Pertemuan PAS – Gereja DUMC ditangguh

Pertemuan antara PAS dan Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, yang dijadualkan 4 petang ini, berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas premis itu 3 Ogos lalu ditangguhkan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah menerima surat daripada pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama semalam yang meminta supaya pertemuan petang ini ditangguhkan.

“Sepatutnya hari ini ada pertemuan antara pimpinan PAS dengan Gereja Methodist Damansara Utama tapi semalam saya terima surat daripada pihak gereja menyatakan agar pertemuan itu ditangguhkan.

“Pertemuan itu ditangguhkan, sebab isu ini telah menjadi tumpuan orang dan ditafsirkan macam-macam, pihak gereja minta agar pertemuan itu ditangguhkan dulu dan tarikh baru akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang media di sini.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Pemeriksaan itu mendapat bantahan banyak pihak dan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim meminta satu laporan daripada Jais. – Sumber The Malaysia Insider

Tinggalkan komen