KEPUTUSAN JAWATANKUASA TATATERTIB PAS MENGEJUTKAN & TIDAK BOLEH DITERIMA

Oleh ABDULLAH ABDUL KARIM, EXCO DEWAN PEMUDA PAS PUSAT/NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PAHANG

1. Keputusan JK Tatatertib PAS Pusat menggantung YB Khalid Samad selama enam bulan dan hanya memberi amaran bertulis kpd YB Dato Dr Hassan Ali amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali.

2. Dengan membuat keputusan tersebut, JK Tatatertib samada disedari atau tidak, telah membenarkan diri mereka dipergunakan untuk melindungi anasir-anasir anti Pakatan Rakyat di dalam PAS.

3. Keputusan ini juga sebenarnya menghantar isyarat yang salah kepada rakyat Malaysia yang menaruh harapan yang tinggi kepada PAS untuk membela nasib mereka melalui platform Pakatan Rakyat.

3. Amat menghairankan bila individu yang bermatian mempertahankan dasar dan keputusan PAS untuk berkerjasama dalam Pakatan Rakyat dikenakan hukuman yang berat, sedangkan individu yang tindakannya boleh menjejaskan Kerajaan PR Selangor hanya diberi amaran sahaja. Saya rasa hukuman terhadap Hasan Ali ini hanya sekadar wayang untuk “membersihkan” Dato Hasan Ali dan pada yang sama Khalid Samad terus dimangsakan.

4. Ahli PAS dan para penyokong PAS serta Pakatan Rakyat bukannya bodoh. JK Tatatertib ini yang pada awalnya diwujudkan untuk menyiasat kes-kes di Selangor adalah satu kompromi untuk meredakan kemarahan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas beliau mendesak supaya satu EGM diadakan untuk menyingkirkan pemimpin PAS yang anti PR. Kalau Mursyidul Am tidak bersuara, jangan harap akan ada tindakan dikenakan kepada Dato Hasan Ali. Maka, EGM tidak perlu, tapi sebagai ganti pemimpin yang jelas melanggar semangat setiakawan PR perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib. Inilah dia semangat dari keputusan Mesyuarat Khas AJK PAS Pusat pada 28hb Oktober 2009.

5. Tapi, entah macam mana atas permainan licik sesetengah pihak tanpa kita semua sedari, Khalid yang sepatutnya dianggap sebagai hero dalam mempertahankan keputusan parti, telah turut diheret sama dan menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti PR dalam PAS.

6. Saya gagal melihat bagaimana tindakan Hasan Ali sebagai seorang anggota exco kerajaan negeri yang sentiasa bercanggah dengan MB dan Exco yang lain hingga boleh melemahkan kerajaan yang PAS adalah anggotanya boleh dianggap lebih ringan kesalahannya berbanding dengan tindakan Khalid selaku ahli parti yang mengkritik pemimpin parti tanpa mengikut saluran yang dianggap begitu berat kesalahannya hingga mewajarkan dia digantung selama enam bulan.

7. Apa yang didedahkan Khalid di dalam blognya bukanlah satu maklumat sulit atau rahsia berkaitan dengan strategi parti. Ianya hanya melaporkan perbincangan dalam mesyuarat yang umum tahu apakah kandungannya.

8. Di sini timbul persoalan terhadap kewibawaan JK Tatatertib. Saya sendiri lebih dua bulan yang lalu telah membuat satu laporan bertulis kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS berkaitan dengan satu konspirasi di kalangan beberapa orang ahli-ahli PAS untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat. Laporan saya itu malangnya hanya dipendamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil.

9. Apabila saya merujuk perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab, mereka memberi alasan teknikal kononnya laporan tersebut perlu dihantar melalui Setiausaha Agung PAS sebelum ianya disalurkan kepada JK Tatatertib. Wow, nampaknya Setiausaha Agung pula yang menjadi penapis setiap aduan tatatertib !

10. Bagi mengelakkan aduan saya ditolak atas alasan-alasan bodoh sebegini, maka saya telah menghantar semual aduan tersebut kepada Setiausaha Agung PAS lebih kurang tiga minggu yang lalu. Malangnya, sehingga hari ini tiada tindakan diambil dan saya tidak dimaklumkan apa yang terjadi terhadap aduan saya tersebut.

11. Apakah kerana saya mendedahkan tentang aktiviti subversif anti PR maka aduan saya tidak dilayan? Hanya pimpinan parti sahaja yang dapat menjawabnya.
Saya menyiarkan ini adalah atas permintaan Sdr Abdullah sendiri dan ramai lagi pihak yang telefon kami supaya menyiarkan sms-sms yang pro dan kontra terhadap keputusan tersebut.

Kami hanya menyiarkan sms-sms yang bertanggungjawa sahaja – Harap maklum

Advertisements

Khalid Samad digantung jawatan, Hassan Ali diberi amaran

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad, digantung daripada memegang jawatan parti selama enam bulan dan dilarang membuat kenyataan yang boleh menjejaskan nama baik parti dan Pakatan Rakyat.

Manakala Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, pula diberi amaran dan dilarang membuat kenyataan yang boleh menjejaskan nama parti dan Pakatan Rakyat.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas,

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, petang tadi selepas mendapati mereka berdua bersalah terhadap dua tuduhan.

Saya amat bersimpati dengan nasib Khalid Samad dan terasa juga bahangnya kerana banyak juga jasa beliau di Parlimen dok berlawan dengan Umno/BN. Memang itulah ‘perangai’ Khalid yang tidak akan mengaku kalah jika berdebat. Tetapi LD tak ambil kira itu semua. Ada seorang MP PAS kata kat saya, memang dah diagak, tetapi keputusan itu terlebih daripada diagak. Maka terpaksalah Khalid jadi MP Bebas sepanjang enam bulan ini.

Banyak juga ulasan yang diterima samada melalui telefon dan sms kawan-kawan dan pimpinan. Tak tergamak juga nak siarkan semua sms itu. Apa yang boleh saya katakan di sini adalah kebanyakannya tidak berpuashati dengan hukuman yang telah dibuat oleh Lembaga. Apapun terserahlah kepada Khalid Samad samada beliau ingin merayu atau tidak.

Apa pandangan tuan-tuan buatlah komen di sini dengan sewajarnya.

Berkaitan, baca di sini dan di sini.

Petronas Wajib bayar Lima peratus royalti Kelantan

Kelantan tetap ada hak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus dan akan menjadi negeri yang terkaya, kata bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mempersoalkan mengapa Kelantan tidak mendapat royalti minyak sedangkan Sabah dan Sarawak memperolehinya.

“Lima peratus wajib dibayar kepada Kelantan sedangkan semasa Sabah dperintah PBS (pembangkang) juga dapat royalti,” sambil mendapat tepukan hadirin.

Ku Li juga berkata macamana orang lain (pelabur asing) nak hormat negara kita jika kita tak hormat perjanjian.

Ku Li yang telah dilantik sebagai Pengerusi Kaukus mengenai Isu royalti akan mengkaji semula struktur cukai untuk bantu kerajaan negeri.

“Negeri nak maju macamana kalu katung negeri ‘kering koteng’,” katanya.

Ucapannya yang berjaya menarik perhatian orang ramai yang memenuhi padang Stadium Sultan Mohamad IV itu berakhir kira-kira jam 10.50 malam.

Memorandum berhubung tuntutan royalti itu diedarkan kepada orang ramai untuk ditandatangani dan akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri.

Sejak petang lagi, stadium penuh sesak dengan kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan untuk mengikuti penjelasan royalti minyak yang disampaikan oleh Ku Li.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diikuti solat Isyak yang diimamkan oleh Ustaz Mohamad Mustafa manakala solat hajat dipimpin oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Majlis bertambah meriah dengan perarakan beca memasuki stadium yang membawa Ku Li dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dua Program bersejarah: Bersama Ketua Agama dan Pidato Royalti

Lebih 400 orang ketua-ketua agama dari empat buah agama di seluruh negara akan menghadiri jemputan Mahabbah Kerajaan Kelantan sempena majlis jamuan tengahari yang bakal diadakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada masa yang sama, majlis yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu juga bakal disertai wakil media seluruh negara.

“Selain ketua-ketua agama dari ulama Islam, paderi dan sebagainya, saudara-saudara dari rakan media juga turut menjadi tetamu pada hari berkenaan esok,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Sempena majlis yang diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga, ada beberapa acara antaranya ucapan dari Tuan Guru sendiri termasuk wakil-wakil dari pemimpin agama juga akan turut berucap.

Program berkenaan bertujuan untuk meredakan keadaan yang sedikit tegang baru-baru ini yang berkait dengan beberapa isu agama.

“Mudahan dengan cara ini Kelantan dapat menjadikan ianya suatu contoh isu-isu sansitif seperti itu dapat diselesaikan secara musyawarah bagi mengekalkan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Kita berbangga kerana Kelantan telah menjadi perintis pada program seperti ini,”ujarnya.

Manakala sebelah malam pula, Menteri Besar Kelantan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menyeru rakyat Kelantan seluruhnya hadir untuk mendengar penjelasan isu tuntutan royalti di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, bermula dengan solat Maghrib petang ini.

Menurutnya, rakyat Kelantan wajar hadir pada majlis itu untuk mendengar taklimat khas yang akan disampaikan oleh pengerusi Petronas pertama, YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Majlis berkenaan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang turut disertai berpuluh NGO lain.

“Majlis bermula dengan solat Maghrib, solat sunat hajat dan Isyak sebelum ceramah yang akan ditekankan soal-soal hak, khususnya dari sudut undang-undang,”ujarnya.

Konsisten berjuang walaupun sudah tua

Tengahari tadi selepas solat Zohor di Surau Pejabat Agung PAS, seorang Ustaz telah menyampaikan Tazkirah beliau mengenai Kisah Ummu Sulaim menanti keislaman Abu Talhah, antara yang dapat menarik untuk saya rakamkan di sini adalah Ustaz tersebut menceritakan ayat 41 Surah Taubah yang bermaksud:

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Abu Talhah amat konsisten dengan perjuangan Islam. Beliau sentiasa bersedia untuk berjuang walaupun umur beliau sudah lanjut. Pada suatu masa, pada saat beliau sedang sakit, datanglah panggilan jihad. Beliau meminta anak-anaknya mempersiapkan dirinya supaya beliau dapat keluar berjihad. Walau bagaimanapun, hasrat beliau ditentang oleh anak-anaknya.

Beliau pun membaca ayat 41 dalam surah at-Taubah yang bermaksud, “Berangkatlah kamu berjuang dalam keadaan ringan ataupun berat,” dan beliau tetap berkeras untuk keluar berjuang. Anak-anaknya berkata, “(Ayah) telah berjuang pada zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Omar dan sekarang giliran kami pula untuk keluar berjuang.” Akhirnya beliau diizinkan untuk belayar bersama-sama dengan tentera-tentera Islam untuk berperang.

Di tengah perjalanan, beliau meninggal dunia dan mayatnya hanya sempat ditanam sembilan hari selepas itu, apabila kawasan darat ditemui. Namun yang anehnya, keadaan tubuh jasadnya tidak berubah sedikit pun semasa dikafani dan disimpan. Kisah ini disebutkan di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Kesungguhan Abu Talhah dan konsistennya beliau dengan perjuangan Islam sepatutnya dicontohi oleh umat Islam pada hari ini.

Mungkin inilah sebabnya orang-orang tua atau orang-orang lama tidak mahu meletakkan jawatan. Seolah-olah berhenti berjuang.

Kelantan lantik firma bebas siasat Pembinaan Bazar Tok Guru

Ha, kami setuju seratus peratus, buat siasatan dalaman terlebih dulu, kemudian PAC negeri pula siasat. Jika tak padan lagi, Kerajaan Negeri tubuh Suruhanjaya Hisbah untuk siasat, tak padan lagi, minta Parlimen tubuh Suruhanjaya DiRaja. Barulah puashati hamba rakyat sekaliannya.

    Kerajaan Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).Pengerusi Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata audit itu bertanggungjawab membuat penilaian angka sebenar kerugian yang dialami PMBK dalam menguruskan projek itu yang menimbulkan isu kontroversi penyelewengan dalam perbadanan itu sehingga menjejaskan peniaga di negeri ini.

    “Bagi menjawab dakwaan itu kita (kerajaan negeri) bersetuju melantik firma bebas. Tok guru (Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) akan lantik firma audit untuk mendapat penjelasan tepat mengenai kerugian sebenar yang didakwa dalam pembinaan bazar itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini Rabu.

    Penulis blog Syed Azidi Syed Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella, mendakwa bahawa kerajaan negeri kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Menteri Besar Kelantan.

    Sebelum ini, Nik Aziz dilaporkan berkata kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks itu pada harga RM23 juta kerana masalah teknikal.

    Susulan kenyatan Menteri Besar itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan sebaliknya akan memperoleh keuntungan menerusi jualan lot perniagaan di aras bawah kompleks tersebut.

    Husam berkata, kerajaan negeri akan memastikan peniaga UDA dan Pasar Lama MPKB dapat menduduki 381 unit tingkat bawah secara menjual balik kepada peniaga terbabit. – sumber Bernama

Isu Kehilangan Enjin Jet F5E: Kenapa kerajaan takut tubuh Suruhanjaya Diraja

Pengumuman yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC) dalam kes kehilangan enjin Jet F5E tidak pun mengejutkan.

Untuk mengenal pasti keterlibatan pihak atasan kanan TUDM dalam kehilangan enjin Jet mestilah melalui penyesiatan yang rapi. JIka sekadar mengharap maklumat dari pegawai kementerian dan TUDM maka sudah pasti sukar untuk ditemui.

Sudah tentu ada maklumat yang digelapkan dari pengetahuan jawatankuasa kira kira kewangan awam (PAC), sudah tentu perkiraan kerajaan kalau kalau didedah adanya keterlibatan pegawai atasan dan kepentingan politik yang terlibat ini akan menjejaskan imej kerajaan.

Bagi saya ini adalah pemikiran sempit pemimpin UMNO/BN, sepatut mereka perlu berfikir bahawa jika mereka dilihat telus dan berani membiar suatu siasatan yang bebas melalui suruhanjaya diraja hingga membawa kepada terbongkarnya mereka yang menyalahgunakan kuasa, sudah tentu kerajaan dan negara akan lebih dihormat dan raayat tak nak kehilangan pemimpin dan kerajaan yang bersih, bebas dari amalan rasuah,adil dan berintegeriti.

Tidak sama kuasa yang ada pada PAC dengan kuasa yang ada pada sebuah suruhanjaya DiRaja. Persoalannya siapa pegawai atasan TUDM yang bertanggung jawap terhadap dua Jet yang enjinnya hilang.kedua siapa pegawai atasan yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan enjin Jet tersebut dan siapakah Pegawai pemerentah kem TUDM dimana tempat enjin Jet tersebut hilang.

Takkan sarjan dengan prebet bersendirian mengendali dan menyelengara Jet tersebut.Adakah sarjan dan prebet yang jadi pegawai pemerentah kem TUDM. Sebab itu saya pertegaskan hanya satu penyiasatan yang mempunyai kuasa penyiasatan yang menyeluruh sahaja yang dapat membongkar penglibatan pihak atasan tersamasuk kuasa politik yang terlibat dalam kehilangan enji Jet F5E.

Hanya orang yang bersalah saja yang tak nak suruhanjayadiRaja,kerana mereka takut terbongkarnya jenayah penyelewengan dan penyalahgunaankuasa mereka.

 ” SELAMATKAN MALAYSIA”

Dato’ Mahfuz Omar
Naib Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.
27 Jan 2010