PPSMI: Pemuda PAS ucap tahniah kepada GAPENA

Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Suhaizan Kaiat, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Gabungan Penulis Nasional (Gapena) khususnya Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena yang akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sebelum ini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, seorang peguam kanan (bekas Pengerusi MAS) telah menyatakan bahawa perlaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) bercanggah dengan undang- undang negara.

Tafsiran Tan Sri Aziz Abdul Rahman bahawa “maksud bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi” dalam Perkara 152 Perlembagaan negara turut merangkum bidang pendidikan sebagai bidang urusan rasmi negara. Undang-undang negara yang secara khusus dan secara terang-terangan dilanggar ialah Akta Pendidikan 1996 (Perkara 17(1)) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.

Kementerian Pelajaran pula telah menganjurkan persidangan meja bulat kononnya untuk mendapatkan maklumbalas daripada semua pihak. Malangnya tujuh pilihan yang dirumuskan dalam pertemuan meja bulat pada 16 Disember 2008 itu kabur dan mengelirukan sehingga boleh menyusahkan ibubapa dan pelajar-pelajar selepas ini.

PPSMI ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 hinggalah sekarang. Beratus-ratus bantahan telah dibuat melalui persidangan dan kenyataan media daripada pelbagai golongan seperti GAPENA, Kumpulan Perihatin, PKPIM, Dong Jiao Zong, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, UMNO Johor, Pemuda PAS dan lain-lain lagi.

Ramai individu telah memberi pandangannya termasuk Menteri Luar, Dato’ Seri Dr. Rais Bin Yatim; Bekas Menteri Besar Negeri Selangor, Dato’ Muhammad Khair Toyo; Ahli Parlimen Batu Pahat, YB. Dr. Fuad Zarkasi; bekas Pengerusi MAS, Tan Seri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Menteri Pendidikan, Tun Abd Rahman Yaakob; bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hassan Ahmad Datuk Dr. Zainal Kling; Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein; Prof. Dr Awang Sariyan dan ramai lagi. Malangnya pihak kerajaan khususnya Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak langsung menunjukkan langkah yang positif ke arah mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

DPP Pusat beranggapan sudah sampai masanya individu dan NGOs ini memperkukuhkan hubungan, merangka pelan tindakan bersama dan melangkah ke tahap kedua bantahan ini. DPP Pusat telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. Kes ini masih sedang berjalan di mahkamah.

Itulah ketegasan PAS dalam memperjuangkan isu ini. Bagi mengajar orang-orang politik pendekatan sekadar bantahan dalam persidangan yang kemudiannya dikeluarkan dalam media ini sudah tidak sesuai lagi.

Orang politik sangat faham bahawa selagi bantahan ini tidak menggugat undi mereka dalam pilihanraya umum atau pemilihan dalam perhimpunan agong parti mereka maka selagi itulah mereka tidak akan berganjak. Tapi orang politik ini cukup cemas jika individu dan NGOs ini berani meredah onak dan duri berjuang di luar medan persidangan. Individu dan NGOs ini perlu lebih agresif lagi termasuk melebarkan pemahaman ini di kawasan luar bandar di mana impak negatif PPSMI ini lebih terkesan kepada pelajar-pelajar di sana.

Walaubagaimana pun sesuatu yang perlu diingat adalah bantahan ini adalah sesuatu yang boleh menggugat kerajaan. Pihak kerajaan akan menggunakan semua kekuatan media dan akta-aktanya untuk menekan para pejuang ini. Tidak mustahil ISA akan digunakan. Kalau pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu berani berhadapan dengan tekanan pihak penjajah yang jauh lebih kejam daripada pemerintah sekarang, mengapa pula kita yang kononya berjiwa merdeka takut terhadap tekanan ini?

Mengapa kita yang kononnya lebih bijak ini tiba-tiba menjadi dayus dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini? Jangan pula apabila dipujuk dan digertak oleh pihak tertentu maka individu dan NGOs yang terbabit membuat pusingan ’u-turn’ berpaling balik ke belakang. Akhirnya bahasa Melayu akan terus dipinggir dalam negara ini. Ingatlah, bahawasanya bahasa itu jiwa bangsa!

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Pusat
019-7285174

Mat Sabu harap semua penganut agama dapat hidup saling hormat menghormati

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut-penganut agama Kristian di negara ini dan di seluruh dunia.

Beliau berharap penganut semua agama dapat hidup dalam suasana saling hormat-menghormati kepercayaan agama masing-masing.

“Sudah sampai masanya kita hidup dengan pemikiran yang lebih tenang dan matang.

“Zaman menyakiti hati pihak lain dengan mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan orang lain sudah berlalu. Jika kita melakukan demikian, orang lain juga pandai mempersoal, memprotes, mencerca, mempersenda dan menghina kepercayaan kita,” katanya.

Menurut beliau, umat Islam sendiri diajar oleh Allah supaya tidak berbuat demikian dalam firman-Nya yang bermaksud, “janganlah kamu mencaci maki orang-orang yang menyeru kepada selain daripada Allah sehingga mereka memaki Allah secara aniaya tanpa pengetahuan”.

Mohamad juga menceritakan bagaimana pada Hari Krismas, pemimpin Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini menghantar mesej kepada penganut agama Kristian melalui siaran agensi-agensi berita.

“Para penyokong yang mengiringi beliau ketika dalam buangan di Neauphel-le Chateau, Peranchis menceritakan, mereka juga diminta oleh Imam Khomeini supaya membahagi-bahagikan hadiah kepada penduduk di situ pada Hari Krismas.

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Tok Guru Nik Aziz pilih Mat Sabu jadi calon

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan datang.

Katanya, memandangkan Mohamad telah bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini, tidak ada sebab untuk beliau dicalonkan sekali lagi, dalam pilihan raya kecil yang akan datang.

“Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.

“Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,”ujarnya. Berita penuh, KLIK.

Apa kata orang lain, maksud saya kawan dan lawan:
Saya terjumpa dengan YB Ibrahim Ali (Bebas Pasir Mas), Tok Hem kata “Setuju sangat jika Mat Sabu bertanding dan sokong seratus peratus”.

Kata pula orang kuat Mat Sabu “Tok Hem ada call Mat Sabu”. Kenapa Tok Hem beriya-iya sangat nak Mat Sabu bertanding. Katanya, mungkin orang di belakang Tok Hem teramat sangat nak kepada Mat Sabu menang dan berada di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS Terengganu, Azman shapawi pula tidak mahu orang luar bertanding di Kuala Terengganu.
Beliau dilaporkan berkata Pemuda cadangan calon tersendiri yang berkelulusan Phd dan anak tempatan pula. Baca komen cadangan Pemuda PAS dan baca ini juga.

Apa-apapun, kita pakat mengundi di sini: Siapa yang bersetuju dengan cadangan Tok Guru Nik Aziz supaya Mohamad Sabu bertanding pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari 2009?