Mahfuz serah Memorandum Kepada Majlis Raja-Raja Melayu tubuh Suruhanjaya DiRaja bersih nama baik negara

PAS meminta Majlis Raja-Raja Melayu menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi membersihkan nama baik negara dan Perdana Menteri berikutan tuduhan yang dilemparkan oleh media asing mengenai Pembunuhan Altantuya dan Pembelian Kapal Selam.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz omar berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum berkaitan untuk pertimbangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang Julai ini.

“Kita kesal bila nama baik negara kini sudah tercemar dengan dua isu ini yang dimainkan oleh media antarabangsa.

“Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah juga pernah meminta supaya Najib membersihkan nama beliau namun hingga ke hari ini tiada usaha ke arah itu dibuat oleh Perdana Menteri,” tegas Mahfuz.

Beliau juga menegaskan jika suruhanjaya diraja mendapati tuduhan yang dibuat oleh media antarabangsa terhadap Najib itu tidak benar maka satu tindakan undang-undang harus diambil terhadap mereka.

Turut sama menyerah memorandum tersebut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

MEMORANDUM MEMOHON PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA MEMULIH NAMA BAIK NEGARA

Dengan hormat takzimnya patik merafak sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraan.

2. Dalam beberapa minggu sebelum bekas Memanda Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya, Mahkamah telah diberitahu bahawa terduduh hanya dikambinghitamkan oleh pihak tertentu dalam kes Altantuya Shariibu, wanita Mongolia yang dibunuh secara kejam itu.

3. Kemudian isu ini telah didedahkan oleh media antarabangsa yang mengaitkan bahawa wujudnya peranan Memanda Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya dan pembelian kapal selam. Sebuah akhbar yang berpusat di Paris mendedahkan hubungan antara Datuk Seri Najib dengan Altantuya dan serta proses pembelian kapal selam.

4. Media-media di India, Australia, Korea, Thailand, Indonesia, Filipina dan lain-lain negara juga telah memperkatakan isu yang sama. Ini bermakna kredibiliti Datuk Seri Najib Razak telah dipertikaikan di peringkat antarabangsa pada masa ini apabila media massa luar negeri telah mengaitkan beliau secara langsung dalam isu pembunuhan wanita tersebut. Atas isu-isu ini, Tun Dr Mahathir dan YBM Tengku Razaleigh pernah mendesak Datuk Seri Najib supaya membersihkan dirinya daripada semua tuduhan yang dilemparkan, tetapi tidak ada satu tindakan konkrit yang diambil.

5. Seperti yang diketahui umum, isu Altantuya dan pembelian kapal selam telah mendapat liputan meluas 19 buah media antarabangsa dan isu ini dikaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Najib Razak. Semua Media antarabangsa telah mendakwa bahawa Memanda Perdana Menteri adalah seorang yang korup, terlibat dalam skandal penyalahgunaan kuasa, skandal seks dan juga skandal pembunuhan wanita Mongolia tersebut.

6. Penglibatan media antarabangsa dalam mempersoalkan kredibiliti Memanda Perdana Menteri telah mencemarkan nama baik negara dan juga Institusi Raja Berperlembagaan dan Majlis Raja-Raja Melayu, sekali gus boleh menghilangkan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini. Dalam suasana ekonomi yang tidak kondusif seperti hari ini, kegagalan kita membersihkan nama baik negara akan memberikan kesan yang lebih buruk terhadap ekonomi negara.

7. Patik juga merasa bimbang bahawa jika nanti bapa Altantuya tidak berpuashati terhadap keputusan Mahkamah Malaysia kerana motif pembunuhan tidak diberitahu maka Bapa dan keluarga Altantuya akan membawa kes pembunuhan anaknya itu ke Mahkamah Antarabangsa.

Ampun Tuanku,
8. Berdasarkan masalah-masalah yang timbul kesan daripada laporan media asing terhadap kepemimpinan Memanda Perdana Menteri, patik bagi pihak Ahli-Ahli Parlimen yang cintakan negara dan Intitusi Raja Berperlembagaan memohon kepada KDYMM Tuanku serta Majlis Raja-Raja Melayu supaya dapat menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan-dakwaan yang ditimbul oleh media asing terhadap Memanda Perdana Menteri. Hanya dengan cara ini, KDYMM Tuanku dapat menyelamatkan negara ini daripada sebarang pergolakan yang menjejaskan kepentingan rakyat dan negara seluruhnya.

8. Demi membersihkan nama KDYMM Raja-Raja Melayu dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta rakyat maka wajarlah sebuah Suruhanjaya ditubuhkan untuknya, berfungsi bagi menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat media antarabangsa dan mengambil tindakan sewajarnya supaya dilihat oleh Dunia bahawa Negara kita bersedia untuk menyelesaikan apa yang dimaksudkan motif pembunuhan itu.

Ampun Tuanku,
9. Sekiranya benar apa yang didakwa oleh media asing, maka amat wajarlah suatu tindakan dibuat keatas Memanda Perdana Menteri dan sebaliknya jika sekiranya Laporan yang dibuat oleh media asing itu TIDAK BENAR maka amat wajar suatu tindakan dicadangkan oleh Suruhanjaya supaya bertindak keatas media asing tersebut.

10. Patik menyembahkan satu permohonan supaya cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja ini dapat disampaikan kepada pertimbangan Majlis Raja-Raja. Perkenan KDYMM Raja-raja Melayu dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sangat penting kerana perkara ini melibatkan kepentingan seluruh Negara dan Rakyat.

Ampun Tuanku,
11. Patik sangat berharap agar pandangan yang patik persembahkan ini mendapat pertimbangan yang wajar daripada pihak Kebawah Dulu-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk diambil tindakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

12. Patik juga berdoa kepada Allah S.W.T supaya negara terus dilimpahi oleh rahmat-Nya dan kerajaan di bawah Naungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta Seri Paduka Baginda Tuanku supaya terus diperlihara-Nya.

Sekian, patik menjunjung kasih. Ampun Tuanku.

Patik yang menyembahkan permohonan,

DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: