Dua Bulan Percubaan: 256,899 saman AES sehingga 26 November

Isu AES – Dewan Negara 3 Dis 2012
Timbalan Menteri Pengangkutan I [Datuk Abdul Rahim bin Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, saya memohon untuk menjawab pertanyaan ini bersekali dengan 15 pertanyaan yang lain yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abdul Rahman bin Bakar pada 3 September 2012, Yang Berhormat Senator Dato’ Muhammad Olian bin Abdullah pada 6 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Datuk Pau Chiong Ung pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Puan Chew Lee Giok pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman pada 10 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Mohd. Khalid bin Ahmad pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Datuk Chiw Tiang Chai pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Tuan Subramaniam a/l Veruthasalam pada 11 Disember 2012, Yang Berhormat Senator Puan Hajah Dayang Madinah binti Tun Abang Haji Openg pada 13 Disember 2012 dan Yang Berhormat Senator Puan Hajah Khairiah binti Mohamed pada 17 Disember 2012.

Memandangkan kesemua pertanyaan ini adalah menyentuh perkara yang sama dan saya minta izin daripada Tuan Yang di-Pertua, jawapannya agak panjang.

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat.

Datuk Abdul Rahim bin Bakri: Tuan Yang di-Pertua, pelaksanaan Automatic Enforcement System (AES) telah bermula pada 23 September 2012. Dengan peringkat awal pelaksanaan melibatkan pemasangan 10 buah kamera tetap dan pengendalian empat kamera mudah alih di 14 lokasi blackspots.

Lokasi-lokasi tersebut melibatkan tujuh lokasi di negeri Perak, dua lokasi di Selangor, tiga lokasi di Kuala Lumpur dan dua lokasi di Putrajaya.

Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan AES ini untuk fasa seterusnya di mana keseluruhan pemasangan dan operasi kamera AES adalah sebanyak 1,093 di 831 lokasi blackspots dan dijangka akan selesai pada penghujung tahun 2013. Keseluruhan 831 blackspots ini turut merangkumi 28 lokasi di Sarawak yang melibatkan 18 lokasi untuk kamera mengesan kesalahan memandu laju, dan 10 lokasi lagi untuk kamera mengesan kesalahan melanggar peraturan lampu isyarat.

Berhubung dengan pertanyaan mengenai panduan yang diguna pakai untuk menempatkan peralatan AES, suka saya ingin mengingatkan di sini bahawa pemilihan lokasi kamera AES adalah berdasarkan analisis dan kajian saintifik yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap perangkaan kemalangan Polis Diraja Malaysia. Lokasi-lokasi blackspots ini kemudiannya telah dipilih mengikut ranking berdasarkan kekerapan dan keseriusan kemalangan jalan raya yang berlaku di tempat tersebut.

Bagi menentukan lokasi pemasangan dan pengendalian kamera AES di lokasi-lokasi blackspots, satu jawatankuasa yang dipengerusikan yang dianggotai oleh JPJ, MIROS, PDRM, Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan untuk membuat lawatan tapak di 831 lokasi bagi membuat penilaian terhadap kesesuaian lokasi tersebut. Selain menentukan lokasi yang spesifik untuk dipasang kamera AES.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini pemilihan lokasi pemasangan kamera AES ini adalah turut mengambil kira kerja-kerja menaik taraf sesuatu jalan raya seperti mana yang dipersoalkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Haji Abdul Rahman. Sekiranya kerja-kerja menaik taraf sedang dilakukan atau proses untuk menaik taraf jalan raya akan dibuat dalam tempoh yang terdekat, lokasi berkenaan tidak akan dilengkapi dengan sistem AES.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Senator Tuan Mohamad Ezam bin Mohd. Nor, Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli, Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali bertanyakan negara asal perolehan teknologi dan kos pelaksanaan termasuk kos penyelenggaraan.

Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini pelaksanaan AES di negara ini adalah mengguna pakai dua teknologi yang menjadi peneraju utama dalam bidang ini iaitu Jenoptik Robot dari Jerman dan Red Flags dari Australia.

Bagi melaksanakan projek AES ini kerajaan telah bersetuju supaya pelaksanaannya dibuat secara outsourcing. Sehubungan itu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang dana ataupun modal untuk membiayai kos pelaksanaan AES sama ada kos pelaburan, kos operasi dan kos penyelenggaraan.

Kesemua kos tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh kedua-dua syarikat pelaksana. Berdasarkan kepada dokumen cadangan kewangan, kos pelaburan bagi kedua-dua syarikat ini adalah sebanyak RM717 juta. Manakala kos operasi termasuk kos penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun operasi adalah di bawah kawalan dan tanggungan syarikat masing-masing.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, teknologi AES berupaya mengesan dan merakam kesalahan lalu lintas secara automatik bagi kesalahan yang melibatkan pemanduan melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. Maklumat kesalahan ini kemudiannya akan dihantar secara real time online kepada pusat kawalan AES dan di proses untuk mengenal pasti pemilik kenderaan atau pemandu berdasarkan pangkalan data JPJ. Saman hanya akan dikeluarkan selepas mendapat pengesahan pegawai JPJ dan dihantar secara pos berdaftar kepada pemilik kenderaan.

Berdasarkan penjelasan tersebut, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak pernah memberikan kuasa kepada mana-mana pihak swasta atau pihak ketiga untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan. Perbezaan AES dengan sistem penguatkuasaan konvensional adalah adanya pihak syarikat yang bertindak sebagai penyedia perkhidmatan dan bertanggungjawab dalam proses penyelenggaraan.

Dalam hal ini, pelaksanaan AES adalah bertujuan untuk membantu aktiviti penguatkuasaan untuk mendapatkan bukti yang sahih. Malah pelaksanaan AES bukanlah suatu perkara yang baru. Memandangkan selama ini operasi penguatkuasaan memang telah dibuat oleh JPJ, malah semua pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas pada sepanjang masa, bukan hanya selective sewaktu penguatkuasaan dilakukan.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung pertanyaan Yang Berhormat Senator Puan Chew Lee Giok dan Yang Berhormat Senator Tuan Saiful Izham bin Ramli dan Yang Berhormat Senator Puan Hajah Khairiah
binti Mohamed. Bilangan saman yang telah dikeluarkan sehingga 26 November 2012 adalah sebanyak
256,899 saman dan perincian kesalahan lalu lintas dan negeri adalah seperti berikut:
(i) kesalahan pertama – memandu melebihi had laju, saman dikeluarkan 243,545 saman;
(ii) kesalahan kedua – melanggar peraturan lampu isyarat 13,354 saman dengan jumlah 256,899 saman; dan
(iii) kesalahan mengikut negeri, iaitu:
(a) Perak – saman dikeluarkan 81,001 saman;
(b) Selangor – 142,809 saman;
(c) Kuala Lumpur 10,213 saman; dan
(d) Putrajaya – 22,876 saman.
Jumlah 256,899 saman.

Pelaksanaan AES yang bermula 23 September 2012 ini, telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, terdapat individu dan organisasi yang menyokong pelaksanaan sistem AES tersebut selain segelintir yang membantah pelaksanaannya.

Sehubungan dengan itu kerajaan akan terus mempergiatkan lagi advokasi dan engagement bagi
memberikan penjelasan kepada orang ramai terhadap objektif pelaksanaannya untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan bukan bertujuan untuk membebankan mereka.

Berhubung isu pengecualian saman AES yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Syed Husin Ali. Menurut pengecualian yang diberikan di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan yang Dirakam Melalui Kamera) 2012, antara pihak yang dikecualikan termasuk kenderaan kerajaan yang digunakan bagi penguatkuasaan, aktiviti menyelamat dan mengawal kebakaran.
Teruskan membaca