Kematian Teoh tragik dan tidak seharusnya berlaku – Panel SPRM

Pengerusi satu daripada lima panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa supaya dikaji semula dengan segera prosedur soal-siasat susulan kematian seorang pembantu kepada ahli politik Selangor, semalam.

Tan Sri Ramon Navaratnam, yang mempengerusikan Panel Pencegahan Rasuah dan Perundingan, berkata, beliau “rasa terganggu dan amat kecewa” mendapati SPRM bertindak menyoal-siasat orang hingga lewat malam dan awal pagi berikutnya.

Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean-Yong Hian Wah, dijumpai mati di bangunan MACC di Shah Alam selepas seorang pegawai SPRM selesai merekodkan kenyataannya pada 3.45 pagi berhubung siasatan mengenai pengagihan dana.

Beliau sudah dibawa ke pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam pada jam 5 petang hari Rabu dan mayatnya ditemui tengah hari semalam di balkoni sebuah syarikat perkapalan di tingkat lima.

Navaratnam berkata: “Siasatan sepatutnya tamat jauh lebih awal sebelum tengah malam bagi membolehkan lelaki berkenaan rehat sebelum diteruskan pagi berikutnya.

“Tidak ada orang normal dapat bertahan dengan tekanan mental dan fizikal sedemikian”.

“Tekanan teruk ini ke atas individu berkenaan mungkin menyebabkan beliau membunuh diri dengan cukup tragik. Kematiannya tragik dan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Navaratnam juga menggesa dijalankan siasatan awam penuh dan terbuka demi mencari kebenaran tentang keadaan yang menyebabkan kematian Teoh dengan mereka yang terbabit disiasat dan diminta bertanggungjawab sepenuhnya.

Beliau berkata, penyusunan semula juga diperlukan bagi menambah baik pentadbiran SPRM dan menjadikannya lebih berkesan dan responsif terhadap ekspektasi rakyat untuk standard yang lebih tinggi.

“Semakin sukar bagi Panel SPRM saya untuk mencapai prestasi lebih baik oleh kerana peristiwa buruk seperti kematian Teoh akan memburukkan lagi persepsi prestasi SPRM, sekalipun terdapat khidmat dedikasi kebanyakan pegawainya,” katanya.

Beliau berkata, usaha menentang rasuah hanya akan berjaya menerusi keazaman politik kerajaan dan sokongan orang ramai. -BERNAMA

Satu Respons

  1. Sebenarnya keseluruhan SPRM perlu dinilai semula. Tanpa kepercayaan rakyat segala usaha tidak akan ke mana. Di masa ini rakyat sudah menyampah dengan dengan 3 badan Polis, SPR dan SPRM. Entah mereka di dalam 3 agensi ini sedar atau tidak, wallahu Aklam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: