Saman Ekor: KEBENARAN TERSERLAH – PERJUANGAN KASE DIAKUI

Oleh ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Saya lampirkan kenyataan saya berkaitan kenyatan Timb Menteri dalam theSun hari ini untuk rujukan, pindaan dan kelulusan..

Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia khasnya pemilik kenderaan dan pengguna jalanraya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri yang disiarkan dalam akhbar theSun bertarikh 27/4/2011 di mukasurat 03. Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang keputusan Kerajaan menyenarai hitam pemilik kenderaan hanya setelah kesalahan yang dilakukan dibawa dan dibuktikan di Mahkamah. Antaranya beliau menyebut seperti berikut :

“It’s not (being lax). It’s only fair; innocent until proven guilty – that is the basic principle of law. Only when they are found to be guilty of their offences in court, will they be blacklisted”

Menyorot kembali polisi Kerajaan sebelum ini di mana Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menguatkuasakan kaedah senarai hitam pemilik-pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu iaitu dengan menghalang segala transaksi melibatkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (Cukai Jalan) dan lesen memandu jika didapati pemilik kenderaan dan pemegang lesen mempunyai “perkara yang belum selesai” di dalam rekod JPJ dan PDRM.

Tidak pernah pada bila-bila masa semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan mereka. Sebaliknya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen terus dihalang transaksi dengan JPJ melainkan mereka membayar dahulu segala kompaun bagi setiap perkara yang terdapat di dalam rekod JPJ dan PDRM. Ekoran tindakan tersebut, balai-balai polis, kaunter-kaunter pejabat pos dan JPJ dikerumuni para pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar kompaun-kompaun kerana terdesak dan takut mereka akan disenarai hitam.

Mereka terpaksa bersusah payah beratur, mengambil cuti dan ada juga yang terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk melangsaikan kompaun sedangkan semua kesalahan yang direkodkan di dalam sistem JPJ dan PDRM masih belum dibawa ke Mahkamah dan dibuktikan kesalahan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ bertegas mengatakan mereka mempunyai kuasa untuk melakukan senarai hitam tersebut melalui peruntukkan Seksyen 17(1)(d) dan Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Kami di Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) secara konsisten menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun 2009 di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan pengangkutan Jalan Negeri Sarawak.

Kami di KASE telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Menteri Pengangkutan pada Ogos 2010 dan kemudiannya menyerahkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Walaubagaimana pun jawapan yang diterima pada waktu itu tetap sama iaitu Kerajaan mempunyai kuasa untuk menyenarai hitam walaupun kes Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan sebaliknya.

Desakan demi desakan dilakukan sehinggalah pada 23/3/2011 Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menarikbalik perlaksanaan senarai hitam atas kesalahan yang dikeluarkan Notis Pol 170A atau lebih popularnya “Saman Ekor”. Alasan yang diberikan beliau ialah Jemaah Menteri mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara bahawa keputusan perlu ditangguhkan sehingga suatu kes rayuan diputuskan di Mahkamah.

Kami di KASE menyambut baik keputusan tersebut. Walaubagaimana pun keputusan tersebut dengan jelas, nyata dan terang menunjukkan bahawa Kerajaan telah mendera, menindas, menzalimi dan memaksa rakyat khasnya pemilik kenderaan dan pemegang lesen untuk membayar dan mengakui sesuatu perkara yang belum pasti dan belum diputuskan kesalahan mereka oleh Mahkamah. Tindakan Kerajaan sebelum ini jelas membuktikan prinsip “innocent until proven guilty” (tidak bersalah melainkan dibuktikan salah) yang disebut oleh Timbalan Menteri itu tidak diendahkan. Kenapa setelah berjuta-juta duit rakyat diperas melalui tindakan senarai hitam baru sekarang hendak disebutkan prinsip “innocent until proven guilty”. Adakah semasa polisi ini dilaksanakan sebelum ini Kerajaan tidak pernah tahu prinsip “innocent until proven guilty”?

PDRM pula dengan bangganya mengumumkan bahawa sehingga Februari 2011 sejumlah lebihkurang RM496.7 juta telah berjaya dikutip. Kutipan ini hasil daripada perlaksanaan kaedah ugut dan paksa oleh Kerajaan selama ini. Kerajaan mengugut akan menghalang transaksi pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu jika kompaun tidak dijelaskan. Hasil ugutan itu, para pemilik kenderaan dan pemegang lesen berpusu-pusu membanjiri balai polis, pejabat pos dan JPJ untuk membayar kompaun sedangkan kesalahan mereka belum dibuktikan.

Inikah prinsip “innocent until proven guilty” yang dipegang oleh Kerajaan? Bayar dahulu – salah atau tidak bukan isunya? Rakyat Didahulukan! Adakah PDRM tidak perlu menggunapakai prinsip “innocent until proven guilty”? Adakah duit kompaun lebih penting daripada pembuktian kesalahan?

Keputusan menarikbalik senarai hitam juga dikatakan ekoran nasihat Jabatan Peguam Negara. Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan pada tahun 2009 tetapi hanya pada Mac 2011 baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri bahawa tindakan Kerajaan menyenarai hitam itu tidak betul. Negara amat malang mempunyai “penasihat” seperti ini. Sudah berjuta-juta duit rakyat dikaut, sudah berapa ramai rakyat disusahkan baru Jabatan Peguam Negara memberikan nasihat bahawa tindakan Kerajaan tidak betul?

Kami di KASE ingin mendesak kepada Kerajaan untuk menjelaskan beberapa perkara. Pertama, atas prinsip undang-undang apa Kerajaan berpendirian bahawa Kerajaan boleh menghalang transaksi sebelum ini jika sekarang ditarik balik atas prinsip “innocent until proven guilty”? Kedua, siapa yang memberikan nasihat kepada Kerajaan untuk melaksanakan senarai hitam walau pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa tindakan itu salah? Ketiga, jika sekarang ditarik balik kerana prinsip “innocent until proven guilty”, bagaimana status mereka yang telah membayar kompaun sedangkan mereka tidak pernah didapati salah oleh Mahkamah? Mereka membayar kerana ugutan senarai hitam oleh Kerajaan, bukannya mengaku kesalahan.

Akhirnya KASE mendesak Kerajaan melakukan perkara-perkara berikut :
a) Memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya para pemilik kenderaan dan pemegang lesen atas tindakan senarai hitam tanpa bukti sebelum ini.
b) Memulangkan segala bayaran kompaun yang telah dibuat oleh para pemilik kenderaan dan pemegang lesen akibat perlaksanaa kaedah senarai hitam sebelum ini.
c) Mengeluarkan rekod kesalahan yang tidak dibuktikan di Mahkamah daripada sistem PDRM dan JPJ melainkan semua kesalahan tersebut dibawa dan dibicarakan di Mahkamah.
d) Menghapuskan semua saman-saman ekor dan perkara-perkara yang tidak dibuktikan kesalahan di Mahkamah daripada rekod JPJ dan PDRM.

Sekiranya tindakan ini tidak dilakukan, KASE berpendapat bahawa Kerajaan sememangnya tidak bertanggungjawab dan telah bertindak zalim kepada rakyat. Di mana slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan? Kebenaran Akhirnya Terserlah….

27/04/2011

SAMAN EKOR: TIDAK MENYOROK TETAPI BERDEPAN, PEKUNG TERBUKA

Kenyataan Media JK Kempen Anti Saman Ekor

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya. Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas. Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik. KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar. Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar. Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu? Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira. Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011. Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti. Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis. Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.

DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Tok Guru Nik Aziz ulas Prof Aziz Bari

MENGULAS KENYATAAN PAKAR PERLEMBAGAAN, DR. ABDUL AZIZ BARI

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.

Sekian, wassalam.

RM25 ribu diperlukan untuk penyiapkan prasarana Surau

POHON SUMBANGAN KEWANGAN BAGI MENYIAPKAN PRASARANA  (TERMASUK TANDAS, PAGAR DLL) SURAU

Merujuk kepada perkara diatas, sukacita dimaklumkan bahawa Surau Nur Al muttaqin masih memerlukan sumbangan kewangan daripada orang ramai

bagi menyiapkan prasarana yang dianggarkan berjumlah RM25,000.00.

Sumbangan tersebut bolehlah dibuat terus ke akaun BIMB No. 0303 6010 0474 16 atas nama SURAU NUR AL MUTTAQIN, atau Hubungi Che Jalir bin Hassan (Setiausaha 012 9518365) dan Wan Johari (Pengerusi 016 9223665) atau email pang5jo@yahoo.com dan layari perkembangan Surau di http://suraunurulmuttaqin.wordpress.com/.

Untuk makluman pembaca sekalian tersebut telahpun diletakkan batu asasnya pada 1Mei tahun lalu.

Semoga sumbangan yang diberikan dilipat-lipat gandakan pahala dan dimurah-murahkan rezeki oleh Allah SWT.

Kerjasama, sumbangan dan perhatian yang diberikan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Beting Maro sudah wajar berubah

Salam dari Kuching,
Beting Maro kawasan indah,
Banyak jalan atas titi, kampong-kampong atas beting sungai, puluhan tahun bahkan ratusan tahun, hidup sedemikian.

50an tahun BN memerintah Sarawak, Beting Maro tidak terkecuali. Kawasan Melayu/ Melanau, Iban, Kadasan Dusun diperintah BN dengan begitu mudah sekali.

Kini Taib Mahmud keluh kesah dibuat pabila seorang Sri Kandi Si Suriati Abdulah dari PKR, Pejuang bangsa menerjah arus menegak keadilan rakyat.

Perubahan perubahan perubahan,
Rakyat terpekik terlolong meminta regim Taib Mahmud dan kuncunya turun dari takhta pemerintahan.

Betulkah rakyat tak berani buat perubahan dan masih khawatir pembangkang mahu buat perubahan.

Selepas Dato Seri Anwar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang bersama pemimpin tempatan diketuai Baru Bian, Wong Ho Leng dan Adam Ahid turun padang berhari hari memberi penerangan pada sesi ceramah dan lawatan rumah ke rumah. Kini rakyat sudah tahu pembangkang sudah berupaya mengambil alih pemerintahan Sarawak.

Bagi PAS, Sudah tiba giliran Beting Maro berubah demi masa depan. Mungkin inilah anak pertama PAS yang diwakili anak muda, Abang Ahmad Kerdee, 32, yang juga seorang peguam yang muda dan berilmu yang akan membawa suara rakyat ke DUN Sarawak.

Pintu pemerintah BN wajar diketuk dan sebaik-baiknya digantikan.

Salam dari Kuching . . .

Sarawak bukan hak milik Tan Sri Taib Mahmud

Salam dari Kuching,
Lebih 50 tahun BN mewiridkan,
“Pembangkang pengacau, pemecah belah masyarakat dan penghasut”.
Itu bicara orang yang tidak mengetahui, tak faham dan tidak mengerti ‘erti demokrasi’.

Tugas pembangkang:
Memantau perjalanan pemerintahan, menegur salah silap kerajaan, membangkang dasar-dasar kerajaan yang tidak mesra rakyat.

Dan menghalang pemimpin-pemimpin pemerintah melanun dan merompak (umpama pemimpin Sarawak yang kaya raya melebihi pendapatannya) khazanah negeri dan negara, kenapa SPRM tidak berani menyiasat.

Pemerintah yang tidak punya pembangkang yang kuat dan jitu, pemerintah akan jadi zalim, sombong dan bongkak. Memerintah ikut nafsu dan nafsi. Rakyat diketepikan. Ini yang sedang berlaku di Sarawak.

Betapa kaya raya keluarga Taib Mahmud dan pemimpin BN Sarawak. Harta bertimbun-timbun di luar negara – England, Australia, Kanada dan entah di mana lagi.

Pegawai bawahan disiasat hingga terbunuh dek kerana apa . . Dek mungkin kerana harta tetapi Bila seorang pegawai terbunuh bertambah kalut pemerintah, terpaksa tubuh badan siasat untup menutup dan mencari kesalahan kenapa, kenapa dan kenapa terbunuh, bunuh diri dan pelbagai lagi kesalahan akan dituding kepada pegawai kerajaan. Kesian pegawai kerajaan yang dijadikan kambing hitam.

Khas buat pengundi bumi kenyalang,
sudah sampai masanya untuk berubah,
sudah lama makan ikan terubuk,
mari makan ikan lain pula,
yang leboh dan lebih enak,

Berubahlah, berani berubah, Sarawak bumi anda semua, bukan hak milik keluarga Tan Sri Taib Mamud

PIlihanraya Umum DUN Sarawak kali ke 10: PAS kemuka 5 Calon

Callon Calon PAS Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam Pilihanraya Umum Sarawak kali ke 10:
1. N03 Tanjong Datu : Puan Hani Shafi
2. N15 Muara Tuang : Puan Noraini Hamzah
3. N20 Sadong Jaya : Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi (Ketua Dewan Pemuda)
4. N22 Sebuyau : Adam Ahid (Pesuruhjaya)
5. N24 Beting Maro : Abang Ahmad Kardee Bin Abang Masagus (Peguam Muda)

KAMEK MAU PERUBAHAN

Selamatkan Sarawak, Ubah Sekarang