Bagan Pinang: Masa depan tetap milik PAS

Oleh Helen Ang ,editorbm@cpiasia.net

Mengulas kekalahan Zulkefly Mohamad Omar kelmarin yang bertanding kerusi DUN Bagan Pinang, Dr Dzulkefly Ahmad selaku pengarah operasi PAS pilihan raya kecil itu berkata ia tidak akan mematahkan momentum kemaraan partinya.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan Umno di Bagan Pinang sebagai petanda kaum India dan Cina kembali ke pangkuan BN, Dr Dzul berpendapat tewasnya calon ‘underdog’ PAS kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad tidak mencerminkan Pakatan Rakyat kian hilang kelebihannya.

Manakala Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob memberitahu sidang akhbar di Port Dickson semalam bahawa dalam jangkamasa panjang dan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, PAS akan terus membawa strategi mendekati masyarakat bukan-Islam.

Isa sebenarnya meraih sebilangan besar undi berasaskan kepopularan peribadi. Kejayaannya di Bagan Pinang berciri unik, terpencil serta berpaut kepada faktor-faktor tempatan.

Politik perkauman – huraian KuLi
Bercakap tentang mesyuarat tergempar MCA, Tengku Razaleigh Hamzah memberi komen semalam bahawa gagasan BN nampak goyah. Tengku Razaleigh berkata dalam blognya kemelut MCA menunjukkan pucuk pimpinan parti tersebut sudah banyak terhakis pengaruh mereka.

Menurut Ku Li, kurang keyakinan orang Cina terhadap MCA pada masakini adalah suatu alamat sistem pemerintahan bercorak perkauman tidak boleh dipakai lagi.

“Tanpa sokongan masyarakat Cina, Umno semacam PAS waktu dahulu yang hanya berkubu di Kelantan: sebuah parti eksklusif Melayu yang kuat di sesetengah tempat tetapi tidak relevan di persada nasional.”

Tambah beliau lagi: “Ada yang mengandaikan Umno, dalam erti kata orang Melayu, boleh bergerak solo. Dalam kiraan mereka, Umno mampu mengekalkan cengkamannya dengan mengambil hati khalayak Melayu. Ini dilakukan melalui isu-isu panas, kononnya demi membela bangsa dan agama.

“Bacaan di atas nyata menyimpang serta tidak peka kepada suasana semasa di mana kebanyakan orang Melayu berakal and bersifat moderat.”

Beliau mengesyorkan supaya PAS tidak harus dipandang enteng kerana parti itu tidak lagi terbatas di kawasan pedalaman tetapi mengambil jalan tengah yang ditinggalkan Umno.

Sekutu-sekutu Umno, iaitu MCA dan MIC, yang melukut di tepi gantang telah membuka ruang bagi PAS untuk memainkan peranan utama memenuhi “middle ground”, tulis Ku Li dalam bicaranya.

Siapa mudah lupa?
Mana mungkin PAS dan DAP boleh berada pada satu titik pertemuan, kata Muhyiddin pada Okt 9 semasa berkempen di Bagan Pinang.


Beliau mempertikaikan sama ada dasar perjuangan Islam akan dapat dipertahan oleh PAS sekiranya ada satu bentuk kerjasama dengan DAP.

Beliau seolah-olah lupa bahawa bekas ketua partinya sendiri pernah menegaskan Malaysia ialah negara Islam contoh.

Pada bulan Jun 2002 mendahului perhimpunan agung Umno, Dr Mahathir Mohamad bukan sekadar menyangkal tafsiran ‘kesederhanaan’ Malaysia yang pernah digambarkan sebagai “a moderate Muslim state” malah menyebut Malaysia sebuah “sebuah negara Islam fundamentalis”, mengikut satu laporan media CNN.

Memandangkan MCA dan MIC tidak membidas Dr M tatkala itu, maka perlu Muhyiddin meminta parti-parti satelit Umno menjelaskan pendirian mereka mengenai ‘negara Islam’ sebelum beliau mencabar mursyidul am PAS Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Komplot Umno di S’gor and Perak
Ekoran kejutan keputusan PRU tahun lalu, ketua Umno Selangor Dr Mohd Khir Toyo telah mengundang PAS menubuhkan kerajaan campuran, yakni suatu gabungan yang bakal mengetepikan Adun-adun PKR dan DAP.

Khir mendedahkan bahawa jawatan Menteri Besar ditawarkan kepada pesuruhjaya PAS Selangor Hasan Ali dalam perjumpaan rahsia itu. (Namun Hasan telah menafikan tuduhan tersebut dengan menepis, “Tidak ada tawaran yang konkrit”.)

Dalam pada itu, rundingan sulit antara Umno dengan PAS berlangsung dengan restu presiden parti Abdul Hadi Awang. MCA dan Gerakan tidak mengetahui apa-apa.

Seperti juga di Selangor, Umno tidak boleh menerima kekalahan tipis BN di Perak. Bermula dari sejurus selepas Mac 2008 sampailah hari upacara angkat sumpah Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak, agen Umno masih bertekad untuk berjumpa dengan pesuruhjaya PAS Perak – ketika itu Ustaz Ahmad Awang – di perkarangan Istana Iskandariah.

Umno rampas kerajaan negeri
“Umno Perak yang didukung oleh pimpinan Umno pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama Umno/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 exco kepada 5 orang lagi Adun PAS,” tulis Ustaz Ahmad Awang dalam blognya.

Beliau membongkarkan keligatan Umno yang berhujah bagaimana BN memperolehi 28 kerusi dengan seorang sahaja Adun bukan Melayu. “Ini bermakna jika PAS menyertai Umno/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam.”

Dalam wawancara yang disiarkan majalah Milenia Muslim terbitan Ogos 2009, Ustaz Ahmad Awang menerangkan dengan lanjut keadaan sebenar, yakni beliau menolak usaha Umno atas sebab akur kepada keputusan yang diluluskan oleh Majlis Syura.

Ustaz Ahmad Awang memberitahu bahawa PAS memberi syarat jika DAP mahukan kesepakatan, Menteri Besar hendaklah Melayu Islam sepertimana tuntutan perlembagaan negeri. Justeru itu, PAS Perak tidak bersekongkol dengan Umno.

“Padahal pada malam 8 Mac, 2008, Datuk Husam Musa telefon dari Kota Bharu menyokong usul kami untuk berpegang kepada ‘tahalluf siyasiy’ iaitu berfungsi dengan PR, hak demokrasi dan keadilan adalah hak untuk kita berpegang bersama,” katanya.

“Hari esoknya Dato’ Nik Aziz hubungi bersetuju hatta kalau PAS tidak menjadi MB, kita akan teruskan bersama PR. Sampai ke satu tahap DAP negeri juga sanggup keluar dari DAP pusat jika diminta untuk berbuat demikian.”

Jika Umno begitu nekad mahu menyisihkan saf kepimpinan DAP yang menampakkan hasrat berkongsi kuasa di Perak dengan parti Islam PAS berserta parti pelbagai etnik PKR yang diterajui Melayu, nescaya terbuktinya Umno memang mempunyai sikap anti-Cina amat menebal.

Ketara sekali, budaya perpaduan BN itu omong-omong kosong belaka.

Wadah dan arus baru
Pada hakikatnya, puak minoriti memang sudah beralih sokongan, sungguhpun buat masa ini sukar untuk meramal kaum India akan berpihak kepada siapa nanti.

MCA pula semakin kucar-kacir. Barangkali presidennya Ong Tee Kiat akan terpaksa berundur sementara timbalannya Dr Chua Soi Lek sudah dilucutkan jawatan. Lapisan pengganti payah mendapat kepercayaan umum, kecuali daripada tuannya Umno.

Secara terang-terang Umno mensasarkan undi Melayu dan tidak berminat memancing undi bukan-Melayu melainkan giat berslogan ‘1Malaysia’. Sepatutnya BN beriltizam supaya ‘lihat anak, pandang menantu’, tapi ini tidak – hanya mengutamakan Umno dulu, kini dan selamanya.

Gelagat Umno menabur fitnah yang lawannya ‘pengkhianat bangsa’ jelas mengapi-apikan sentimen kaum. Lidah tidak rasminya akhbar Utusan penat menyeru ‘Bangkitlah Melayu’, dan ‘Melayu bacul’, serta memomokkan kelompok lain sebagai ‘musang berbulu ayam’.

Penyebaran mesej ‘PAS untuk semua’ dan penolakan istilah ‘bumiputera’ oleh Nik Aziz yang lebih menggemari pesanan “Kita semua anak cucu Adam”, membuatkan PAS lebih disenangi berbanding Umno.

Namun begitu, niat PAS untuk melaksanakan syariat Islam masih menimbulkan rasa was-was kerana ada di kalangan orang PAS yang terlalu ghairah hendak mengekang kebebasan serta ingin menghukum penganut Islam yang mengamalkan gaya hidup kurang ortodoks.

PAS perlu beringat bahawa kita sebuah masyarakat majmuk dan senantiasa mencaturkan lunas-lunas politik bertolak-ansur.

2 Respons

  1. Masa depan bukan milik PAS tetapi milik Islam

  2. kalu ambo tulih banyok2,, ado hok sakit ati.. padae ambo kato lagu ni je lah..

    Ramai pemimpin2 yg berkecek bendo yae dio tidok tetap/faham & amali..

    Sepatutnya, dalae keadaae loni sudoh ado sistem pemerintahan berpusat oleh PR.. biar rakyat tengok dan bandingkan.. kenapa selepas 1tahun lebih.. masih tekapai2.. negeri ni nok wak sarok dio.. negeri ni nok buak sarok dio.. apo kijoae???

    Duduk semeja.. bincang sistem pemerintahan berpusat… & semua pihak kena saling dengar dan faham… KEY TO SUCCESS is bilamana gerombolan melayu Islam yang bagai kain buruk Islamnya berduyun2 menyokong perjuangan PAS.. SAMADA DLM GELAP ATAU DLM TERANG….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: