MT Umno akan bincang cadangan Tok Guru MB Kelantan

TPMMUNYONYO (Uganda): Langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin Pas ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Jumaat ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas itu dengan Kerajaan Pusat, berkata senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti Pas.

“Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik.

“Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri Pas dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Nik Abdul Aziz berharap perselisihan pendapat yang timbul di kalangan pemimpin politik terutama antara Umno dan Pas sewaktu kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai, baru-baru ini, dilupakan dan kedua-dua pihak kembali semula kepada semangat persaudaraan sesama Islam.

Muhyiddin berkata: “Kita telah menyuarakan sejak awal dulu bilamana soal kerajaan perpaduan dibincangkan, walaupun kita tidak jelas kita telah memberi reaksi yang positif dan kita telah menyatakan kita sedia berbincang demi perpaduan negara dan umat Islam.

“Kalau pun ada perbezaan atau salah faham itu adalah adat manusia.”

Beliau berkata mesyuarat MT Umno itu juga mungkin akan menentukan wakil parti itu untuk berbincang dengan pemimpin Pas.

“Kita tidak perlulah meletakkan agenda khusus dalam pertemuan awal itu yang akan membuka langkah permulaan apa-apa perkara yang kita boleh bincang secara bersama,” katanya.

Ditanya sama ada Umno akan menghantar barisan pemimpin kanan untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas itu nanti, Muhyiddin berkata pemimpin yang akan mewakili Umno akan dipilih oleh presiden parti.

“Kita berharap pertemuan itu akan menghasilkan sesuatu yang positif yang bukan sahaja membawa kebaikan kepada kaum Muslim tetapi juga rakyat keseluruhannya,” katanya.


Mengenai tindakan bekas Naib Presiden MIC Datuk S S Subramaniam yang keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhyiddin berkata perkara itu perlu dilihat sebagai iktibar kepada semua pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN) termasuk MIC.

“Kita harus meneliti di sebalik apa-apa penghijrahan tertentu kepada pihak PKR, sama ada ia sesuatu yang memberi kesan kepada kita (BN) dalam jangka masa sederhana dan jangka panjang. Apa pun yang berlaku, pimpinan MIC harus memberi perhatian,” katanya.

Muhyiddin juga menyeru pimpinan parti komponen BN supaya terus bekerja kuat untuk mengukuhkan parti demi kebaikan bersama.

“Apa yang penting ialah BN kembali menjadi parti yang kuat dan dilihat sebagai parti yang bersatu padu,” katanya. – Berita Harian 27 Julai 2009

Satu Respons

  1. […] Posted on Julai 27, 2009 by editor Temubual Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar mengenai cadangan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: