Speaker DUN Perak panggil SUK dan Ketua Polis beri penjelasan

Sehari selepas memohon Sultan Perak menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Speaker DUN Perak, V. Sivakumar hari ini memanggil pula Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim; Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ke pejabatnya.

Ketiga-tiga mereka dipanggil petang ini, bagi mendapatkan penjelasan kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang dihalang memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lalu.

Sivakumar berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah bertarikh 30 April lalu berkaitan perkara itu.

Kata beliau, tindakan Abdul Rahman dan polis menghalang 27 ADUN pembangkang memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri bagi mengadakan sidang DUN, suatu penghinaan terhadap Speaker.

Katanya, mereka merupakan pihak yang boleh memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak-Hak dan Kebebasan DUN mengenai alasan mengapa kesemua ADUN itu dihalang memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan.

”Setakat ini hanya Koo Ham hadir memberi penjelasan. Abdul Rahman dan Azisman tidak hadir dan memberi surat mengatakan masa tidak cukup untuk mereka hadir.

”Saya telah menghantar surat untuk memanggil Abdul Rahman dan Azisman semalam bagi menghadap jawatankuasa dan alasan mereka beri tidak munasabah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan SUK di sini hari ini.

Pada 3 Mac lalu, 27 ADUN pakatan pembangkang dihalang memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengadakan persidangan DUN Perak.

Tindakan itu menyebabkan Sivakumar dan 27 ADUN terlibat mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok.

Sivakumar berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Abdul Rahman dan Azisman bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

”Adalah lebih baik sebelum sidang dibuat kita putuskan dulu mengenai aduan ini bagi membolehkan persidangan berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN terhadap mereka yang tidak hadir itu, Sivakumar berkata: ”Kita membuat perbincangan untuk mengumpulkan maklumat. Saya akan buat laporan dan ia akan dibentangkan pada sidang DUN pada 7 Mei ini.”

Sementara itu, tinjauan mendapati persiapan sidang DUN di bangunan Perak Darul Ridzuan sedang rancak dilaksanakan.

Beberapa pekerja sudah meletakkan tanda nama ADUN di tempat duduk masing-masing di dalam dewan tersebut.

Persidangan itu dijangka dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. – utusan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: