Royalti: Mahkamah tolak permohonan Kelantan ..

Oleh Harakahdaily
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kerajaan persekutuan menjadi pencelah dalam samannya ke atas Petronas berhubung royalti minyak.

Keputusan itu dibuat Hakim Low Hup Beng setelah mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas.

Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Paduka Husam Musa berkata, beliau meminta Tommy memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

“Saya telah minta peguam kita untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan di atas kedua-dua keputusan tadi,” kata beliau kepada pemberita di luar kamar mahkamah selepas mendengar keputusan berkenaan.

Menurutnya, Kelantan tetap berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana tidak memberi sebarang impak kepada mereka.

“Kes ini sebenarnya begitu simple. Jika kerajaan Kelantan menang dalam kes ini, lima peratus bahagian (royalti) Kerajaan Pusat tidak akan berkurangan.

“Kalau Kerajaan Kelantan ditakdirkan kalah dalam kes ini bahagian lima peratus Kerajaan Pusat tak bertambah. Jadi tidak ada apa-apa kesan negatif dan positif kepada Kerajaan Pusat.

“Dan kerana itulah kita masih berpendapat bahawa Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam kes ini kerana kes ini adalah kontrak antara Kerajaan Kelantan dengan Petronas,” katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya Kelantan berharap agar rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti akan diterima.

“Kita berharap Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan dan memberi keputusan sebaliknya daripada apa yang diputuskan hari ini,” katanya.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan boleh dibuat dalam masa 30 hari daripada hari ini.

Sementara itu Mahkamah Rayuan hari ini turut menolak satu lagi rayuan oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonan bagi kes saman itu dipindahkan semula ke Mahkamah Komersial Baru (NCC).

Kerajaan negeri mahu kes itu dipindahkan semula memandangkan saman berkenaan pada mulanya difailkan di NCC, tetapi kini akan didengar di Mahkamah Sivil Baru (NCvC).

Pada 30 Ogos tahun lalu, kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan. Sumber dan Foto Harakahdaily

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: