DUN Perak: Sidang media Dato’ Seri Nizar

KEMASKINI:

Angkat Speaker keluar Dewan suatu tindakan yang menceroboh sidang DUN

Ehsan tvpas.

Keputusan MB Perak diputuskan Isnin ini
Persoalan siapa Menteri Besar Perak yang sah antara Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada Isnin ini.

Keputusan tersebut akan diumum oleh Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada pukul 2.30 petang, 11 Mei ini selepas beliau hari ini selesai mendengar hujahan semakan kehakiman yang dikemukakan Mohammad Nizar bagi mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Ia merupakan keputusan yang dinanti-nantikan bagi mengakhiri kemelut politik negeri Perak yang telah berlanjutan sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, keputusan tersebut masih belum muktamad kerana sesiapa jua yang kalah, sama ada Mohammad Nizar atau Zambry pasti akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, peguam Sulaiman Abdullah yang mengetuai barisan 11 peguam mewakili Mohammad Nizar dalam hujahan balasnya berkata, pelucutan jawatan seseorang pemimpin bukan ditentukan oleh Sultan atau rakyat, sebaliknya diputuskan oleh ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

”Keputusan untuk menyingkirkan seseorang pemimpin bukan ditentukan oleh Sultan mahu pun rakyat. Jadi siapa yang boleh memainkan peranan itu? Para pemimpin (wakil rakyat) yang sepatutnya menentukan seseorang pemimpin itu harus kekal atau meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau juga berhujah bahawa seseorang Sultan itu hanya berperanan melantik Menteri Besar selepas pilihan raya umum diadakan dan untuk tujuan membubarkan DUN. Peranan itu, katanya, tidak termasuk melucutkan jawatan Menteri Besar.

Sebagai sebuah negara demokrasi, beliau juga berharap agar kuasa untuk memilih pemimpin dikembalikan kepada rakyat bagi menangani jalan buntu terhadap kemelut politik yang berlaku di Perak.

Pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar, 52, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang DUN.

Pemimpin parti Pas itu yang dipilih sebagai Menteri Besar selepas pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-12 di negeri itu setahun lalu turut mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.

Permohonan itu dikemukakan selepas Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak pada awal Februari lalu setelah Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 anggota DUN berbanding 28 anggota DUN bagi pakatan pembangkang.

Sokongan kepada BN bertambah selepas ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) memihak kepada BN.

Sementara itu, Hakim Abdul Aziz merupakan hakim Mahkamah Tinggi yang ketiga mendengar permohonan itu berikutan perintah Mahkamah Persekutuan pada 28 April lalu yang memutuskan bahawa pertikaian tersebut mesti didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Perintah mahkamah tertinggi negara itu sekali gus membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan pada 10 Mac lalu yang mengarahkan empat persoalan perlembagaan dalam permohonan itu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Pada 25 Februari lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md. Yusof yang sepatutnya mendengar kes itu dari awal telah menarik diri berikutan penglibatannya dalam parti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dilantik menjadi hakim.

Dalam permohonan itu, Zambry selaku responden diwakili tiga peguam diketuai oleh Datuk Cecil Abraham. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang hadir sebagai pencelah dalam kes itu turut dibantu oleh tujuh Peguam Kanan Persekutuan. – Utusan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: