MP PAS Kota Bharu: Projek Jambatan Sultan Yahya Kedua …. berapa kali dah lanjut?

25 Jun 2012, 8.33 malam

Dato’ Wan Abd Rahim

Ucapan YB Kota Bharu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 bagi peruntukan Kementerian Kerja Raya

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Ya, Yang Berhormat Kota
Bharu.

Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu]: Assalamualaikumwarrahmatullaahi wabarakaatuh, terima kasih Tuan Pengerusi. Bagi membahaskan Maksud B.27, Kementerian Kerja Raya yang melibatkan tambahan sebanyak RM445.803 juta yang juga melibatkan pembiayaan keperluan tambahan, bayaran dan penyelenggaraan jalan persekutuan sebanyak RM20 juta.

Saya ingin bertanya kepada pihak Yang Berhormat Menteri mengenai dengan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Kedua yang menghubungi Kota Bharu dengan jajahan Tumpat. Ia telah diberikan kepada satu syarikat dengan nama I.S. Resources Sdn. Bhd. milik seorang pemimpin kanan Pemuda UMNO di negeri Kelantan. Ia mula dibina pada 7 Jun 2007 dan setelah lima tahun, jambatan itu masih belum dapat digunakan. Walaupun jangkaan awalnya sepatutnya siap dalam tempoh tidak sampai dua tahun setengah iaitu pada Disember 2009.

Apabila pihak kontraktor memohon, maka tempoh lanjutan masa diberikan kepada Disember 2010. Apabila tidak siap, dia mohon lagi. Diberikan pula tempoh lanjutan kepada Ogos 2012.

Di dalam soalan saya pada 13 Jun 2012 yang lalu dinyatakan oleh pihak kementerian bahawa jambatan ini belum juga siap dan tidak mungkin dapat disiapkan pada 30 Ogos 2012. Pihak JKR tidak dapat memastikan bila tarikh sebenar siap jambatan oleh sebab tempoh siap sebenar projek ini akan hanya dapat ditentukan setelah JKR meneliti cadangan penjadualan projek yang baru yang akan dipohon oleh pihak kontraktor.

Jadi saya mohon kepada pihak Yang Berhormat Menteri supaya menyatakan apabila dua, tiga kali tempoh EOT ini dilanjutkan tetapi belum juga siap dan pihak kementerian pernah menyatakan di dalam Dewan ini bahawa kalau tidak siap maka denda sebanyak RM26,000 satu hari akan dikenakan kepada pihak kontraktor tersebut setiap hari sehingga siapnya jambatan.

Jadi, ini merupakan suatu bebanan kepada pengguna-pengguna jalan raya terutamanya yang berada di jajahan Tumpat, Pasir Mas, di seberang Sungai Kelantan. Kita akan menyambut Hari Raya Puasa pada 19 Ogos yang akan datang, insya-Allah. Ini sekali lagi akan berlaku suatu malapetaka yang cukup-cukup besar apabila jambatan yang digunakan sekarang yang hanya ada satu laluan ke seberang dan satu laluan ke Kota Bharu dibina oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1964 dahulu.

Jadi sampai projek yang sepatutnya berharga RM150 juta tidak siap dalam tempoh lima tahun, jadi saya mohon kepada pihak Yang Berhormat Menteri supaya meneliti dan oleh sebab panjang jambatan ini hanyalah 800 meter, jadi mohon kepada pihak-pihak Yang Berhormat Menteri untuk memberi kepastian…

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Mencelah sedikit.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Hulu Terengganu bangun Yang Berhormat.
Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu]: Ya, sila.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Saya dengar berita baru-baru ini, Yang Berhormat Menteri Besar Kelantan ada mengumumkan untuk pembinaan lebuh raya dari Kuala Krai ke Kota Bharu. Tadi Yang Berhormat Puchong mengatakan bahawa agak malanglah untuk orang Puchong terpaksa menggunakan lebuh raya untuk keluar dan terpaksa membayar tol setiap hari. Jadi oleh sebab Kelantan berusaha membina lebuh raya dengan anggaran kutipan derma RM1 seorang, kita hendak tanya, bila jangkaan siap lebuh raya tersebut?

Kita juga hendak tanya, kalau Kelantan boleh binakan satu lebuh raya dan kita selalu mengutuk mengatakan perjanjian konsesi berkenaan lebuh raya ini menguntungkan kepada pihak yang membina, apa salahnya kerajaan negeri Selangor sendiri mungkin boleh membina laluan alternatif kepada projek lebuh raya supaya rakyat Puchong tidak terpaksa menggunakan tol.

Sebab ini merupakan pilihan-pilihan yang boleh dibuat kerana kalau kita minta orang lain menyediakan lebuh raya, tentulah mereka hendak mengaut keuntungan sebagai satu perniagaan. Bagaimana dengan persoalan saya? Terima kasih.

Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu]: Tuan Pengerusi, dengan izin pembinaan Lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai ini dibina dan sudah pun diberi jaminan tidak akan ada tol. Projek yang bernilai RM1.8 bilion ini akan dibayar kepada dua kontraktor yang bersetuju membinanya dalam tempoh 25 tahun, bayaran tertunggak 25 tahun. Maknanya dia buat dahulu, dia guna modal dia dahulu dan kerajaan akan membayar balik dalam tempoh 25 tahun. Kalau dikira RM1.8 bilion dalam tempoh lima tahun, kerajaan hanya kena bayar RM6 juta satu bulan sahaja. Keuntungan kepada rakyat. Negeri tidak ada untung, rakyat yang untung.

Ini kerana perjalanan daripada Kuala Krai ke Kota Bharu itu pada setiap musim perayaan, sepatutnya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu itu hanya memakan masa enam jam. Akan tetapi kadang-kadang anak-anak kita terpaksa menempuh perjalanan 14 jam, kadangkadang 16 jam. Kadang-kadang yang lebih teruk lagi, kita yang hendak balik ke Kota Bharu ini terpaksa masuk ke Bandar Bentong, masuk ke Bandar Raub. Jadi tolong memakmurkan Bandar Bentong dan Bandar Raub di Pahang itu sebelum sampai ke Gua Musang.

Jadi insya-Allah lebuh raya yang akan dibina ini akan dibuat dengan kewangan kerajaan dan juga derma daripada rakyat Kelantan seluruhnya.

Tuan Haji Mohd. Nor Othman [Hulu Terengganu]: Bila bermula agaknya? Bila bermula?
Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu]: Sudah pun bermula.
Tuan Haji Mohd. Nor Othman [Hulu Terengganu]: Sudah bermula.

Dato’ Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu]: Perkara-perkara yang bagi setengah pihak menakjubkan ini sebenarnya bukan perkara yang pelik. Buku Jingga itu sebenarnya tidak pelik. Kalau boleh Yang Berhormat Kota Belud dan Yang Berhormat Hulu Terengganu, kalau boleh esok apabila Yang Berhormat Mulia Gua Musang sampai tolong tanya Yang Berhormat Mulia Gua Musang. Bagaimana manifesto yang dibuat masa angkatan perpaduan ummah pada tahun 1990 dahulu, pendidikan percuma, perubatan percuma.

Perubatan percuma ini saya pergi ke Sungai Golok ada keluarga yang masuk hospital, dia bayar RM4 sahaja 40 bath dan dia boleh dapat kemudahan semua sekali. Sahabat saya pergi ke Hospital Universiti Sains Malaysia minggu lepas untuk buat scan kepala MRI. Kena bayar dahulu sebelum buat sebanyak RM1,150 bandingkan Hospital Universiti Sains Malaysia kita kena bayar RM1,150 di Sungai Golok Thailand RM4 sahaja. [Disampuk] Bukan inilah yang menyebabkan Thaksin Shinawatra popular sampai hari ini walaupun tidak ada dalam negeri. Ini juga akan berlaku kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, insya-Allah.

Balik kepada persoalan Jambatan Sultan Yahya Kedua Tuan Pengerusi. Saya mohon kepada pihak kementerian supaya dapat memberikan suatu penilaian dan sebagai suatu rumusan. Supaya kami di Kelantan tidak menjadi mangsa kepada permainan setengah-setengah pihak yang mengambil keuntungan yang awal. Kemudian apabila tidak dapat melaksanakan maka melepaskannya kepada kontraktor-kontraktor yang baru, yang bertungkus-lumus untuk cuba menyiapkan.

Satu orang sahabat saya daripada Kota Bharu buat satu posting dalam Facebook, mengenai dengan apa yang tiang yang dipasang di dalam sungai, di dalam air dalam sungai. Ada tiga tiang yang dibuat dalam gambar Facebook itu. Dua tiangnya bagus, satu tiangnya diistilahkan dengan bahasa Kelantan ‘kelok’.
Kelok ini maknanya jatuh makna tidak seperti tiang yang dua jadi ini mungkin akan melambatkan lagi. Jadi saya tidak mahulah projek yang hanya bernilai RM150 juta berlarutan sekarang sudah pun lima tahun dan memalukan Yang Berhormat bekas Perdana Menteri yang hadir sendiri untuk meletakkan batu asas. Janganlah sampai 10 tahun baru dapat digunakan. Sekian, terima kasih.

Rujukan: (ms 148 handsard http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-25062012.pdf ]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: