Tok Guru cabar Ibrahim Ali letak jawatan uji pengaruh politiknya

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.


Ucapan Di Dewan Rakyat inikah yang menyebabkan kemarahan Tok Guru Nik Aziz

Tok Guru Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: “Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan).”

“PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Ditanya mengapa PAS bertindak mencabar Anggota Parlimen itu meletakkan jawatan, Nik Aziz berkata, ini disebabkan Ibrahim mengkritik kepimpinan PAS dari belakang.

Nik Aziz berkata, walaupun Ibrahim calon Bebas, tetapi bukan bererti beliau boleh bebas tanpa sekatan.

“Kalau lembu pun kita kena ikat dengan tali, mana boleh manusia bebas tanpa sekatan.

“Sebagai pemimpin, Ibrahim tidak boleh mengkritik dan menyerang PAS dan pemimpinnya bukan-bukan.

“Ini bukan bererti PAS tidak boleh ditegur. Yang berhak mengkritik dan menegur (pemimpin dan parti) ialah rakyat,” katanya.

Kepada soalan lain, jika Ibrahim enggan berundur dan meletakkan jawatan walaupun dicabar berbuat demikian oleh PAS, Nik Aziz berkata: “Memanglah, biasanya manusia tidak mudah mengaku kalah. Macamlah kita jadi menantu, kalau mentua bencipun kita tetap tinggal rumah itu kerana sayangkan anaknya…”
Teruskan membaca

Dr Zambry dan ‘kerajaan rampasan kuasa’ digantung 18 bulan

Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung sertamerta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa hari ini.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan keputusan itu selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN di sini hari ini.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (Adun Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

“Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

“Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Khabar angin juga bertiup semakin kencang. DUN Perak bakal dibubarkan. Menurut sumber, ADUN Bota dan Jelapang akan meletakkan jawatan. Satu delegasi Umno telah bertemu dengan Raja Nazrin Shah untuk membincangkan ‘pembubaran Dewan dan menyelamatkan keadaan’ yang tidak menentu.
Teruskan membaca

Gerakan Mansuhkan PPSMI serah memo bantahan kepada Menteri dan MP

Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri) menerima memorandum daripada Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Datuk Dr Hassan Ahmad di Lobi Parlimen hari ini. Turut kelihatan Sasterawan Negara Tan Sri A. Samad Said (kanan). Foto The Star

MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri) menerima memorandum daripada Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) Datuk Dr Hassan Ahmad di Lobi Parlimen hari ini. Turut kelihatan Sasterawan Negara Tan Sri A. Samad Said (kanan). Foto The Star


Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

Dalam sidang medianya, Hassan berkata, masalah PPSMI kini menjadi semakin serius sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh beberapa ahli Parlimen daripada pembangkang termasuk Anwar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tian Chua, Azmin Ali dan Lim Guang Eng.

“Pihak kerajaan bertanya, mengapa kini baru mahu dipersoalkan. Kita lihat sejak ia dilaksanakan sejak enam tahun lalu, beratus ribu pelajar di sekolah kebangsaan di luar bandar mengalami masalah untuk memahami Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Cuba bayangkan orang Melayu, Cina dan India yang sejak daripada kecil menguasai bahasa ibunda mereka, tiba-tiba masuk darjah satu, mereka disuruh mempelajari ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa yang mereka tidak faham.

“Ia seperti menyuruh pelajar di England mempelajari bahasa yang mereka tidak faham. Ini sesuatu yang gila dan tidak betul,” katanya.
Teruskan membaca

Ku Li: Karpal hanya menggunakan haknya yang dibenarkan oleh Perlembagaan

Mengenai tindakan Karpal Singh mahu menyaman Sultan Perak, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak setuju dengan Pengerusi Kebangsaan DAP itu.

Bagaimanapun tegasnya, Karpal hanya menggunakan haknya yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Di sebalik krisis politik Perak dan syor agak dikembalikan kekebalan Raja-raja Melayu, Ku Li semalam menarik perhatian bahawa isu sebenar yang perlu diberikan tumpuan bukannya tentang status Raja-raja Melayu.

Sebaliknya kata beliau, “isu sebenarnya ialah legitimasi proses pembentukan kerajaan baru Barisan Nasional yang mengambil alih daripada Pakatan Rakyat.”

Menulis dalam blognya semalam, bekas Naib Presiden Umno itu juga melontarkan pertanyaan siapa sebenarnya yangmenderhaka kepada Raja-raja Melayu?

Malah, dalam tulisannya itu, beliau menempelak pemimpin Umno yang mempersoalkan sikap sesetengah rakyat yang dikatakan tidak lagi hormat kepada institusi raja.

Mengambil kira perkembangan semasa beliau turut bertanya “yang mana satukah mendatangkan keburukan lebih besar, antara pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak baru-baru ini?”

Tengku Razaleigh mengingatkan bahawa Raja-raja Melayu hari ini boleh dibawa ke Mahkamah Khas kerana pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau ketika itu membantah pindaan tersebut dan beliau tidak berganjak dengan hujahnya dalam perbahasan diparlimen 16 tahun lalu.

“Saya menentang pindaan-pindaan ini… Saya masih kekal dengan pendirian ini,” katanya lagi.
Teruskan membaca

GAPENA sifatkan PPSMI Menyalahi Akta Pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) semalam membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

PPSMI didakwa menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan selain bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk semua.

Sementara itu, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mempersoal tindakan GAPENA membuat laporan polis berhubung Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.

“PPSMI ialah satu dasar yang telah kita laksanakan selama enam tahun sebelum saya memegang jawatan Menteri Pelajaran lagi. Jadi tindakan sebegini menjadi tanda tanya apa sebenarnya hasrat dan niat mereka (GAPENA) melakukannya pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat hari ini.

Hisammuddin berkata peluang seluas-luasnya telah diberi kepada mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan dasar itu untuk mengutarakan pendapat mereka tetapi sebarang pengubahsuaian tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata.

“Saya juga telah menyatakan bahawa mesyuarat-mesyuarat meja bulat telah pun diadakan dan akhirnya keputusan untuk dasar ini bukan keputusan saya sendiri ia akhirnya terpaksa dibentangkan pada pihak jemaah menteri setelah ianya diambil kira oleh semua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains, Hishammuddin berkata, laporan berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Difahamkan esok (Selasa) Gapena dan NGO-NGO lain akan menghantar memorandum di perkarangan Parlimen kepada Perdana Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen membantah PPSMI.
Teruskan membaca

Dua pertiga mahu DUN Perak dibubar

Hampir dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu.

Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan semalam, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat “pilihan raya menerusi rakyat” diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai “hak” untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

“Malah, 62 peratus lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Merdeka Center semalam.

Hanya 29 peratus yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat. Baca lanjut.

Tindakan Keluar Kediaman Rasmi hanya ‘Hormat’ arahan SUK – Nizar

Keputusan untuk meninggalkan kediaman rasmi Menteri Besar serta menyerahkan kenderaan rasmi bukan petanda Pakatan Rakyat mengalah dan kecewa, kata Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mohammad Nizar berkata tindakan itu hanyalah semata-mata mematuhi arahan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perak.

“Sedikit pun tidak dengan penyerahan ini, memudaratkan apa-apa tindakan yang kami buat sebelum ini termasuk ikhtiar untuk mendapatkan deklarasi daripada Mahkamah Tinggi. Tidak menjejaskan sama sekali.

“Ia bukan sebarang petanda apaapa elemen bahawa kami menyerah, kami kecewa atau apa jua elemen yang kami ini mahu mengalah,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini selepas memfailkan permohonan mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Teruskan membaca