Muktamar PAS lulus Empat Usul

Perwakilan Perak hari ini membawa usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak oleh BN.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

“Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

“Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu,” tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Usul Mansuh PPSMI – Wakil Rembau
Muktamar Tahunan PAS ke-55 yang berakhir hari ini meluluskan usul supaya kerajaan memansuhkan segera Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Anggota Perwakilan PAS dari Rembau Taufik Abdul Ghani ketika membentangkan usul itu berkata parti itu membantah tindakan Kementerian pelajaran yang melengah-lengahkan tuntutan rakyat supaya PPSMI dimansuhkan.

Usul PPSMI itu disokong bekas Menteri Besar Perak yang juga Anggota Jawatankuasa kerja PAS Pusat yang baru Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Usul itu juga mengutuk tindakan kementerian yang menolak kajian pertama keberkesanan PPSMI ketika Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memegang jawatan Menteri Pelajaran dan menegaskan bahawa kajian kedua PPSMI oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri yang baru adalah satu pembaziran.


“Kami juga menuntut supaya PPSMI dimansuhkan dengan serta-merta dan mengembalikan dasar lama seterusnya mengangkat kembali bahasa kebangsaan,” kata Taufik.

Usul berhubung institusi kehakiman negara – Dewan Muslimat PAS Pusat
Perwakilan Dewan Muslimat PAS Hawa Yaakob mengemukakan usul berhubung integriti badan kehakiman negara dalam beberapa kes berprofil tinggi.

Beliau berkata keputusan pelik dalam kes-kes berkenaan mengundang pelbagai persepsi buruk terhadap institusi kehakiman menyebabkan Malaysia menjadi bahan ketawa dunia.

Justeru, Dewan Muslimat mengusulkan supaya mengutuk institusi kehakiman yang tidak menghayati prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan legislatif selain tidak mengambil tindakan drastik untuk memulihkan imej badan itu.

Katanya dewan itu juga mengutuk institusi kehakiman yang tidak bersifat telus dan amanah terhadap ilmu dan tidak menjunjung serta menyanjung prinsip ketinggian dalam perlembagaan dalam mengadili kes berprofil tinggi.

Usul berkenaan disokong oleh wakil dari PAS Wangsa Maju Dr Azmi Ali.

Usul Dewan Pemuda PAS Pusat
Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 hari ini menerima sebulat suara usul menggesa kerajaan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) untuk menjaga kepentingan bumiputera.

Naib Ketua PAS Pusat Sabki Yusof yang membawa usul itu berkata langkah memansuhkan MeCD yang dibuat sejak April lalu banyak memberi kesan negatif kepada bumiputera.

“Begitu juga dengan pemansuhan milikan 30 peratus bumiputera hanya memberi faedah kepada syarikat besar dari luar negara yang sememangnya menunggu masa mengaut keuntungan ekonomi kita, yang akhirnya menyebabkan syarikat tempatan kita akan gulung tikar.

“Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru supaya kerajaan menilai semula perkara ini supaya pertumbuhan ekonomi dapat diagih dengan lebih adil di kalangan bumiputera,” katanya ketika membentang usul dewan berkenaan pada hari terakhir muktamar yang diadakan di Stadium Malawati, di sini.

Usul beliau disokong perwakilan PAS Jerlun, Abdul Rahim Md Yusof yang menyokong MeCD diwujudkan semula untuk pengagihan ekonomi negara yang lebih adil di antara semua kaum seluruh negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: