BERSIH 2.0: MAHKAMAH TINGGI PUTUSKAN RAMPASAN BAJU BERSIH 2.0 TIDAK SAH

KENYATAAN MEDIA*
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM) DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
 
BERTARIKH: 14/11/2012
 
BERSIH 2.0: MAHKAMAH TINGGI PUTUSKAN RAMPASAN
BAJU BERSIH 2.0 TIDAK SAH

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa rampasan baju BERSIH 2.0 oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri tidak sah di mana Mahkamah Tinggi turut memerintahkan bahawa pihak Polis harus memulangkan baju-baju yang dirampas kepada Plaintif dalam masa 14 hari.
 
Plaintif di dalam kes ini iaitu Musafri bin Abdullah Azmi memfailkan saman terhadap Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan 3 yang lain kerana mendakwa penahanan beliau dan rampasan pihak Polis terhadap baju-baju beliau yang tertera “BERSIH 2.0 Gabungan Pilihanraya BERSIH dan Adil” pada 24/6/2011 adalah salah dan tidak sah, mala fide, melanggar hak dan kebebasan asasi manusia serta melanggar Pelembagaan Persekutuan.
 
Plaintif diwakili barisan Peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) iaitu Mohd Nazruddin Abdullah, Ahmad Termizi Abdullah, Noorazmir Zakaria dan Azizzul Shariman
 
Perbicaraan adalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, iaitu Yang Arif Dato’ Hj Zainal Azman bin Ab Aziz.
 
JUHAM menyambut baik keputusan Mahkamah tersebut kerana tindakan pihak Polis yang sewenang-wenangnya merampas baju BERSIH 2.0 jelas adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun dan merupakan suatu tindakan terdesak bagi menghalalkan niat jahat UMNO dan Barisan Nasional bagi menghalang kebangkitan rakyat dalam menyuarakan suatu Pilihanraya yang bebas dan adil.
 
Keputusan Mahkamah ini juga membuktikan bahawa pihak polis telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan pihak Menteri apabila dengan sengaja ingin menakut-nakutkan rakyat dengan membuat rampasan baju BERSIH 2.0 tersebut yang jelas suatu tindakan yang langsung tidak berasas dan menyalahi hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi, ASP Mohd Amirul Anbalagan bin Abdullah, 41, yang merupakan pegawai penyiasat kes tersebut ketika memberikan keterangan pada hari perbicaraan mengakui dan bersetuju bahawa memiliki dan memakai baju BERSIH 2.0 adalah tidak salah.
 
JUHAM ingin menegaskan bahawa hak asasi manusia tidak boleh dicabul dengan menggunakan kuasa tangkapan dengan sewenang-wenangnya di mana kuasa untuk menangkap oleh pihak polis haruslah berasaskan kepada syak wasangka yang munasabah dan bukannya mengikut telunjuk UMNO dan Barisan Nasional.
 
JUHAM komited untuk terus memperjuangkan hak asasi anggota masyarakat yang ditindas dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mara ke hadapan dalam menuntut suatu Pilihanraya yang bebas dan adil tanpa rasa gusar dan takut kerana hak anda sentiasa dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
 
Seterusnya JUHAM memberikan amaran kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk tidak terus menggunakan taktik yang dayus dan menakutkan-nakutkan rakyat. Hadapilah rakyat secara anak jantan pada Pilihanraya Umum yang akan datang dan bukannya mempergunakan pihak polis hanya kerana ingin mempertahankan kuasa yang ada yang telah semakin reput ditelan dek kebangkitan rakyat.
 
Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
PENGARAH
JABATAN UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia

MP PAS Kubang Kerian: Lebuhraya ke Kota Bharu masih dalam kajian?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : YB TUAN SALAHUDDIN BIN HAJI AYUB [KUBANG KERIAN]
TARIKH : 04.10.2012 (KHAMIS)
SOALAN 35 : Minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan sejauh manakah perkembangan perlaksanaan projek lebuh raya ke kota bharu yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman ahli yang berhormat, Kementerian Kerja Raya telah menjalankan Kajian Kemungkinan Cadangan Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur, Fasa 3 – Negeri Kelantan (LPT). Kajian yang disiapkan pada tahun 2009 itu antara laian telah mengenal pasti cadangan jajaran laluan yang terlibat iaitu dari Kg Gemuroh, Kulala Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 147 kilometer.

Anggaran awal kos untuk melaksanakan projek ini ialah sebanyak RM 3 bilion termasuk kos reka bentuk, pengambilan balik tanah dan pengalihan utility.

Projek LPT3 ini merupakan antara projek yang dicadangkan pelaksanaannya dalam tempoh RMKe-11. Ini kerana ia merupakan kesinambungan dari Lebuh Raya Pantai Timur, Fasa 1 dan Fasa 2 yang telah dikenal pasti dan disyorkan oleh Pelan Induk Pembangunan rangkaian Jalan Raya,Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, kementerian ini akan membincangkan dengan unit perancang ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk memperoleh kelulusan peruntukan bagi tujuan mereka bentuk dan pengambilan balik tanah dalam Rolling Plan ke-3 (2013-2014), RMKe-10. Manakala pelaksananan fizikal LPT3 akan dicadangkan dalam tempoh RMKe-11 kelak .

MP PKR Lembah Pantai: Statistik Jenayah 2007 – Ogos 2012?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR [LEMBAH PANTAI]
TARIKH : 03.10.2012(SELASA)
SOALAN 16 : Minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan:-
a) statistik-statistik terbahagi yang jelas untuk jenayah yang berlaku pada lima tahun yang lepas
b) peratus keseluruhan anggota polis yang ditugaskan untuk siasatan jenayah dan usaha yang diambil menugaskan semula anggota polis dari Jabatan lain ke Jabatan Siasatan Jenayah.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman yang berhormat, statistik jenayah yang dilaporkan berlaku di negara ini dibahagikan kepada dua iaitu Jenayah Indeks dan Jenayah Bukan Indeks.Kes-kes yang dipilih dan dikategorikan sebagai Jenayah Indeks adalah berdasarkan kepada jenayah yang kerap dilakukan dan mempunyai siginifikasi yang dianggap sangat mustahak sebagai petunjuk kepada kadar jenayah negara.Dalam hal ini, Jenayah Indeks terbahagi kepada dua iaitu Jenayah Kekerasan dan Jenayah Harta Benda.Dalam masa yang sama,Jenayah Jalanan pula terdiri daripada Samun Berkawan Bersenjata api,Samun Tanpa Senjata api dan curi Ragut.

Tuan yang di-pertua,
Bagi menjawab soalan (a) statistik Jenayah Indeks yang melibatkan Jenayah Kekerasan pada tahun 2007 adalah sebanyak 35,159 kes, 2008 sebanyak 37,817 kes, 2009 sebanyak 42,015 kes, 2010 sebanyak 32,887 kes, 2011 sebanyak 29,534 kes dan dari Januari hingga Ogos 2012 adalah sebanyak 19,791 kes.

Statistik Jenayah Indeks yang melibatkan Jenayah Harta Benda pula adalah sebanyak 174,423 kes pada tahun 2007, 173,828 kes pada tahun 2008, 167,802 kes pada tahun 2009, 144,633 kes pada tahun 2010,128,357 kes pada tahun 2011 dan bagi tahun 2012, hanya sebanyak 81,522 kes dilaporkan dari bulan Januari hingga bulan ogos.

Tuan yang berhormat,
Bagi menjawab soalan (b) pula, seramai 11,656 pegawai dan anggota polis di seluruh negara telah ditugaskan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mana ianya mewakili 10.1% daripada jumlah keseluruhan anggota Polis di Malaysia.

Untuk memperkasakan lagi Jabatan Siasatan Jenayah,beberapa strategi dan usaha telah dijalankan antaranya seperti di bawah projek National Blue Ocean Strategy 1 (NBOS 1), bermula tahun 2010 seramai 7,402 pegawai dan anggota polis telah ditempatkan semula (redeployment) untuk menjalankan tugas-tugas kepolisan dan sebagai ganti, pegawai-pegawai awam telah menggantikan tugasan pejabat yang dahulunya dilakukan oleh anggota dan pegawai polis.

Selain daripada itu,dari semasa kesemasa telah membuat beberapa penambahbaikan khususnya seperti membuat permohonan kepada pihak yang berwajib untuk membuat penambahan perjawatan termasuk di JSJ bersesuaian dengan pembangunan dan pertambahan penduduk di negara ini.

MP PKR Ketereh: Siasatan melalui Akta Perhimpunan Aman?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN HAJI AB AZIZ BIN AB KADIR [KERETEH]
TARIKH : 02.10.2012(SELASA)
SOALAN 14 : Minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah makluman yang telah di buat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Berapakah kertas siasatan, pertuduhan dan sabitan yang telah diambil di bawah akta berkenaan. Adakah pelaksanaan akta tersebut memenuhi maksud sebenar ianya digubal.

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman yang berhormat, Akta Perhimpunan Aman 2012 telah dikuatkuasa pada tahun 23 April 2012. Sejak akta ini dikuatkuasakan, sebanyak 112 kertas siasatan telah di buka dan disiasat oleh pihak polis. Siasatan masih diteruskan dan sehingga kini hanya 3 kes telah dituduh, manakala selebihnya tiada pertuduhan dan sabitan yang telah diambil di bawak akta berkenaan. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan dikembalikan untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis. Kes masih dalam siasatan polis dan siasatan masih giat dijalankan dan akan dikembalikan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Ingin saya maklumkan di dalam dewan yang mulia ini, perlaksanaan akta tersebut memenuhi maksud sebenar kerana ianya memberi hak kepada orang ramai untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dengan memperuntukkan sekatan-sekatan yang didapati perlu ditepati oleh penganjur demi menjaga kepentingan keselamatn dan ketenteraman awam.Hak dan kebebasan orang lain yang tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan turut dilindungi.sebagai contoh pelaksanaannya semasa sambutan “Ambang Merdeka” di dataran Merdeka pada malam 30 ogos 2012 telah berjalan dengan lancar sebagaimana kehendak Akta tersebut.

Tuan yang di-pertua,
Saya menyeru agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang negara dan janganlah mengambil kesempatan atas keterbukaan kerajaan di dalam membenarkan rakyat meluahkan ketidakpuasan hati mereka di tempat-tempat yang tidak dibenarkan.

Ketua Pembangkang: SPAD tarik balik Permit Teksi?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB LISAN
DARIPADA : DATO SERI ANWAR BIN IBRAHIM [PERMATANG PAUH]
TARIKH : 27.09.2012 (KHAMIS)
SOALAN 34 : Minta PERDANA MENTERI menyatakan penjelasan mengenai keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD) yang akan menarik semula permit teksi yang terlibat serta pecahannya mengikut milik syarikat atau individu.

JAWAPAN OLEH: YB DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN (TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI)
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk Makluman Ahli Dewan yang Berhormat, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak bercadang untuk menarik balik permit teksi sedia ada, sebaliknya akan menerima semula ‘’Surat Tawaran kelulusan ‘’ (STK) yang gagal dilesenkan dalam tempoh yang telah diberikan. Jumlah STK teksi yang gagal dilesenkan adalah sebanyak 8,308 di mana 6,846 adalah milik syarikat dan 1,462 milik individu.

Sekian. Terima Kasih.

MP PKR Tanah Merah: Skim Amalan Ladang Baik Malaysia?

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN HAJI AB AZIZ BIN AB KADIR [ KETEREH ]
TARIKH : 27.09.2012(KHAMIS)
SOALAN 31 : Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah permohonan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) di Kelantan mengikut daerah. Berapakah yang berjaya permohonannya. Apakah usaha serius Kerajan dalam membantu petani dalam m,empraktikkan Amalan Pertanian Baik (GAP).

JAWAPAN OLEH: YB MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI.
Tuan Yang di-Pertua,
Sejak tahun 2002 hingga September 2012, jumlah permohonan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) di Kelantan adalah sebanyak 33 iaitu:-
i. Daerah Bachok -1 permohonan.
ii. Gua Musang – 7 permohonan.
iii. Kota Bharu – 3 permohonan.
iv.Kuala Krai – 1 permohonan.
v. Machang – 4 permohonan.
vi.Pasir Mas – 1 permohonan.
vii.Pasir putih – 3 permohonan.
viii.Tanah Merah – 4 permohonan.

Berdasarkan keseluruhan permohonan tersebut, hanya 7 permohonan telah berjaya mendapat persijilan SALM iaitu permohonan daripada Daerah Gua Musang. Jabatan Pertanian sentiasa menggalakkan dan membimbing pengusaha-pengusaha pertanian di negari ini untuk melaksanakan dan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB). Bimbingan ini dijalankan melalui pelbagai kursus, latihan secara praktikal dan pemantauan di ladang oleh Pegawai pembimbing di setiap Jajahan.

MP PKR Tanah Merah: Percubaan AES di 14 Lokasi (10 kamera tetap, 4 mudah alih)

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN JAWAB BERTULIS
DARIPADA : TUAN AMRAN AB GHANI [TANAH MERAH]
TARIKH : 27.09.2012 (KHAMIS)
SOALAN : Minta MENTERI PENGANKUTAN menyatakan jumlah saman yang telah dikeluarkan setelah Automated Enforcement system (AES) dilaksanakan di seluruh negara dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan berserta kompaun paling maksimum pada musim perayaan yang lepas serta keberkesanan sistem tersebut bagi mengatasi masalah kemalangan setiap kali musim perayaan.

JAWAPAN :
Tuan Yang di-Pertua,
Tiada pengeluaran saman yang di buat melalui Automated Enforcement System (AES) pada musim perayaan yang lepas memandangkan pada tempoh tersebut pelaksanaannya masih dalam peringkat Pilot Stage di man melibatkan pengujian sistem. Untuk makluman, sistem AES baru sahaja mula beroperasi secara live untuk fasa pertama Roll-out pada 23 september 2012. Pelaksanannya bagi peringkat ini melibatkan 14 lokasi serta pengoperasian 10 kamera tetap dan 4 kamera mudah alih.

Selama dua hari beroperasi iaitu 23 dan 24 september yang lepas, sebanyak 3,344 imej kesalahan telah Dirakam dan sedang dalam proses pengesahan oleh pihak jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas.

Tuan Yang Dipertua,
Instituit Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menjalankan kajian terhadap keberkesanan pelaksanaan AES. Kajian tersebut meliputi perkara-perkara berikut:
(i) mengenalpasti tahap kesedaran orang ramai terhadap pelaksanaan AES.
(ii) menilai keberkesanaan kempen advokasi AES.
(iii) mengenalpasti keberkesanan AES sebagai intervensi keselamatan jalan raya.
(iv) mengenalpasti tahap perubahan sikap pemandu hasil daripada pelaksanaan AES.

Hasil penilaian akan dapat digunakan untuk proses penambahbaikan dalam program advokasi keselamatan jalan raya dan pelaksanaan AES.