Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.
Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.
Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.
Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.
Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People’s Hospital juga di Guanzhong.
Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.
Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China.
Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orang anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak.
Menteri Besar Kelantan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Che Hashim Sulaima, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang meninggal dunia di Hospital Al-Islam di Kampung Baru, Kuala Lumpur, petang ini.
Sambil menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilanggan bagi PAS, Mursyidul PAS itu berkata beliau akan berlepas ke kediaman ADUN itu di Gua Musang pada 9 malam ini untuk menziarahi jenazah Adun berkenaan.
Katanya walaupun Che Hashim bukanlah seorang yang banyak pengalaman kerana baru dalam politik, tetapi beliau berjaya membantu perjuangan Islam melalui PAS.
“Saya mendapat tahu mengenai kepulangannya ke rahmatullah selepas asar tadi melalui anggota Exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, yang berada di hospital ketika itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, di Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.
“Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah,” ujarnya dalam kenyataan ringkas.
Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan.
“Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS,” ujarnya yang menziarahi allahyarham di hosiptal berkenaan.
Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, jenazah Che Hashim sedang diuruskan di Masjid Jamek Kampung Baru, kata pembantu peribadinya Husin Embong.
Beberapa pemimpin tertinggi PAS dilihat menziarahi allahyarham di masjid itu, termasuk timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa, serta naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. ADUN Kelantan yang kelihatan adalah Dato’ Takiyuddin Hassan, Wan Hassan Wan Ibrahim (ADUN Semerak).
“Selepas selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan, kita akan terus bertolak bawa jenazah ke Gua Musang,” kata Husin ketika dihubungi.
Beliau menjangka, mereka akan bertolak membawa jenazah ke kampung halamannya di Kampung Kerinting, Gua Musang menjelang jam 7 malam.
Tambahnya, pimpinan PAS negeri serta warga Gua Musang akan menunggu ketibaan jenazah di Masjid Tengu Faiz Petra dan akan terus disemadikan di perkuburan berhampiran.

(Gambar: Pulang ke kampung halaman. Jenazah Chek Hashim dibawa dengan ambulan ke Gua Musang untuk dikebumikan)
Filed under: News | 1 Comment »