalaman pertama saya dan rakan-rakan yang kecuali Khalid (Jamlus) dan Indra (Putra Mahyuddin) yang pernah beraksi sebelum ini.

“Perasaan kami juga agak bercampur baur, berdebar, bimbang dan teruja kerana akan beraksi depan puluhan ribu peminat selain cabarannya juga berbeza,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, nasihat jurulatih serta rakan-rakan yang mempunyai pengalaman adalah amat berguna untuk menyerap segala tekanan yang ada.

Jelasnya, pemain-pemain kini sudah siap untuk turun beraksi dan berharap tuah akan memihak kepada pasukan Kelantan yang sememangnya dahagakan kemenangan.

“Jurulatih mahu kami semua ‘enjoy’ dalam perlawanan esok dan minta kami main seperti biasa. ini peluang kami untuk mencipta kejutan selain mencari pengalaman baru.

“Saya juga akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan bermain dengan lebih tenang untuk membuka peluang kepada rakan-rakan menjaringkan gol,” ujarnya.

Ketika ditanya siapakah pemain Selangor yang perlu diawasi ketika pertembungan Sabtu ini, Badri menyifatkan mereka mempunyai kekuatan yang seimbang dengan Kelantan, cuma perlu mengetatkan kawalan terhadap Amri (Yahyah).

“Kita tidak mempunyai rancangan khusus untuknya namun, dia seorang pemain yang bagus dan dia boleh muncul dimana-mana sahaja untuk menjaringkan gol, jadi kita perlu mengawasinya,” ujarnya.

————
Devan: Peluang 50-50
‘FINAL impian’. Itulah jolokan perlawanan akhir Piala FA 2009 antara Selangor menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok.

Sejauh mana Red Giants yang sudah sinonim dengan aksi di pentas akhir mampu menyekat Red Warriors yang mahu melakar sejarah menggenggam trofi Piala FA.

Berbanding Selangor yang sudah empat kali menjulang Piala FA sejak trofi itu diperkenalkan pada 1990, Kelantan pula, sebaliknya mahu merasai nikmat juara dalam pertandingan utama.

Pada 1970, atau lebih tepat lagi 39 tahun lalu, Kelantan mara ke pentas final Piala Malaysia, namun tunduk kepada 0-2 kepada Perak.

Namun, menanti Kelantan nanti bukan calang-calang pasukan. Selangor yang mendapat sentuhan magis K. Devan, antara calon untuk jawatan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan sebelum ini.

Di saat debaran babak akhir semakin memuncak, wartawan SAYED HESHAM IDRIS sempat menyelami debaran Devan yang mahu memahat nama sebagai antara penyumbang juara Piala FA untuk Selangor selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

UTUSAN: Apakah perbezaan membawa Selangor ke perlawanan akhir kali ini berbanding ketika anda membawa Negeri Sembilan ke penentuan piala yang sama pada 2003?

Devan: Debaran dalam mana-mana aksi final tetap sama. Bersama Selangor debarannya lebih dirasai kerana pasukan ini mempunyai ramai penyokong fanatik. Mereka ini meletakkan harapan tinggi untuk pasukan kesayangan mereka menjulang piala ini yang terlepas ke tangan Kedah sebelum ini. Janji saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan penyokong.

Secara umumnya apa jangkaan anda mengenai pertembungan esok?

Devan: Ya… ia pastinya satu perlawanan menarik kerana melibatkan dua pasukan terbaik tanah air masa kini. Saya rasa peluang kedua-dua pasukan untuk muncul pemenang adalah 50-50. Kami menghormati Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman, ada di antara mereka yang merupakan kebangsaan ketika ini. Kelantan satu pasukan yang kuat. Berkemampuan menjaringkan gol di tempat lawan. Kita boleh lihat bagaimana Kelantan yang ketinggalan 0-1 pada separuh akhir pertama, akhirnya menang 2-1 di tempat lawan kepada Negeri Sembilan sehingga mara ke final. Saya akui Kelantan memiliki kekuatan tersendiri. Selangor perlu berhati-hati.

Selangor menang 3-0 perlawanan pertama, namun seri 1-1 pada perlawanan kedua dengan Kelantan dalam Liga Super. Apakah keputusan itu akan mempengaruhi perlawanan esok?

Devan: Memang Kelantan bermain lebih baik pada perlawanan kedua. Jentera pertahanan Kelantan lebih tersusun pada perlawanan kedua berbanding aksi pertama di Shah Alam. Namun, perlu diingat keputusan seri dicatat ketika kami tidak dapat menurunkan kesebelasan utama. Keputusan kedua-dua perlawanan tidak boleh diambil kira apabila beraksi di akhir. Aksi liga berbeza dengan perlawanan akhir. Babak akhir perlu ditamatkan dengan salah satu pasukan muncul sebagai pemenang. Final mengejar kejuaraan bukan tiga mata penuh seperti dalam liga. Di sini, saya harap penyokong Selangor akan menawan Stadium Nasional untuk mengimbangi penyokong Kelantan. Mengenai gelanggang aksi akhir, mungkin ada yang menganggap kami beraksi di tempat lawan kerana Stadium Nasional merupakan gelanggang Kelantan, namun realistiknya ia adalah gelanggang neutral.

Perlawanan esok merupakan percaturan taktikal antara anda sebagai jurulatih tempatan dan Peter Butler sebagai jurulatih asing. Apa pendapat anda tentang Butler?

Devan: Butler seorang jurulatih yang bagus. Dia berjaya membentuk Kelantan menjadi sebuah pasukan yang kuat walaupun pemainnya bukan dari kalangan anak jati Kelantan. Menerusi sentuhannya, Kelantan muncul sebagai satu pasukan terkuat, pemainnya mempunyai motivasi yang tinggi. Memang terbukti Butler berjaya mencorakkan Kelantan menjadi pasukan digeruni.

Apa strategi anda untuk menyekat Kelantan terus `kempunan’ gelaran juara esok?

Devan: Esok satu perlawanan menarik bakal dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan yang memiliki jumlah gol yang tinggi dalam saingan liga. Kita mungkin bakal melihat jumlah gol yang banyak pada perlawanan esok. Saya pasti ia akan menjadi pertembungan yang dinanti-nantikan. Di padang, saya mengatur strategi permainan menyerang. Ia bakal digerakkan menerusi kesebelasan utama. Cuma, P. Gunalan tidak dapat beraksi akibat penggantungan. Pertahanan berpengalaman, Khairul Anuar Baharom juga dapat beraksi semula (selepas penggantungan). Kita memang memerlukan pemain berpengalaman sepertinya ketika beraksi di final. Dia mampu mengawal emosi pemain-pemain muda. Saya terus menyandarkan sentuhan gol menerusi Safee Sali, juga pemain tengah yang lincah, Mohd. Amri Yahyah yang telah menjaringkan tiga gol dalam Piala FA. Jika semua strategi saya berjaya dijelmakan oleh pemain di atas padang, kami mampu menghasilkan keputusan positif esok.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: