Dr Rosli berjaya ketepi perintah mufaraqah

Bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abdul Kader berjaya mengetepikan perintah mufarakah atau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd. Noor oleh mahkamah pada 9 November lalu, sekali gus membatalkan perbicaraan kes induk.

Pasangan tersebut juga dibenarkan mendaftar dan mengesahkan pernikahan kali kedua mereka yang berlangsung di Kampung Bangsal Wakseng, Pattani, Thailand, pada 22 Disember tahun lalu bagi meneruskan hidup sebagai suami isteri.

Hakim Syariah, Mohd. Yusoff Awang membuat keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, selepas berpuas hati dengan dokumen dan afidavit sokongan oleh Rosli Allani, 35, melalui peguamnya Mustafa Kamal Mat Hassan.

“Mahkamah memutuskan bantahan awal permohonan defendan pertama (Rosli Allani) dan defendan kedua (Ilyani) berhubung perintah mufarakah dibatalkan dan kes induk iaitu permohonan plaintif, Mohd. Noor Che Man, 58, untuk membatalkan pernikahan terdahulu pasangan itu tidak praktikal diteruskan.

“Kedua-dua defendan juga dibenarkan mendaftar pernikahan kali kedua yang dilakukan di Pattani, Thailand dan meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Yusof ketika membacakan keputusan tersebut juga bersetuju dengan peguam defendan satu dan dua, kes induk tidak praktikal diteruskan kerana merugikan masa kedua-dua belah pihak dan mahkamah jika tuntutan diteruskan.

“Mahkamah bersetuju dengan peguam pemohon bahawa kes membatalkan perkahwinan pertama tidak praktikal lagi dan jika diteruskan akan merugikan masa mahkamah kerana tuntutan plaintif sudah terjawab selepas defendan mengaku berkahwin di selatan Thailand,” katanya.

Tambah beliau, ketika memohon pembatalan perintah mufarakah pada 4 Januari lepas, Rosli Allani turut memfailkan afidavit sokongan antaranya salinan surat nikah yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Pattani, sebagai bukti beliau dan Ilyani, 30, bernikah semula mengikut hukum syarak pada 22 Disember lepas.

“Defendan pertama dan kedua mengaku pernikahan pertama tidak sah dan batal dan pengakuan tersebut menjawab tuntutan plaintif dan dianggap selesai,” ujarnya.

Hakim turut menjelaskan, hujah peguam plaintif, Mohd. Zaki Zainal Abidin yang membantah permohonan difailkan defendan tidak relevan.

“Hujah peguam plaintif, defendan satu dan dua membuat permohonan bantahan awal tersebut bagi mengelak daripada hukuman mahkamah kerana melanggar perintah mufarakah tidak diterima kerana ia perkara berasingan dalam tuntutan awal plaintif,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki bagi pihak Mohd. Nor telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di mahkamah yang sama hari ini dan menganggapnya sesuatu yang ganjil.

“Saya menerima keputusan dan menghormatinya tetapi menganggapnya ganjil kerana kes lama dibatalkan dan kes baru pula timbul dan diberi perhatian dan telah mengemukakan rayuan.

“Isunya di sini rukun nikah iaitu kuasa wali yang masih berhak untuk tidak setuju dengan pernikahan tersebut dan saya berpegang kepada turutan kes yang sepatutnya diselesaikan satu persatu,” ujarnya.

Seperti anak guamnya, beliau juga mahukan keputusan mahkamah sama ada pernikahan pertama di Selangor sah atau sebaliknya, namun keputusan hari ini memihak kepada rayuan defendan membatalkan mufarakah dan perkahwinan terdahulu.

“Apa yang berlaku hari ini tidak dinafikan akan turut dilakukan oleh pasangan lain, apatah lagi dilakukan oleh seseorang yang pernah bergelar pemimpin,” katanya. – Utusan

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: