Kembali kepada Kepimpinan Islam

Oleh Dr Hamzah Jaffar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut

Soalan : Dalam Muktamar PAS ke 53, Dr mewakili PAS Pahang telah berucap dan menyarankan supaya Konsep Kepimpinan Ulama ditukar kepada Kepimpinan Islam. Nampaknya sentuhan Dr itu ada kaitan dengan keriuhan isu Kepimpinan Ulama mutaakhir ini. Boleh Dr jelaskan sedikit mengenai isu ini?

Pertamanya saya melihat Konsep Kepimpinan Ulama adalah satu slogan untuk melonjakkan parti pada waktu itu iaitu sekitar Tahun 1983. Ia bukan satu dasar. Macam Perdana Menteri jugalah. Dr. Mahadir dengan slogannya Bersih, Cekap, Amanah. Pak Lah dengan Islam Hadharinya dan Najib pula dengan Satu Malaysia. Sifat slogan pula, dia tidak boleh terlalu lama. Konsep Kepimpinan Ulama telah melalui masa yang cukup lama iaitu lebih kurang 27 tahun. Bila terlalu lama,ianya akan dianggap sebagai satu dasar dan akhirnya berlakulah seperti yang berlaku pada hari ini.

Sebab itu, saya mewakili PAS Pahang pada Muktamar PAS, Tahun 2007, mencadangkan supaya kita tonjolkan pula Konsep Kepimpinan Islam yang lebih luas. Kepimpinan Ulama seolah-olah setiap pemimpin itu samada di peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat mesti ulama walaupun di sana ada golongan lain yang layak memimpin kerana ada padanya karisma sebagai seorang pemimpin. Akhirnya yang layak menjadi pemimpin terus menerus menjadi ‘pengekor bukannya pelopor’. Ini amat merugikan parti.

Terdapat banyak kawasan yang merasa serba salah untuk memilih pemimpin ini lantaran Konsep Kepimpinan Ulama yang menyebabkan mereka terpaksa juga mengambil ulama ataupun ustaz walaupun ulama atau ustaz itu sendiri tidak berupaya memimpin bahkan tidak bersedia untuk memimpin parti kerana faktur kurang pengalaman memimpin atau faktur umur atau uzur atau seumpamanya.

Kalau kita lihat nukilan Al Mawardi menyatakan sekiranya ada di sana seorang ulama tetapi kepimpinannya tiada karisma sedangkan di sana juga ada seorang Islam yang lain dan ianya bukan ulama, tetapi mampu memimpin dengan baik maka Orang Islam yang tidak ulama itu lebih layak menjadi pemimpin. Hal yang sama di kupas juga oleh As Syeikh Dr. Yusuf Al Qardhawi dan Dr Abdullah Nasih Ulwan. Jadi kalau kita menonjolkan Konsep Kepimpinan Islam maka siapa saja yang memiliki sifat taqwa, syakhsiah dan fikrah Islam serta memiliki ilmu dan karisma sebagai seorang pemimpin maka layaklah dia untuk diangkat sebagai pemimpin.

Sekarang saya lihat kita sudah masuk ke suatu alam perbahasan untuk mempertahankan ‘golongan’ bukan lagi berbincang macamana nak memajukan Islam dan parti. Kalau kita fikir untuk nak lonjakkan Islam dan parti nescaya saya yakin semuanya bersetuju bahawa siapa saja boleh memimpin parti asalkan ia seorang yang berakhlak dengan akhlak Islam, mempunyai fikrah Islam yang jelas dan mampu melaksanakan cita-cita perjuangan Islam untuk kebaikan manusia dan alam sejagat.

Kita jangan jadi seperti seorang ayah yang mempunyai sebuah syarikat di mana beliau telah mensyaratkan bahawa syarikatnya mesti diterajui oleh anaknya yang belajar ilmu perniagaan (business studies) dari Fakulti Perniagaan bahkan berpangkat profesor. Alasannya sebab ini syarikat perniagaan maka mestilah orang yang tahu bab berniaga sahaja yang layak mengemudi syarikat. Sedangkan terdapat di sana anak-anaknya yang memang mempunyai minat dan ‘skill’ yang tinggi dalam dunia perniagaan terutama ‘skill’ yang tinggi dalam berkomunikasi dengan pelanggan dan juga ilmu pemasaran. Mereka juga mempunyai kemahiran dalam menangani masalah tipu helah dan persaingan dalam dunia perniagaan sedangkan anaknya yang belajar ilmu perniagaan dan bergelar profesor itu tidak ada kemahiran dan ‘skill’ yang diperlukan dalam mengendalikan syarikat yang besar.

Sepatutnya anaknya yang belajar khusus ilmu perniagaan itu dilantik sebagai penasihat. Dia ada ilmu macamana perlu urus syarikat tetapi dia tak tau macamana nak urus syarikat. Dia tau ini betul dan itu salah dalam pengurusan syarikat. Dia kena ingatkan adik beradiknya yang pandai berniaga supaya buat lapuran odit setiap tahun. Dia boleh nasihatkan adik beradiknya yang tiada ilmu perniagaan itu supaya ‘up grade’kan syarikat dari Sdn Bhd ke Berhad. Dia juga boleh nasihatkan supaya naikkan modal berbayar dan modal yang dibenarkan untuk tujuan membesarkan perniagaan.

Ini adalah dalam situasi anaknya yang belajar ilmu perniagaan itu, tidak ada ‘skill’ sebagai ketua sebuah syarikat perniagaan. Tetapi kalau anaknya itu mempunyai ‘skill’ sebagai seorang usahawan maka itu adalah teramat baik untuk ia menerajui syarikat miliknya itu.Yang penting perniagaan mesti maju dan mencatatkan keuntungan. Kita kena ingat betapa ramainya pensyarah yang mengajar anak murid mengenai perniagaan tetapi dia sendiri gagal dalam perniagaan bila terjun dalam dunia perniagaan.

Hal yang sama juga perlu dilaksanakan dalam PAS. Janganlah kita mempertahan bahawa parti ini adalah parti Islam maka ulama’ lah yang harus mengemudi parti. Yang penting kita mahu supaya PAS boleh maju kehadapan dan mampu berhadapan dengan ledakan keyakinan yang tinggi dari rakyat termasuk kaum bukan Islam. Rakyat juga mahu lihat sejauh mana pemimpin kita mampu mengurus ekonomi negara serta sumber alam sekaligus mampu menyelongkar penyelewengan dan kejahatan UMNO selama lebih 50 tahun memerintah Malaysia. Jadi kita kena beri peluang kepada sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin parti berdasarkan ciri-ciri asas sebagai seorang pemimpin Harakah Islamiah walaupun dia bukan seorang ulama’.

Walau bagaimanapun adalah lebih baik dan teramat cantik sekiranya pemimpin itu adalah seorang ulama’ yang mempunyai karisma dan ciri-ciri kepimpinan yang mampu membawa parti ke persada dunia politik tanahair dengan cemerlang.

Kita juga harus ingat, pemimpin yang kita nak angkat dan nak beri amanah kepadanya itu nanti bukanlah hanya untuk memimpin PAS sahaja tetapi dia juga mesti mampu dan bersedia memimpin Rakyat Malaysia. Kalau untuk memimpin PAS semata-mata, saya rasa kita boleh kekalkan Kepimpinan Ulama.

Dr. Hamzah Jaaffar adalah YDP PAS Jerantut merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang baru. Semasa berkhidmat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya beliau sering muncul dalam rancangan Al Kulliayah TV3. Tahun 2000, beliau meletak jawatan dan aktif sepenuh masa dalam PAS Jerantut walaupun beliau menetap di Taman Melewar, Gombak. Para perwakilan di Muktamar PAS ke 53 Tahun 2007, Kita tentu masih ingat di mana beliau telah berucap mewakili PAS Pahang dan menyentuh isu yang agak sensitif iaitu isu Kepimpinan Ulama harus ditukar kepada Kepimpinan Islam. Ucapannya telah mendapat liputan yang meluas dalam akhbar tempatan dan juga mendapat perhatian dari Parti Keadilan sejahtera (PKS) di Indonesia seperti yang dinyatakan oleh Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS semasa sesi penggulungan. Kini beliau adalah seorang ahli perniagaan yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Dr. Hamzah Jaaffar adalah YDP PAS Jerantut merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang baru. Semasa berkhidmat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya beliau sering muncul dalam rancangan Al Kulliayah TV3. Tahun 2000, beliau meletak jawatan dan aktif sepenuh masa dalam PAS Jerantut walaupun beliau menetap di Taman Melewar, Gombak. Para perwakilan di Muktamar PAS ke 53 Tahun 2007, Kita tentu masih ingat di mana beliau telah berucap mewakili PAS Pahang dan menyentuh isu yang agak sensitif iaitu isu Kepimpinan Ulama harus ditukar kepada Kepimpinan Islam. Ucapannya telah mendapat liputan yang meluas dalam akhbar tempatan dan juga mendapat perhatian dari Parti Keadilan sejahtera (PKS) di Indonesia seperti yang dinyatakan oleh Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS semasa sesi penggulungan. Kini beliau adalah seorang ahli perniagaan yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Soalan: Pada pandangan Dr, apakah benar dakwaan yang mengatakan ada usaha untuk meminggirkan ulama’?


Mengikut pengamatan saya, isu yang timbul hari ini ialah ahli PAS telah melihat ada keperluan untuk menonjolkan pemimpin yang tidak ulama kerana sekarang dilihat PAS berada dalam situasi ‘kekurangan atau kelesuan pemimpin dari kalangan ulama’. Saya tidak melihat ahli PAS berhasrat meminggirkan ulama. Mereka tetap mendokong Kepimpinan Ulama. Yang mereka mahu ialah ingin mengisi kelesuan kepimpinan dengan cuba menonjolkan pemimpin yang dirasakan boleh mencergaskan pergerakan PAS. Kebetulan pula pemimpin yang hendak ditonjolkan itu pula bukan dari kalangan ulama.

Kita kena akui bahawa ulama’ adalah manusia. Tak semesti ulama’ itu hebat segala-galanya dan begitu juga tak semestinya profesional itu hebat mengurus organisasi. Bukankah seorang ulama’ arab pernah menulis sebuah buku bertajuk ‘Islam – Antara Kelesuan Ulama Dan Kejahilan Ummah’. Ini menunjukkan ulama’ adakalanya lesu. Bila dia lesu, yang lain-lain kena bantu. Kalau dah ulama mengantuk, jangan dipaksa dia memandu.Ia boleh membahayakan penumpang. Berilah kepada orang lain yang segar bugar untuk memandu buat sementara waktu. Bila dah ulama’ kembali segar bugar maka penumpangpun tak ragu-ragu lagi minta supaya dia memandu kembali.

Dalam erti kata yang lain, saya amat berharap agar Dewan Ulama’ terus memperkasa ulama’-ulama dalam PAS supaya lahir di sana ulama yang berketrampilan dan berkarisma sehingga organisasi PAS tidak lagi ketandusan dengan ulama’-ulama’ yang layak memimpin parti.

Soalan : Apa pandangan Dr mengenai golongan professional?

Kita tidak boleh menafikan peranan golongan professional atau tidak ulama dalam mengisi kebangkitan Islam. Bukankah kebangkitan Islam ini pada awalnya, dicorakkan oleh golongan profesional. Masa tu, ulama’ diajak dan dipandu supaya menjadi naqib dan membuat kuliah subuh, kuliah maghrib dan bermacam-macam program untuk membangkitkan kesedaran rakyat. Itupun ramai juga ulama yang tak sanggup untuk jadi naqib. Sejarah kebangkitan Islam di Malaysia juga tidak menafikan seorang profesional yang kini ADUN Selangor berjaya menerbitkan sebuah buku panduan usrah yang cukup tersusun iaitu Risalah Usrah oleh Abu Urwah. Beliau bukan seorang ulama’ tetapi seorang jurutera.

Jadi saya berpandangan, janganlah kita menghantui perasaan ahli atau perwakilan dengan Kepimpinan Ulama sehingga mereka merasa bersalah atau paling tidak merasa serba salah sekiranya tidak memilih ulama sebagai pemimpin, sedang di sana ada calon lain yang lebih layak untuk mereka angkat sebagai pemimpin tetapi sayangnya dia bukan seorang ulama. Justeru itu, penyelesaiannya ialah kita pergi kepada konsep yang lebih luas iaitu Konsep Kepimpinan Islam. Insya Allah pergerakan PAS akan jadi lebih bergaya dan pantas.

Lagi satu, ulama tidak perlu gusar sekiranya PAS dipimpin oleh bukan ulama’ kerana dalam PAS ada 2 institusi ulama iaitu Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’. 2 institusi ini sudah cukup mengawal selia dan memandu PAS supaya kekal di atas landasan perjuangan Islam. Sekiranya ulama’ PAS tidak yakin dengan pembawaan dan kepimpinan golongan profesional ini bermakna 2 institusi ulama’ ini telah gagal mentarbiyah golongan tidak ulama ini selama 27 tahun konsep Kepimpinan Ulama berjalan. Sekaligus memperlihatkan bahawa 2 institusi ini tidak yakin dengan institusi yang dianggotai oleh para ulama semata-mata. 2 institusi adalah sebuah badan yang cukup berwibawa dalam PAS. Ini bukannya 2 orang ulama tapi 2 institusi ulama.

Sepatutnya Dewan Ulama’ kena memperkasakan dewan supaya terserlah kehebatan dan kewibawaannya. Yang jelas, setiap kali muktamar berlangsung suara kritikan terhadap Dewan Ulama’ pun terus berbunyi terutamanya dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Paling tidak, ahli mau supaya Dewan Ulama’ buat artikal-artikal atau rencana yang boleh memperjelaskan kekeliruan ahli mengenai sesuatu isu yang berkaitan dengan Islam.

Saya sebenarnya cukup irihati dan cemburu bila melihat institusi Islam seperti jabatan atau majlis agama Islam dipimpin oleh orang yang bukan dari kalangan ulama’ tetapi saya terpaksa akur bahawa masalah ketua adalah masalah kepimpinan. Kadang-kadang institusi Islam yang dipimpin oleh golongan profesional lebih aktif dan berdaya maju jika dibandingkan dengan golongan ulama’. Ulama sememangnya banyak ilmu tetapi kadang-kadang dia tak tau macamana nak guna ilmunya itu untuk diguna pakai dalam kehidupan masyarakat. Tetapi bila dipandu dan diurus, barulah dia nampak, apa yang patut dibuat. Namun begitu saya tetap berharap agar ada ulama’ yang mempunyai karisma dalam memimpin institusi Islam apatah lagi parti Islam seperti PAS.

Soalan : Bagaimana kalau satu hari nanti, Presiden PAS adalah dari golongan bukan ulama’, tidakkah terasa janggal bila presiden tidak berada dalam Majlis Syura Ulama’ terutama sewaktu hendak memutuskan sesuatu perkara?

Bagi saya syarat untuk berada dalam Majlis Syura Ulama’ juga harus dikembangkan dengan mewujudkan beberapa orang yang ahli dalam bidang-bidang tertentu terutamanya dalam bidang Ilmu Sosiologi dan Antropologi iaitu ilmu kemasyarakatan dan kemanusiaan. Kerana untuk memutuskan sesuatu perkara yang berbangkit, faktur kemasyarakatan dan kemanusiaan, ekonomi, suasana semasa politik Negara dan sebagainya perlu diambil kira. Jadi Majlis Syura Ulama’ kena ada mereka yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan keduniaan. Kalau begitu keadaannya apa salahnya kalau Anggota Majlis Syura Ulama’ juga mesti dianggotai oleh Presiden dan Timbalan Presiden meskipun mereka kebetulannya bukan dari kalangan ulama’. Kehadiran mereka penting untuk memberi gambaran yang jelas tentang sesuatu isu yang hendak diputuskan terutama yang berkaitan dengan perjalanan parti dan suasana politik semasa.

Soalan : Apakah kriteria pemimpin yang wajar dipilih.?

Tak lama lagi ada pemilihan pucuk pimpinan PAS. Perwakilan perlu jujur dan teliti dalam memilih pemimpin. Jangan pilih semberono. Sekarang kita kena pilih pemimpin yang boleh buat kertas kerja dan buat kerja. Ada pemimpin yang tak boleh buat kerja. Dalam mesyuarat hanya beraksi untuk menidakkan atau mengiyakan sesuatu yang dibincangkan. Ada juga yang pandai buat kertas kerja tapi tak pandai untuk buat kerja berdasarkan kertas kerjanya itu. Jadi pemimpin yang kita mahu ialah yang ada idea, ada visi, ada misi dan ada karisma serta boleh buat kerja. Yang paling asas, pemimpin yang hendak dipilih ialah yang bertaqwa, jelas fikrah dan murni syakhsiahnya.

Justeru itu, saya cadangkan supaya pihak Jawatankuasa Pemilihan PAS dalam muktamar nanti, menyenaraikan calon-calon yang layak bertanding berserta dengan biodatanya sekali. Termasuk pengalaman kerjayanya kerana ianya mempengaruhi gaya kepimpinannya. Kadang-kadang kita memilih pemimpin berdasarkan kepandaiannya bercakap tetapi dia sendiri tiada pengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan. Pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi memerlukan pengalaman mengurus manusia dan hal-hal yang berkaitan dengan fail-fail. Sistem pengurusan dan pentadbiran memerlukan pengalaman itu semua. Jadi, bagi saya pengalaman dalam kerjaya amat penting untuk memimpin parti.

Kadang-kadang perwakilan memilih pemimpin mengikut agihan negeri. Maksudnya ada perwakilan mahu supaya AJK PAS Pusat dibarisi oleh wakil setiap negeri. Mungkin kehendak merekanya ialah satu negeri sekurang-kurangnya ada satu wakil. Kalau begitu mungkin antara biodata yang perlu dikemukakan ialah negeri asal tempat calon tersebut bergiat aktif dengan parti.

Kesimpulannya pihak jawatankuasa pemilihan hendaklah menyediakan senarai calon lengkap dengan gambar, biodatanya seperti jawatan dalam parti, latarbelakang kerjayanya serta dari negeri mana ia terlibat dengan parti. Senarai ini bolehlah diiklankan dalam Harakah atau diberikan semasa muktamar. Pengenalan calon cara ini lebih bersopan dari berkempen seperti yang UMNO buat. Sekiranya pengenalan calon tidak dibuat, saya yakin calon yang akan dipilih nanti ialah dari kalangan AJK lama. Walau pun perwakilan tau ada calon AJK lama yang tidak aktif namun perwakilan tetap memilihnya juga kerana itulah calon yang mereka kenal.

Soalan : Apakah harapan Dr terhadap perwakilan dan pimpinan terutamanya yang bakal dipilih nanti?

Pertamanya saya berharap agar kita hendaklah jujur dan ikhlas dalam perjuangan sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah swt setiap detik dan ketika. Kedua para perwakilan hendaklah cermat dan teliti dalam memilih pemimpin kali ini agar pemimipin yang bakal dipilih nanti hendaklah dari kalangan mereka yang takut pada Allah swt, yang boleh buat kerja dan ada visi yang jelas untuk membawa parti kepada masyarakat Malaysia sehingga seluruh rakyat hidup di bawah naungan Islam dan Rahmat Ilahi. Ketiga di hadapan kita sedang menunggu segerombolan manusia yang mengharapkan keadilan Islam. Mereka ingin melihat kehebatan Islam menerusi kehebatan kita. Oleh yang demikian kita mestilah melahirkan pemimpin yang hebat dan pemimpin yang diberi amanah pula hendaklah berkerja dengan tekun sehingga terserlah kehebatan Islam menerusi kehebatan kepimpinan yang berasaskan Islam. Wallahua’lam

Advertisements

Satu Respons

  1. Ulama atau professional jadi pemimpin?
    PAS panas memperdebatkan isu kepimpinan parti itu sama ada patut dipegang oleh golongan ‘ulama’ atau professional? Saya tidak berhasrat untuk memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan.

    Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

    Saya masih ingat dalam satu temubual Akhbar Harakah dengan saya beberapa bulan lepas, saya telah menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawaban saya tidak dikeluarkan.

    Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: “Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

    Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah yang ketika itu.

    Dengan menghormati kesarjanaan dan ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas dari apa yang digambarkan oleh al-Mawardi ketika itu.

    Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit.

    Jika sesetengah tokoh agamawan yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah, atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti.

    Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku. Maka tafsiran politik Islami itu sendiri perlu diluaskan”.

    Ya, al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang memampukannya berijtihad dalam menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut bahawa khalifah mestilah berketurunan Quraish. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum.

    Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: “Para imam itu daripada Quraish” (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”.

    Ertinya, jika syarat-syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraishlah yang mempunyai dalil hadis.

    Syarat-syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik seperti sempurna pancaindera, kesihatan, pemikiran dan seumpamanya.

    Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraish?

    Untuk pengetahuan, Ibn Khaldun dan beberapa sarjana lain mempunyai tafsiran yang berbeza dalam isu pensyaratan Quraish sebagai khalifah.

    Bukan di sini untuk saya bincangkan. Apa yang hendak saya sentuh, perlu keluasan pemikiran dalam menganalisa atau berpegang dengan teks-teks klasik yang sebahagiannya mempunyai keadaan yang berbeza.

    Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin.

    Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka. Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan-perkembangan ini.

    Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam telah gagal untuk berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama yang menjadi pemerintah.

    Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi disebabkan oleh prinsip kehidupan yang dihayati oleh seseorang individu pemerintah itu sendiri. Dalam ertikata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip-prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

    Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negaranya.

    Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

    Kemudian, apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orangramai?. Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memangkai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’?.

    Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas; ada bab ibadah, muamalah, siasah, tazkiyah al-nafs dan lain-lain.

    Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siyasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.

    Saya berpendapat perbahasan; samada ulama atau professional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik?

    Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting.

    Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya.

    Apatah lagi kita kini dalam kerangka negara moden yang lebih teratur dan tersusun dibanding negara pada zaman buku-buku klasik politik Islami itu ditulis.

    Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siyasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun professional.

    Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

    Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi s.a.w. pernah menegur dan membantah beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah.

    Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi s.a.w dibandingkan Khalid.

    Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`iy wa al-Ra`iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut.

    “Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani -walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.” Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘professional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.

    Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.


    Alex Ong
    Migrant CARE
    Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
    (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO
    Platform on Migrant Workers’ Convention)
    Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati,
    Jakarta Timur 13220 Indonesia
    Telp/Fax: +62 21 4752803
    E-mail: alexmigrantcare@gmail.com
    migrantcare@nusa.or.id
    Website: http://www.buruhmigranberdaulat.blogspot.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: