MCA dan Gerakan dicabar Keluar BN

Harakahdaily melaporkan, MCA dan Gerakan terus dicabar supaya keluar dari BN sekarang, bagi menunaikan cakapnya untuk berbuat demikian sekiranya Umno melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan BN.

Kedua-dua parti tersebut dicabar supaya membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh supaya ia jelas kelihatan tidak hanya mainan politik mereka.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud sememangnya telah digunakan di sebuah negeri yang berada di bawah BN sekarang iaitu di Terengganu atas nama Kanun Jenayah Syariah Terengganu 2003.

Menurut beliau, Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah digubal oleh PAS dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN.

Katanya, disebabkan perkara itu, MCA dan Gerakan perlu keluar dari BN sekarang bagi melaksanakan cabaran yang telah dibuatnya itu kerana jika tidak, mereka hanya ternyata bercakap kosong.

“Lebih jauh dari itu, jika MCA dan Gerakan tidak melaksanakan apa yang dikatakan oleh para pemimpin tertinggi mereka itu, kedua-dua parti itu jelas hanya menipu orang-orang Cina yang menjadi ahli-ahlinya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno sejak beberapa hari lalu mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN.

Menurut Mahfuz, untuk membuktikan cabaran yang dibuat itu bukan mainan politik, MCA dan Gerakan perlu mengemukakan usul supaya Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan di Terengganu sekarang dibatalkan.

Katanya, usul tersebut perlu dikemukakan pada persidangan Dun Terengganu dan perlu disokong oleh majoriti ahli-ahli Dun Terengganu termasuk dari Umno untuk membolehkan ia diluluskan.

“Untuk membolehkan usul itu diluluskan, ia mestilah disokong oleh ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno. Tetapi sekiranya ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno tidak menyokongnya, usul tersebut tetap tidak boleh diluluskan.

“Disebabkan tidak mendapat sokongan dari Umno, MCA dan Gerakan mestilah keluar dari BN bagi membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh, bukan hanya mainan politik,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

26 September lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media yang diadakan bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS seperti yang dilaporkan Harakahdaily, turut mencabar MCA dan Gerakan berbuat demikian.

“Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS.

Katanya, para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri.

Advertisements

Hak Laksana Enakmen Jenayah Syariah tidak dinafikan

Kesemua komponen Pakatan Rakyat memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu Jenayah Syariah.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

“Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan. Baca lanjut di sini. Kenyataan Penuh di sini.

Sambut baik
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyambut baik keputusan mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat yang menghormati niat kerajaan Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.

Keputusan yang diputuskan di dalam mesyuarat malam semalam itu disifatkan sebagai keputusan yang sungguh bermakna untuk seluruh umat Islam khususnya di negeri Kelantan Darul Naim. Baca lanjut di sini

Isu Hudud: Pakatan Rakyat hormati pendirian parti

image

Sidang media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September 2011 di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis pimpinan Pakatan Rakyat menghormati niat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Syariah berkenaan.

Majlis itu juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, kata Anwar lagi selepas mempengerusikan mesyuarat di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

“Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

“Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003,” katanya yang membacakan satu kenyataan.

Turut hadir penasihat DAP, Lim Kit Siang; pengerusi DAP, Karpal Singh; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, kata Anwar lagi, terdapat keperluan untuk merujuk perkara itu ke majlis pimpinan Pakatan Rakyat kerana ia melibatkan pindaan perlembagaaan.

Bagaimanapun, ditanya sekiranya Pakatan akan meminda perlembagaan bagi usaha itu seandainya ia berjaya membentuk kerajaan persekutuan, Anwar berkata tiada persetujuan bersama dicapai.

image

KENYATAAN BERSAMA MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT
28 September 2011

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
YB TUAN LIM KIT SIANG
YB DATO SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG

Tahniah Kelantan layak ke Suku Akhir bertemu Terengganu

Tumpang gembira (gumbira – cakap seorang pakcik di Kedai Makan malam tadi) bila Kelantan layak ke Suku Akhir Piala Malaysia bertemu Terengganu

Keputusan lain Piala Malaysia semalam

Kumpulan A
Perak 1 – Kedah 1 (Perak layak)
Sabah 4 – Johor 1 (Sabah layak)

KUmpulan B
Terengganu 0 – N. Sembilan 0 (Terengganu dan NS layak)
PKNS 1 – Sime Darby 0

Kumpulan C
Kelantan 2 – Felda 0 (Kelantan dan Felda) layak ke Suku Akhir
Johor FC 3 – 1 Sarawak

Kumpulan D
TTeam 6 – 0 PDRM (TTeam layak)
Selangor 2 – KL 1 (Selangor layak)

Kelantan nak serapkan Hudud dan Qisas dalam Kanun Jenayah Syariah

The Malaysian Insider melaporkan, Ekoran sekatan hampir dua dekad, Tok Guru Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mahu memasukkan enakmen hudud dalam hukuman syariah negeri Kelantan untuk diguna pakai oleh Mahkamah Syariah.

Oleh itu kata Nik Aziz, PAS berusaha untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hudud dan Qisas) dimasukkan dalam senarai hukum Mahkamah Syariah supaya hakim dapat menggunakannya ketika perbicaraan.

“Usaha kami ialah nak masukkan enakmen hudud dalam senarai hukum Mahkamah Syariah di Kelantan, maknanya kami orang politik berusaha untuk itu supaya ia dapat digunakan oleh hakim,” kata Tok Guru Nik Aziz.

Kenapa melenting-lenting Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sepatutnya Kerajaan Pusat membenarkan Kerajaan Negeri melaksanakannya  kerana Hak Agama Islam adalah Hak Negeri.

Baca lagi Kenyataan pemimpim Umno: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – Hudud Belum Sesuai dilaksanakan – Semacam ada kekurangan sifat Allah iaitu YANG MAHA MENGETAHUI – BERTAUBATLAH WAHAI PEMIMPIN UMNO

Kenapa perlu kerjasama Pusat, kerana perlu kerjasama agensi-agensi lain seperti penyiasat seperti Polis, peguam dan lain-lain yang berada di bawah Kerajaan Pusat.

Kata Nik Aziz lagi, “saya ulang sekali lagi, kami hanya nak masukkan enakmen hudud dalam senarai hukum supaya mahkamah akan menggunakan akta ini.”

Jelas beliau, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim akan menentukan ada prima facie atau sebaliknya.

“Kalau ada prima facie, ada peguam bela dan peguam cara. Daripada Malaysia menerima hukuman gantung sampai mati mandatori (dalam kes) dadah (atau) senjata apa, maka lebih baik terima hudud.

“Gantung sampai mati ini menyebabkan keluarga merana, tak ada tempat nak bergantung, merana hidup dalam keadaan lapar, hudud ini tak mati orang, bila kena hudud tak mati manusia,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Pada 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.
Bagaimanapun sehingga kini ia tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Isu Hudud: Pakatan Rakyat akan putuskan pada 28 September ini

image

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, para pemimpin Pakatan Rakyat cukup sedar Isu Hudud dan sehubungan itu mereka akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu (Isu Hudud) pada 28 September ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut beliau, hukum hudud, qisas dan taqzir seharusnya difahami oleh semua pihak, tetapi banyak pihak yang tidak memahaminya dengan mendalam.

Katanya, isu mengenai hukum hudud merupakan sesuatu yang sensitif dan ia amat mudah menimbulkan salah faham kepada phak tertentu.

“Kami dah putuskan untuk bincang perkara ini pada 28 September ini bermula jam 8.30 hingga 12.00 malam. Selepas itu, kami dari PAS, PKR dan DAP dari Pakatan Rakyat akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media itu.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka meminta semua pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat tidak membuat apa-apa ulasan mengenainya sehinggalah pendirian bersama dicapai 28 September ini.

Katanya, Umno BN bercakap mengenai isu itu sebagai suatu jalan bagi mencetuskan perselisihan antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak akan mengikut agenda mereka.

“Pada mesyuarat 28 September ini, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri yang kini berada di luar negara akan turut hadir.

“Mesyuarat tersebut diadakan untuk membincangkan Baget 2012 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri nanti, tetapi untuk perbincangan awalnya akan membincangkan perkara ini,” katanya.

Menyentuh tentang kenyataan Menteri Besar Kelantan mengenai Kanun Jenayah Syariah Kelantan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, beliau menegaskan, kenyataan Nik Aziz itu adalah dalam konteks negeri Kelantan.

Kanun Jenayah Syariah Kelantan telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada tahun 1993, manakala ketika PAS memerintah Terengganu turut diluluskan Kanun Jenayah Syariah Terengganu pada persidangan Dun Terengganu pada tahun 2003 (1999-2004).

“Kedah sekarang tak buat sebab untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah itu demokratik, iaitu mestilah diluluskan pada persidangan Dun,” katanya.

Untuk melaksanakan hukum hudud, jelasnya, memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan disebabkan perkara itulah Kerajaan PAS Kelantan tidak melaksanakan hukum hudud semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu kerana dihalang oleh Mahathir.

“Disebabkan Tun Dr Mahathir kata jangan buat, Kerajaan PAS Kelantan tak bolehlah laksanakan hukum hudud takut Tun Dr Mahathir buat magran iaitu mematikan demokrasi di Kelantan. Tindakan Kerajaan PAS Kelantan itu sebenarnya adalah untuk menyelamatkan demokarsi di negeri itu atau di negara ini,” tegasnya.

Mahfuz desak tubuh Suruhanjaya siasat Salahlaku Peguam Negara

image

Malaysiakini melaporkan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan rasuah dan penyelewengan perundangan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mahfuz berkata dakwaan itu dibangkitkan banyak pihak, termasuk oleh penulis Raja Petra Kamaruddin, bekas panel pencegahan rasuah Tan Sri Robert Phang, serta didedahkan dalam surat terbuka bekas ketua siasatan Jenayah (CID) Datuk Mat Zin Ibrahim.

“Ia (dilihat) satu pencemaran terhadap institusi peguam negara yang diwujudkan dalam (kerangka) perlembagaan persekutuan,” katanya dalam sidang media di ibu negara petang ini.

Mahfuz berkata, suruhajaya itu perlu ditubuhkan kerana institusi peguam negara mempunyai hubungan langsung dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Mahfuz, dakwaan berkaitan antaranya berhubung dakwaan terlibat memalsukan fakta dan bukti dalam kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes rasuah dengan Shahidan Shafie dan “penyelewengan perundangan” kes Altantuyaa Shaariibuu.