Skandal Fidlot Kebangsaan: Wang Rakyat diberi kepada Keluarga Menteri

image

Selepas pendedahan KEADILAN mengenai status dana rakyat sebanyak RM256 juta (RM250 juta dalam bentuk pinjaman dan RM6 juta dalam bentuk geran) yang telah disalurkan sepenuhnya kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), ahli-ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional cuba mengalihkan fokus rakyat daripada isu yang sebenarnya.

Isu-isu yang dibawa oleh YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan YB Rembau di dalam Dewan Rakyat semalam langsung tidak menyentuh perkara pokok yang didedahkan oleh KEADILAN; iaitu sejumlah besar wang rakyat diberikan kepada keluarga menteri dan dibelanjakan sesuka hati mereka sedangkan projek yang diamanahkan tidak mencapai sasaran awal.

Pun begitu, saya ingin menjawab beberapa isu yang cuba ditimbulkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional yang mempertahankan bahawa hanya RM181 juta daripada RM250 juta pinjaman telah disalurkan kepada NFC:

Pinjaman RM250 juta disalurkan ke dalam Akaun Khas Pinjaman (Special Loan Account) berbentuk amanah (escrow account)

Secara lazimnya, sebuah akaun amanah (escrow account) adalah akaun yang dipegang oleh pihak ketiga (third party) yang menguruskan urusniaga di antara dua belah pihak.

Kebiasaannya, escrow account dipegang oleh pihak bank atau peguam yang bertanggungjawab menerima arahan
dari pemberi pinjaman sebelum menyalurkan pinjaman kepada si peminjam.

Apabila si peminjam telah memenuhi syarat-syarat perjanjian pinjaman yang dipanggil Conditions Precedent (CP), barulah pihak ketiga menyalurkan wang ke akaun bank milik peminjam.

Di dalam kes pinjaman RM250 juta yang diambil oleh NFC, KEADILAN telah membuktikan bahawa wang-wang pinjaman sebanyak RM130 juta (bayaran pertama) dan RM120 juta (bayaran kedua) telah masuk ke dalam akaun milik NFC.

Akaun-akaun NFC di Maybank dan Public Bank bukanlah di atas nama pihak ketiga seperti mana konsep escrow account tetapi benar-benar di atas nama NFC.

Oleh sebab itu jugalah, mengikut peraturan International Financial Reporting Standard (IFRS) yang digunapakai dalam penyediaan penyata kewangan, pinjaman yang telah masuk ke akaun milik peminjam mestilah ditunjukkan sebagai hutang jangka panjang di dalam penyata kewangan peminjam.

Saya ingin menegaskan sekali lagi pendirian KEADILAN bahawa bukti jelas menunjukkan keseluruhan RM250 juta telah disalurkan kepada NFC berdasarkan rekod penyata bank; bukannya diletakkan di dalam escrow account seperti alasan yang diberikan Barisan Nasional.

Perbelanjaan membazir dan pindahan wang ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa wang selebihnya masih berada di dalam escrow account yang dikawal oleh kementeriannya menjerat beliau sendiri.

Daripada rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

Ini termasuklah pindahan wang ke dalam akaun-akaun deposit tetap milik NFC yang bakinya berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sehingga mencecah jumlah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan perjalanan luar negara dan keraian berjumlah RM828,000 dalam tahun 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berjumlah RM3 juta dalam tahun 2009.

Jika benar semua perbelanjaan ini datangnya dari dana yang diletakkan di dalam escrow account seperti yang didakwa Barisan Nasional, bermakna kementerian-kementerian terbabit telah cuai dan membiarkan sahaja perbelanjaan yang membazir dan menyeleweng ini dibuat.

Ini mengheret keseluruhan pentadbiran Barisan Nasional yang melindungi penyelewengan seorang menteri dan membiarkan sahaja keluarga beliau berbelanja wang rakyat sesuka hati.
Aset bersih NFC berjumlah RM239 juta pada 31 Disember 2009

Hakikatnya, penyata kewangan NFC yang diaudit dan difailkan ke SSM secara jelas menunjukkan bahawa aset bersih NFC pada 31 Disember 2009 berjumlah RM239 juta.

Ini membabitkan simpanan deposit tetap di atas nama NFC berjumlah RM119 juta, hutang Meatworks kepada NFC berjumlah RM3 juta, hutang lain-lain kepada NFC berjumlah RM626,000, dana yang dipindahkan ke syarikat-syarikat lain berjumlah RM83 juta, baki lembu belum disembelih yang dinilai berharga RM6 juta dan nilai bersih aset tetap (selepas susut nilai tahunan) berjumlah RM28 juta.

Jika hanya RM181 juta yang disalurkan setakat ini, bagaimana pula NFC boleh berbelanja lebih besar sehingga aset bersihnya berjumlah RM239 juta pada 31 Disember 2009?

Ini adalah kepincangan-kepincangan alasan yang diberikan oleh Barisan Nasional setakat ini yang cuba mengabui mata rakyat.

Saya percaya rakyat tetap akan kekal mempersoalkan perkara pokok iaitu penyelewengan dana rakyat yang dibuktikan oleh:

Pemindahan dana berjumlah RM83 juta ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil;
Perbelanjaan luar negara dan keraian yang melampau sehingga mencecah RM828,000 setahun; dan
Pemberian subsidi sebanyak RM3 juta menggunakan wang rakyat kepada restoran Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Ketiga-tiga perkara ini masih belum dijawab oleh menteri dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional. Semakin lama mereka mengelak, semakin rakyat yakin bahawa Barisan Nasional cuba melindungi penyelewengan yang berlaku di NFC.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL,
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN
AHLI PARLIMEN MACHANG

9 NOVEMBER 2011

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: