ECER: …pemimpin kena fikir nasib tanah rezab Melayu..

Akhbar Siasah keluaran terbaru melaporkan, hati rakyat di Pantai Timur mungkin dibuai penglipurlara baru. Memang, sejak akhir-akhir ini, ECER menjadi dendangan baru para pemimpin kerajaan. Seolah-olah, gagasan itu adalah habuan dari syurga kepada penduduk Pantai Timur. Mereka bagaikan berlumba-lumba mencanangkan ECER.

Sebuah akhbar harian baru-baru ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan ECER yang meliputi Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor akan merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara negeri-negeri itu dengan kawasan Pantai Barat Semenanjung.

”Negeri di Pantai Timur ini, kalau tidak dilakukan suatu usaha yang lebih daripada biasa, kadar pertumbuhan ekonominya mungkin akan lebih rendah berbanding negeri di sebelah Pantai Barat,” katanya.

Hebat! Tentu rakyat di Pantai Timur tak mahu ketinggalan di belakang negeri-negeri di sebelah Pantai Barat. Mereka pasti mahukan pertumbuhan ekonomi yang sama dan setaraf.

Jika kenyataan-kenyataan itu dipegang sepenuhnya, menurut Siasah, menjelang perasmian ECER bulan ini, rakyat di Pantai Timur bolehlah berkira-kira untuk memetik bulan dan bintang.

Tetapi, berapa ramaikah orang-orang Melayu Pantai Timur yang sedar dan tahu bahawa antara perancangan utama ECER ialah pengambilalihan 66,736 km persegi tanah rezab Melayu yang merupakan 40 peratus kawasan ECER? Sebuah badan yang didakwa badan amanah akan ditubuhkan.

Manakala Blogger Maverick SM (maverickysm.blogspot.com – Cakap Tak Serupa Bikin) adalah orang yang pertama yang dikesan melahirkan kecurigaan terhadap selera besar di sebalik gagasan ECER itu.

Siasah membangkitkan, pemilik-pemilik tanah rezab Melayu tersebut hanya mempunyai dua pilihan. Pertama, pemilik menukarkan tanah mereka dengan unit-unit saham dalam amanah tersebut. Kedua, menjual terus tanah mereka kepada amanah itu. Apa ni?!!

Memang benar ECER akan diuruskan oleh Petronas, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Tetapi, saham GLC juga boleh dimiliki oleh syarikat asing, terutama syarikat-syarikat dari Singapura yang mengamuk seperti singa bulur untuk menelan syarikat-syarikat dalam negara ini. Contohnya, lima peratus saham TM Holdings pernah dijual kepada sayap pelaburan strategik Singapura, Temasek Holdings.

Pernahkah para pemimpin yang riuh-rendah dengan projek ECER itu memikirkan nasib yang mungkin menjerat pemilik tanah-tanah rezab Melayu itu?

Adakah mereka tidak risau apa akan terjadi kepada badan amanah yang akan mengambilalih 66,736 km persegi tanah rezab Melayu itu jika tiba-tiba syarikat asing termasuk dari Singapura mempunyai pengaruh yang besar ke atas Petronas yang menguruskan ECER?

Persolannya, sebesar mana sahaja suara badan amanah itu jika syarikat asing mempunyai pengaruh yang besar dan tak terlawan?

Kedah dan Perlis sudah disiytiharkan sebahagian dari Koridor Utara. Korporat yang menguruskan Koridor Utara ialah Sime Darby. Sime Darby semakin muktamad ditelan oleh Synergy Drive. Bagaimana kalau satu hari nanti Synergy Drive ditelan oleh sang bulur dari luar?

Manakala Laman web Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) melaporkan Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor mengakui bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya.

Menteri Besar Johor itu menjawab isu yang dibangkitkan oleh ProWaris mengenai hakikat bahawa akta itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.

Siapa boleh menolak hakikat bahawa akta yang dibuat untuk Koridor Utara dan Koridor Timur juga mempunyai ciri-ciri yang sama?

Persoalan yang lebih besar untuk difikirkan ialah apa akan terjadi kepada kubu terakhir orang-orang Melayu? Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu ialah kubu terakhir orang-orang Melayu. Lebih tepat lagi, tanah-tanah rezab Melayu walau di mana pun, adalah kubu terakhir orang-orang Melayu dari segi wilayah. Adakah kita mahu menjadi penonton sahaja kepada keruntuhan kubu terakhir Melayu di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi di tanah-tanah rezab Melayu?

Tinggalkan komen