MEMORANDUM GEGAR RAKYAT MENUNTUT ROYALTI

KENYATAAN MEDIA GEGAR 
HIMPUNAN 10 000 RAKYAT MENYAMBUT KEBERANGKATAN
DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
DAN PERSEMBAHAN MEMORANDUM RAKYAT MENUNTUT ROYALTI 
 
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) ingin sekali menegaskan bahawa matlamat utama GEGAR ialah mendapatkan hak bayaran tunai atau royalti kepada kerajaan dan rakyat negeri berasaskan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.  

Sehingga matlamat ini tercapai, GEGAR akan terus menganjurkan berbagai kempen dan usaha bagi menyemarakkan dan menggerakkan sokongan padu rakyat.  

Sehubungan ini, GEGAR telah merangka berberapa siri penerangan. Terdekat, GEGAR akan menganjurkan Dialog dan Solat Hajat Perdana Royalti Rakyat Bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac 2010, di Terengganu Ekuestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu.  

Majlis akan bermula dengan solat hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah pada jam 7.30 malam dan dialog akan diadakan selepas solat Isyak di Resort TER. 

Dan, dua hari selepas itu, pada 20 Mac, GEGAR akan mempersembahkan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti  kepada  DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin sempena keberangkatn baginda DYMM ke Terengganu. Persembahan ini dijangka pada jam 11.45 pagi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. GEGAR menyeru rakyat Terengganu dan Kelantan hadir ke acara-acara ini.  

KONVOI RAKYAT KELANTAN PERSEMBAHKAN MEMORANDUM KEPADA YDPA 

Bagi meraikan rombongan rakyat Kelantan ke Terengganu untuk acara persembahan memorandum, YAB Menteri Besar Kelantan telah bersetuju untuk melepaskan konvoi 200 buah kereta di Bukit Yong, Pasir Puteh, pada jam 7.30 pagi, 20 Mac 2010.  

Rakyat Kelantan dijemput menyertai konvoi ini dengan mengibarkan bendera negeri Kelantan dan berpakaian baju berwarna merah  sempena warna bendera negeri Kelantan. 

Kibaran bendera Kelantan ini juga bersempena menyambut Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan yang akan menjelang dan bagi menzahirkan perasaan kasih dan dekatnya rakyat kepada DYMM al-Sultan. GEGAR menjangkakan  lebih 10 000 rakyat akan bersama dalam program ini.  

Sementara itu, GEGAR mengingatkan rakyat bahawa pada bulan Mac ini genaplah 10 tahun Negeri Terengganu dinafikan hak royalti oleh Kerajaan Pusat.  

GEGAR dengan ini menegaskan lagi bahawa royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada undang-undang, fakta dan sejarah dan kerajaan Persekutuan mesti menghentikan ketidakadilan ini.  

Sebaliknya, kezaliman kini telah dilanjutkan pula kepada rakyat dan Negeri Kelantan dengan menafikan bayaran royalti dengan beralasan Akta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969. Walhal, ordinan ini telah dimansuhkan. Akta Ordinan Darurat 1969 ini tiada kena mengena dengan tanggungjawab PETRONAS untuk membayar kepada negeri.  

Hanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang boleh diguna pakai kerana Seksyen 13 Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979 telah pun memansuhkan Ordinan Darurat 1969 seperti Perkara 13 dalam Akta 216 : Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979:

    13. (1) Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969 adalah dengan ini dimansuhkan.

Penafian hak negeri ini membuktikan semangat federalisme yang dimeterai sejak kemerdekaan negara telah dinodai oleh Kerajaan Persekutuan walhal dalam amalan federalisme, negeri mempunyai hak mentadbir urus hal-hal yang di bawah bidang kuasa negeri. Melalui hak dan perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan. 

GEGAR percaya usaha menuntut hak rakyat ini akan terus berkobar bukan sahaja dari GEGAR tetapi dari seluruh rakyat sepertimana sokongan yang telah dibuktikan melalui Himpunan 100,000 Rakyat Menuntut Royalti pada 28 Januari 2010 lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.  

GEGAR akan terus komited dalam perjuangan murni ini bersama rakyat jelata menuntut hak royalti.

“ROYALTI HAK RAKYAT”

 Terima kasih.

Dr Abdul Halim Bin Yusof
Mohamad Fauzi Bin Abu Samah
Pengerusi Bersama, Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: